Followers

Monday, December 7, 2009

Kasih Seorang Ibu...


''Nurse, boleh saya tengok bayi saya?'' ibu muda yang baru bersalin itu bersuara antara dengar dan tidak kepda seorang jururawat.

Sambil tersenyum jururawat membawakan bayi yang masih merah itu. Si ibu menyambut dengan senyuman meleret. Dibuka selimut yang menutup wajah bayi itu dan diciumnya berkali-kali sebaik sahaja bayi tersebut berada di pangkuannya.

Jururawat kemudiannya mengalihkan pandangannya ke luar tingkap. Tidak sanggup dia bertentang mata dengan si ibu yang terperanjat melihat bayinya dilahirkan tanpa kedua-dua cuping telinga.

Namun gamamnya cuma seketika. Dakapan dan ciuman bersilih ganti sehingga bayi yang sedang lena itu merengek. Doktor bagaimanapun mengesahkan pendengaran bayi itu normal, sesuatu yang cukup menggembirakan si ibu.

Masa terus berlalu...

Pulang dari sekolah suatu tengah hari, anak yang tiada cuping telinga itu yang kini telah memasuki alam persekolahan menangis memberitahu bagaimana dia diejek oleh rakan-rakannya. ''Mereka kata saya cacat,"katanya kepada si ibu.

Si ibu menahan sebak. Dipujuknya si anak dengan pelbagai kata semangat. Si anak menerima kata-kata tersebut dan dia muncul sebagai pelajar cemerlang dengan menyandang pelbagai jawatan di sekolah. Bagaimanapun tanpa cuping telinga, si anak tetap berasa rendah diri walaupun si ibu terus memujuk. Si ayah pula bertemu dengan doktor bagi merawat kecacatan anaknya. ''Saya yakin dapat melakukannya jika ada penderma,'' kata pakar bedah. Bermulalah suatu pencarian bagi mencari penderma yang sanggup berkorban.

Setahun berlalu..........

''Anakku, kita akan menemui doktor hujung minggu ini. Ibu dan ayah telah mendapatkan seorang penderma tetapi dia mahu dirinya dirahsiakan,'' kata si ayah. Pembedahan berjalan lancar dan akhirnya si anak muncul sebagai manusia baru, kacak serta bijak. Pelajarannya bertambah cemerlang dan rasa rendah diri yang kerap dialaminya hilang.

Rakan-rakan memuji kecantikkan paras rupanya. Si anak cukup seronok tetapi dia tidak mengabaikan pelajarannya. Pada usia lewat 20-an, si anak menjawat jawatan tinggi dalam bidang diplomatik.

''Sebelum saya berangkat ke luar negara, saya ingin tahu siapakah penderma telinga ini, saya ingin membalas jasanya,'' kata si anak berkali-kali. ''Tak mungkin,''balas si ayah. ''Perjanjian antara ayah dengan penderma itu masih berjalan. Tunggulah, masanya akan tiba.'' ''Bila?'' tanya si anak.

''Akan tiba masanya anakku,'' balas si ayah sambil ibunya mengangguk-angguk. Keadaan terus kekal menjadi rahsia bertahun-tahun lamanya.

Hari yang ditunggu akhirnya tiba. Ketika si anak berdiri di sisi jenazah ibunya, perlahan-lahan si ayah menyelak rambut jenazah ibunya.

Gelap seketika pandangan si anak apabila melihat kedua-dua cuping telinga ibunya tiada.

''Ibumu tidak pernah memotong pendek rambutnya,'' si ayah berbisik ke telinga anaknya. ''Tetapi tiada siapa pernah mengatakan ibumu cacat, dia tetap cantik, pada ayah dialah satu-satunya wanita paling cantik yang pernah ayah temui. Tak percaya tanyalah pada sesiapa pun kenalannya.''

Ya Allah, Engkau ampunilah dosaku, dosa kedua ibu bapaku, dan rahmatilah mereka sepertimana mereka mengasihiku sewaktu aku masih kecil. SALAM ULANG TAHUN buat Ibuku yang tercinta Rahaimi bt Salleh. Semoga Allah sentiasa memberi ketenangan kepadamu wahai Ibuku...

Continue Reading...

Tuesday, December 1, 2009

Renungilah Apa Yang Tersurat...

Renungi apa yang tersurat. Fahamilah apa yang tersirat....

Jika insan diasuh dengan keangkuhan, dia belajar erti takbur.
Jika insan diasuh dengan kelemahan, dia belajar erti hina dirinya sendiri.
Jika insan diasuh dengan erti permusuhan, dia belajar erti membenci.
Jika insan diasuh dengan sikap pentingkan diri sendiri, dia belajar erti mengkhianati......

namun....

Jika insan diasuh dengan insani, dia belajar erti hargai.
Jika insan diasuh dengan belas budi, dia belajar erti mengasihani.
Jika insan diasuh dengan kepayahan, dia belajar erti mensyukuri.
Jika insan diasuh dengan bertimbang rasa, dia belajar erti bersabar......
Continue Reading...

Wednesday, November 25, 2009

Pengorbanan Hakiki...


Pengorbanan hakiki adalah pengorbanan yang menyerahkan segala-galanya untuk Allah swt. Pengorbanannya merangkumi seluruh aspek kehidupan, samada harta, jiwa dan perasaan. Pengorbanan ini merujuk terus kepada Nabi Allah Ibrahim as dan ahli keluarganya yang sanggup melaksanakan apa yang diperintahkan oleh Allah swt sehingga menjadi rukun didalam sembahyang untuk kita berselawat kepada Baginda Nabi Ibrahim as.

Pengorbanan Nabi Ibrahim dan ahli keluarganya untuk Allah swt amat hebat. Ketikamana Siti Hajar melahirkan Nabi Ismail, Allah swt memerintahkan Nabi Ibrahim agar meninggalkan Siti Hajar dan Ismail yang masih kecil di kota mekkah yang ketika itu kering-kontang dari air dan keidupan. Atas perintah Allah swt, Nabi Ibrahim as mengorbankan kasih sayangnya untuk Allah swt.

Siti Hajar yang membawa Nabi Ismail yang masih kecil mengorbankan jiwa-raganya serta akur untuk ditinggalkan di padang sahara semata-mata kerana menurut apa yang telah diperintahkan oleh Allah swt kepada suaminya.

Disinilah bermulanya detik-detik bersejarah bagi umat islam dalam melaksanakan Haji dikota Makkah. Disebabkan Nabi Ismail yang masih kecil kehausan, Siti hajar terpaksa untuk mencari air demi menghilangkan dahaga si anak yang dicintainya. Maka berlari-larilah dia dari Bukit Safa ke Bukit Marwah setelah mana tertipu oleh fatamorgana terik matahari yang seakan-akan seperti air.

Nabi Ismail as yang masil kecil terpaksa meronta-ronta kerana kehausan. Kakinya yang sentiasa bergerak-gerak menendang tanah akhirnya Allah swt menganugerahkan air melalui tempat yang ditendang oleh Nabi Ismail ini.

Setelah mana Nabi Ismail as sedikit remaja, Allah swt memerintah Nabi Ibrahim as supaya menyembelih anak yang dikasihinya melalui mimpi yang berulang-ulang. Antara kasih kepada anak yang disayanginya dan perintah Allah swt Tuhan segala makhuk, maka berlakulah satu pengorbanan yang agung untuk Allah swt iaitu menyembelih anaknya Nabi Ismail as.

Bagaimanakah kita jika diuji sepertimana Nabi Ibrahim as dan ahli keluarganya???

Selamat BERKORBAN untuk Allah swt dan selamat menyambut ‘Aidil Adha…

Continue Reading...

Saturday, November 14, 2009

Khusyu'kah sembahyang kita???

Sembahyang adalah satu hubungan yang terus menerus antara hamba dan Sang Pencipta. Allah swt Berfirman:

وَاسْتَعِينُوا بِالصَّبْرِ وَالصَّلاةِ وَإِنَّهَا لَكَبِيرَةٌ إِلا عَلَى الْخَاشِعِينَ (٤٥

Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) Dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan Sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyu’. Surah Al-Baqarah – Ayat 45

Antara cara untuk mendapatkan ketenangan dalam setiap ujian yang dilalui adalah dengan cara bersabar dan mengerjakan sembahyang yang mampu mendatangkan khusyu’. Khusyu’ didalam sembahyang bukanlah satu perkara yang mudah. Untuk merasakan khusyu’, kita pelulah menyempurnakan segala apa yang menjadi keperluan didalam sembahyang samada pada zahiriah atau batiniah.

Nabi saw bersabda:

حدثنا إدريس بن عبد الكريم الحداد ثنا عاصم بن علي ثنا فرج بن فضالة عن لقمان بن عامر عن أبي الدرداء أن النبي صلى الله عليه و سلم قال : أول ما يرفع من هذه الأمة الخشوع حتى لا يرى فيه خاشعا

“Pertama yang akan diangkat dari umat ini adalah khusyu’ sehingga tidak kelihatan padanya orang yang khusyu’ ”

Khusyu’ adalah ruh bagi ‘ibadah. Ia dapat dirasai selepas pemprosesan hati yang penuh rasa takut, cinta dan mengharap kepada Allah yang Maha Esa. Allah swt menjanjikan kepada orang yang benar-benar mengerjakan sembahyang (khusyu’) dengan kesan yang fositif untuk kehidupan seharian. Firman Allah swt:

وَأَقِمِ الصَّلاةَ إِنَّ الصَّلاةَ تَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنْكَرِ وَلَذِكْرُ اللَّهِ أَكْبَرُ وَاللَّهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ (٤٥

Dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun); Sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; dan Sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan. Surah Al-Ankabut – Ayat 45

Kesan khusyu’ didalam sembahyang adalah dapat memelihara manusia dari mengerjakan apa yang dilarang oleh Allah swt. Semoga dengan kisah yang akan dibawa nanti dapat memberi gambaran sedikit sebanyak dan contoh untuk kita ber’amal sehingga mendatangkan khusyu’ didalam sembahyang kita semua....insya Allah.

........................................................................................................................................................................

Isam bin Yusuf adalah seorang ahli ‘ibadah, dia sangat warak dan sangat khusyu’ di dalam solatnya. Namun begitu, dia selalu khuatir dan menyangka bahawa ibadahnya kurang khusyu’. Oleh itu dia selalu bertanya kepada orang yang dianggapnya lebih ibadahnya, demi untuk memperbaiki dirinya yang selalu merasakan kurang khusyu’.

Pada suatu hari, Isam menghadiri majlis seorang ‘abid bernama Hatim Al-Isam dan bertanya: "Wahai Aba Abdurrahman, bagaimanakah caranya tuan solat?" Hatim berkata: "Apabila masuk waktu solat saya berwudhu' zahir dan batin." Isam bertanya, "Bagaimana wudhu' zahir dan batin itu?"

Hatim berkata, "Wudhu' zahir sebagaimana biasa, iaitu membasuh semua anggota wudhu' dengan air. Sementara wudhu' batin ialah membasuh anggota dengan tujuh perkara :-

1. Bertaubat
2. Menyesali dosa yang dilakukan
3. Tidak tergila-gilakan dunia
4. Tidak mencari / mengharap pujian orang (riya')
5. Meninggalkan sifat bangga dii sendiri
6. Meninggalkan sifat khianat dan menipu
7. Meninggalkan sifat dengki

Seterusnya Hatim berkata, "Kemudian aku pergi ke masjid. Aku kemaskan semua anggotaku dan menghadap kiblat. Aku berdiri dengan penuh kewaspadaan dan membayangkan bahawa Allah berada di hadapanku, syurga berada di sebelah kananku, neraka berada di sebelah kiriku, malaikat maut berada di belakangku, dan kemudiannya aku bayangkan pula bahawa aku seolah-olah berdiri di atas titian 'Sirratul Mustaqim' dan aku menganggap bahawa solatku kali ini adalah solatku yang terakhir, kemudian aku berniat dan bertakbir dengan baik.

Setiap bacaan dan doa dalam solat kufaham maknanya, kemudian aku ruku' dan sujud dengan tawadhu'. Aku bertasyahhud dengan penuh pengharapan dan aku memberi salam dengan ikhlas. Beginilah saya bersolat selama 30 tahun." Apabila Isam mendengar, lalu menangislah dia kerana membayangkan ibadahnya yang kurang baik apabila dibandingkan dengan Hatim.
Continue Reading...

Tuesday, November 3, 2009

Antara Takmil & Taksir...

Kehidupan manusia di atas muka bumi ini tidak boleh lari dari mengasingkan diri dengan beribadah kepada Allah swt. Allah swt Berfirman:

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالإنْسَ إِلا لِيَعْبُدُونِ (٥٦

Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu. Surah Adz Dzariyat – Ayat 56

Ibadah yang memberi maksud memperhambakan diri kepada Allah swt tidak tertumpu kepada ‘ibadah-ibadah tertentu seperti sembahyang, puasa, zakat, haji semata-mata. Tetapi ibadah ini merangkumi segala gerak kerja yang dilakukan oleh makhluknya. Sekiranya melaksanakan perkara yang harus dan bersamanya dengan niat kerana Allah, maka ia menjadi ‘ibadah. Sepertimana makan, bagi manusia ia adalah perkara yang harus, seandainya diniat ketika makan untuk ber’ibadah kepada Allah, maka ia juga dikira ‘ibadah.
Ada dikalangan manusia lebih menyukai untuk melakukan sesuatu ‘ibadah atau ‘amalan dengan mencari bilangan yang banyak. Sembahyang nya dari dua raka’at ke dua raka’at, disambung lagi dengan dua raka’at tidak putus-putus untuk memenuhi hidupnya dengan sembahyang. Setiap bacaannya takbir, tahmid, tahlil, istiqfar, doa dan surah di dalam sembahyang tidak dapat ditadabbur kerana terlalu mengejar raka’at.


‘Ibadah yang dituntut oleh Allah swt adalah ‘amalan yang sempurna dan bukanlah ‘amalan yang banyak. Satu peristiwa yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah:

عن أبي هريرة :أن رسول الله صلى الله عليه و سلم دخل المسجد فدخل رجل فصلى فسلم على النبي صلى الله عليه و سلم فرد وقال ( ارجع فصل فإنك لم تصل ) . فرجع يصلي كما صلى ثم جاء فسلم على النبي صلى الله عليه و سلم فقال ( ارجع فصل فإنك لم تصل ) . ثلاثا فقال والذي بعثك بالحق ما أحسن غيره فعلمني ؟ فقال ( إذا قمت إلى الصلاة فكبر ثم اقرأ ما تيسر معك من القران ثم اركع حتى تطمئن راكعا ثم ارفع حتى تعتدل قائما ثم اسجد حتى تطمئن ساجدا ثم ارفع حتى تطمئن جالسا وافعل ذلك في صلاتك كلها

Ketikamana RasululLah saw memasuki masjid, lalu masuk seorang lelaki dan sembahyang, kemudian dia berjumpa dan memberi salam kepada Nabi saw. Kata Nabi saw: “pergi dan sembahyang, sesungguhnya kamu belum sembahyang”. Maka dia pergi dan sembahyang seperti biasa, kemudian dia datang kepada Nabi saw dan memberi salam. Dan Nabi saw berkata: “pergi dan sembahyang, sesungguhnya kamu belum sembahyang”. Dan mengulanginya tiga kali. Dan berkata lelaki tersebut: “demi yang mengutuskan kamu dengan kebenaran apakah yang baik dari selain yang aku kerjakan?, maka ajarkanlah aku”. Nabi saw Bersabda: “ketikamana kamu bangun untuk sembahyang, Angkatlah takbir, kemudian bacalah apa yang mudah bagi kamu dari al Quran, kemudian ruku’ sehingga tetap (tenang) dalam ruku’, kemudian bangun sehingga tegak ketika berdiri, kemudian sujud sehingga tetap (tenang) dalam sujud, kemudian bangun sehingga tetap (tenang) duduk diantara dua sujud, dan buatlah sedemikian pada sembahyang kamu semuanya. Riwayat Bukhari dan Muslim.

Kesempurnaan dalam melaksanakan ‘ibadah adalah sesuatu yang sangat perlu dijaga sepertimana hadis diatas, seorang lelaki yang sembahyang dengan cara yang tidak sempurna, dikatakan oleh Nabi saw bahawa kamu tidak sembahyang walaupun ia berulang-ulang kali mengerjakannya.

Nabi saw mengajar umatnya untuk menyempurnakan ‘amalan, dan ia tidak terlalu menumpu kepada banyaknya bilangan. Sepertimana kehidupan Nabi saw diwaktu sepertiga diakhir malam, Nabi saw kadangkala sembahyang malam bersama sahabatnya yang berbeza-berbeza. Sekali bersama Huzaifah ra, Sekali bersama Ibnu Mas’ud ra, sekali bersama Ibnu ‘Abbas ra, Dan Nabi saw sentiasa sembahyang bersendirian.

Di dalam hadis-hadis yang diriwayatkan oleh para sahabatnya, Nabi saw sentiasa sembahyang malam dengan jumlah sebelas rakaat bersama witir. Dan kadang kalanya Nabi saw sembahyang malam sehingga dua puluh rakaat dan ianya sangat jarang.

Cara sembahyang Nabi saw tidaklah mengejar raka’at, tetapi menyempurna dengan cara menghayati setiap apa yang dibaca didalam sembahyang. Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Huzaifah ibnu Yaman dengan berkata:

عَنْ حُذَيْفَةَ قَالَ صَلَّيْتُ مَعَ النَّبِىِّ -صلى الله عليه وسلم- ذَاتَ لَيْلَةٍ فَافْتَتَحَ الْبَقَرَةَ فَقُلْتُ يَرْكَعُ عِنْدَ الْمِائَةِ. ثُمَّ مَضَى فَقُلْتُ يُصَلِّى بِهَا فِى رَكْعَةٍ فَمَضَى فَقُلْتُ يَرْكَعُ بِهَا. ثُمَّ افْتَتَحَ النِّسَاءَ فَقَرَأَهَا ثُمَّ افْتَتَحَ آلَ عِمْرَانَ فَقَرَأَهَا يَقْرَأُ مُتَرَسِّلاً


“Aku sembahyang bersama Nabi saw pada satu malam Nabi saw memulakannya dengan surah Al Baqarah, aku menyangka bahawa selesai surah Al Baqarah Nabi saw akan ruku’, tetapi Nabi saw menyambungnya dengan surah An Nisa’ secara sempurna, kemudian aku menyangka bahawa Nabi saw akan ruku’, tetapi Nabi saw menyambung pula dengan surah Al ‘Imran dengan sempurna”. Riwayat Muslim

Inilah sembahyang Nabi saw yang amat memelihara kesempurnaan ‘ibadah. Allah swt berfirman:

الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلا وَهُوَ الْعَزِيزُ الْغَفُورُ (٢

Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat); Surah Al Mulk – Ayat 2
Continue Reading...

Thursday, October 29, 2009

Teka-Teki Imam Al Ghazali


Nabi saw Bersabda yang bermaksud: “Ulama’ adalah pewaris para Nabi”. Oleh itu, mari kita perhati dan menghayati beberapa persoalan yang ditanyakan oleh Imam Al-Ghazali kepada anak muridnya... semoga ianya dapat memberi pengajaran buat kita semua....in sya Allah.

Soalan-soalannya:

# Apa yang paling dekat dengan kita di dunia?

# Apa yang paling jauh dari kita di dunia?
# Apa yang paling besar di dunia?
# Apa yang paling berat di dunia?
# Apa yang paling ringan di dunia?
# Apa yang paling tajam di dunia?


Pada suatu hari, Imam Al-Ghazali berkumpul dengan murid-muridnya, lalu Imam Al-Ghazali bertanya; pertama: "Apa yang paling dekat dengan kita di dunia?" Murid-muridnya menjawab, "Orang tua, guru, kawan dan sahabatnya". Imam Al-Ghazali menjelaskan semua jawapan itu benar. Tetapi yang paling dekat dengan kita adalah MATI!!! Sebab itu sememangnya janji Allah swt bahawa setiap yang bernyawa pasti akan mati. (Al-Imran:85)

Lalu Imam Al-Ghazali meneruskan pertanyaan yang kedua. "Apa yang paling jauh dari kita di dunia?". Murid-muridnya menjawab, "Negara China, bulan, matahari dan bintang-bintang". Lalu Imam Al-Ghazali menjelaskan bahawa semua jawapan yang mereka berikan adalah benar. Tapi yang paling benar adalah MASA LALU. Walau dengan apacara sekali pun kita tidak dapat kembali ke masa lalu. Oleh sebab itu, kita harus menjaga hari ini dan hari-hari yang akan datang dengan perbuatan yang sesuai dengan ajaran Islam.

Lalu Imam Al-Ghazali meneruskan dengan pertanyaan yang ketiga. "Apa yang paling besar di dunia ini?". Murid-murinya menjawab, "Gunung, bumi dan matahari". "Semua jawapan itu benar", kata Imam Al-Ghazali. Tapi yang paling besar daripada apa yang ada di dunia ini adalah NAFSU (Al-A'araf:179). Maka kita harus berhati-hati dengan nafsu kita, jangan sampai nafsu membawa kita ke neraka.

Pertanyaan keempat adalah, "Apa yang paling berat di dunia ini?". Ada yang menjawab, "Besi dan Gajah". "Semua jawapan adalah benar", kata Imam Al-Ghazali. Tapi yang paling tepat adalah MEMEGANG AMANAH (Al-Ahzab:72).Tumbuh-tumbuhan, binatang, gunung dan malaikat semua tidak mampu ketika Allah meminta mereka untuk menjadi khalifah(pemimpin di dunia ini). Tetapi manusia dengan sombongnya menyanggupi permintaan Allah swt, sehungga banyak daripada manusia masuk ke neraka kerana tidak dapat memegang amanahnya.

Pertanyaan yang kelima adalah , "Apa yang paling ringan di dunia ini?". Murid-muridnya menjawab, "Kapas, angin, debu, dan daun-daunan". "Semua itu benar", kata Imam Al-Ghazali. Tapi yang paling ringan di dunia ini adalah MENINGGALKAN SOLAT. Gara-gara pekerjaan,kita meninggalkan solat. Gara-gara bermesyuarat, kita meninggalkan solat.

Dan pertanyaan keenam ialah, "Apa yang paling tajam di dunia ini?". Murid-muridnya menjawab dengan serentak, "Pedang". "Benar", kata Imam Al-Ghazali. Tapi yamg paling tajam adalah LIDAH MANUSIA - kerana melalui lidah, manusia selalunya menyakiti hati dan perasaan saudaranya sendiri.
Continue Reading...

Thursday, October 15, 2009

Iman, Memahami Tiga Persoalan...

Keimanan kepada Allah swt adalah suatu perkara yang sangat penting bagi setiap makhluk yang bernyawa atau hidup. Tidak kiralah makhluk itu berbentuk binatang, tumbuh-tumbuhan, manusia dan sebagainya. Allah swt mencipta makhluknya dari sekecil-kecil kuman sehinggalah sebesar-basar planet yang berkeliaran diangkasawan. Allah swt Berfirman:

وَاللَّهُ خَلَقَ كُلَّ دَابَّةٍ مِنْ مَاءٍ فَمِنْهُمْ مَنْ يَمْشِي عَلَى بَطْنِهِ وَمِنْهُمْ مَنْ يَمْشِي عَلَى رِجْلَيْنِ وَمِنْهُمْ مَنْ يَمْشِي عَلَى أَرْبَعٍ يَخْلُقُ اللَّهُ مَا يَشَاءُ إِنَّ اللَّهَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ (٤٥)

Dan Allah menciptakan tiap-tiap haiwan yang bergerak itu dari air; maka sebahagian di antara mereka menjalar atas perutnya, dan sebahagian di antaranya berjalan dengan dua kaki, dan sebahagian lagi berjalan dengan empat kaki. Allah menciptakan apa sahaja yang ia kehendaki (selain dari yang tersebut), kerana Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. Surah An Nuur – Ayat 45

Di dalam ayat yang lain Allah swt menceritakan tentang kejadian manusia dengan firman-Nya:

مِنْهَا خَلَقْنَاكُمْ وَفِيهَا نُعِيدُكُمْ وَمِنْهَا نُخْرِجُكُمْ تَارَةً أُخْرَى (٥٥)

Dari bumilah Kami ciptakan kamu (manusia), dan ke dalamnya Kami akan mengembalikan kamu, dan daripadanya pula Kami akan mengeluarkan kamu sekali lagi. Surah Taahaa – Ayat 55

Firman Allah swt pada penciptaan langit, bumi dan yang mengelilinginya dengan Berfirman:

إِنَّ رَبَّكُمُ اللَّهُ الَّذِي خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالأرْضَ فِي سِتَّةِ أَيَّامٍ ثُمَّ اسْتَوَى عَلَى الْعَرْشِ يُغْشِي اللَّيْلَ النَّهَارَ يَطْلُبُهُ حَثِيثًا وَالشَّمْسَ وَالْقَمَرَ وَالنُّجُومَ مُسَخَّرَاتٍ بِأَمْرِهِ أَلا لَهُ الْخَلْقُ وَالأمْرُ تَبَارَكَ اللَّهُ رَبُّ الْعَالَمِينَ (٥٤)

Sesungguhnya Tuhan kamu ialah Allah yang menciptakan langit dan bumi dalam masa enam hari kemudian ia bersemayam di atas Arasy; ia melindungi malam dengan siang yang mengiringinya dengan deras (silih berganti) dan (ia pula yang menciptakan) matahari dan bulan serta bintang-bintang, (Semuanya) tunduk kepada perintahNya. ingatlah, kepada Allah jualah tertentu urusan menciptakan (sekalian makhluk) dan urusan pemerintahan. Maha suci Allah yang mencipta dan mentadbirkan sekalian alam. Surah Al ‘Araaf – Ayat 54

Pengertian iman di definasikan oleh para ulama’ dengan pelbagai maksud. Yang ditakrifkan oleh ulama’ Ahli Sunnah Wal Jama’ah iaitu dengan tiga perkara: Membenarkan dengan hati, melafazkan dengan lidah dan ber’amal dengan anggota.

Dr. Abdul Karim Zaidan menceritakan maksud iman didalam kitabnya (Usul Da’wah) dengan berbagai ta’rif sehinggakan yang disebutnya pengertian iman dengan enam ta’rif dan berbagai lagi. Dan diantara pengertian iman adalah menjawab tiga persoalan:

1- Dari mana kita datang?

2- Mengapa kita datang?

3- Kemana kita akan pergi?.

Bagi menjawab persoalan diatas sepertimana yang telah diberitahu oleh Nabi saw dalam himpunan secara tafsil.

Dari mana kita datang?

Allah swt Berfirman:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنْ كُنْتُمْ فِي رَيْبٍ مِنَ الْبَعْثِ فَإِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ تُرَابٍ ثُمَّ مِنْ نُطْفَةٍ ثُمَّ مِنْ عَلَقَةٍ ثُمَّ مِنْ مُضْغَةٍ مُخَلَّقَةٍ وَغَيْرِ مُخَلَّقَةٍ لِنُبَيِّنَ لَكُمْ وَنُقِرُّ فِي الأرْحَامِ مَا نَشَاءُ إِلَى أَجَلٍ مُسَمًّى ثُمَّ نُخْرِجُكُمْ طِفْلا ثُمَّ لِتَبْلُغُوا أَشُدَّكُمْ وَمِنْكُمْ مَنْ يُتَوَفَّى وَمِنْكُمْ مَنْ يُرَدُّ إِلَى أَرْذَلِ الْعُمُرِ لِكَيْلا يَعْلَمَ مِنْ بَعْدِ عِلْمٍ شَيْئًا وَتَرَى الأرْضَ هَامِدَةً فَإِذَا أَنْزَلْنَا عَلَيْهَا الْمَاءَ اهْتَزَّتْ وَرَبَتْ وَأَنْبَتَتْ مِنْ كُلِّ زَوْجٍ بَهِيجٍ (٥)

Wahai umat manusia, sekiranya kamu menaruh syak (ragu-ragu) tentang kebangkitan makhluk (hidup semula pada hari kiamat), maka (perhatilah kepada tingkatan kejadian manusia) kerana sebenarnya Kami telah menciptakan kamu dari tanah, kemudian dari setitik air benih, kemudian dari sebuku darah beku, kemudian dari seketul daging yang disempurnakan kejadiannya dan yang tidak disempurnakan; (Kami jadikan secara yang demikian) kerana Kami hendak menerangkan kepada kamu (kekuasaan kami); dan Kami pula menetapkan dalam kandungan rahim (ibu yang mengandung itu) apa yang Kami rancangkan hingga ke suatu masa yang ditentukan lahirnya; kemudian Kami mengeluarkan kamu berupa kanak-kanak; kemudian (kamu dipelihara) hingga sampai ke peringkat umur dewasa; dan (dalam pada itu) ada di antara kamu yang dimatikan (semasa kecil atau semasa dewasa) dan ada pula yang dilanjutkan umurnya ke peringkat tua nyanyuk sehingga ia tidak mengetahui lagi akan sesuatu yang telah diketahuiNya dahulu. dan (ingatlah satu Bukti lagi); Engkau melihat bumi itu kering, kemudian apabila Kami menurunkan hujan menimpanya, bergeraklah tanahnya (dengan tumbuh-tumbuhan yang merecup tumbuh), dan gembur membusutlah ia, serta ia pula menumbuhkan berjenis-jenis tanaman yang indah permai. Surah Al Hajj – Ayat 5

Di dalam ayat yang lain, Allah swt Berfirman:

وَلَقَدْ خَلَقْنَا الإنْسَانَ مِنْ سُلالَةٍ مِنْ طِينٍ (١٢)ثُمَّ جَعَلْنَاهُ نُطْفَةً فِي قَرَارٍ مَكِينٍ (١٣)ثُمَّ خَلَقْنَا النُّطْفَةَ عَلَقَةً فَخَلَقْنَا الْعَلَقَةَ مُضْغَةً فَخَلَقْنَا الْمُضْغَةَ عِظَامًا فَكَسَوْنَا الْعِظَامَ لَحْمًا ثُمَّ أَنْشَأْنَاهُ خَلْقًا آخَرَ فَتَبَارَكَ اللَّهُ أَحْسَنُ الْخَالِقِينَ (١٤)

Dan Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari pati (yang berasal) dari tanah; 12. kemudian Kami jadikan "pati" itu (setitis) air benih pada penetapan yang kukuh; 13. kemudian Kami ciptakan air benih itu menjadi sebuku darah beku. lalu Kami ciptakan darah beku itu menjadi seketul daging; kemudian Kami ciptakan daging itu menjadi beberapa tulang; kemudian Kami balut tulang-tulang itu Dengan daging. setelah sempurna kejadian itu Kami bentuk Dia menjadi makhluk yang lain sifat keadaannya. maka nyatalah kelebihan dan ketinggian Allah sebaik-baik Pencipta. 14. Surah Al Mu’minuun – Ayat 12-14

Allah swt Berfirman lagi didalam ayat yang lain:

الَّذِي أَحْسَنَ كُلَّ شَيْءٍ خَلَقَهُ وَبَدَأَ خَلْقَ الإنْسَانِ مِنْ طِينٍ (٧)ثُمَّ جَعَلَ نَسْلَهُ مِنْ سُلالَةٍ مِنْ مَاءٍ مَهِينٍ (٨)ثُمَّ سَوَّاهُ وَنَفَخَ فِيهِ مِنْ رُوحِهِ وَجَعَلَ لَكُمُ السَّمْعَ وَالأبْصَارَ وَالأفْئِدَةَ قَلِيلا مَا تَشْكُرُونَ (٩)

Yang menciptakan tiap-tiap sesuatu dengan sebaik-baiknya, dan dimulakanNya kejadian manusia berasal dari tanah; 7. kemudian ia menjadikan keturunan manusia itu dari sejenis pati, Iaitu dari air (benih) yang sedikit dipandang orang; 8. kemudian ia menyempurnakan kejadiannya, serta meniupkan padanya: roh ciptaanNya. dan ia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (akal fikiran), (supaya kamu bersyukur, tetapi) amatlah sedikit kamu bersyukur. 9. Surah As Sajdah – Ayat 7-9

Firman Allah swt di dalam ayat yang lain:

هَلْ أَتَى عَلَى الإنْسَانِ حِينٌ مِنَ الدَّهْرِ لَمْ يَكُنْ شَيْئًا مَذْكُورًا (١)إِنَّا خَلَقْنَا الإنْسَانَ مِنْ نُطْفَةٍ أَمْشَاجٍ نَبْتَلِيهِ فَجَعَلْنَاهُ سَمِيعًا بَصِيرًا (٢)

Bukankah telah berlalu kepada manusia satu ketika dari masa (yang beredar), sedang ia (masih belum wujud lagi, dan) tidak menjadi sesuatu benda yang disebut-sebut, (maka mengapa kaum musyrik itu mengingkari hari akhirat)? 1. Sesungguhnya Kami telah aturkan cara mencipta manusia bermulanya dari air mani yang bercampur (dari pati benih lelaki dan perempuan), serta Kami tetap mengujinya (dengan kewajipan-kewajipan); oleh itu maka Kami jadikan dia berkeadaan mendengar dan melihat. 2.Surah Al Insan – Ayat 1&2

Allah swt Berfirman lagi:

فَلْيَنْظُرِ الإنْسَانُ مِمَّ خُلِقَ (٥)خُلِقَ مِنْ مَاءٍ دَافِقٍ (٦)يَخْرُجُ مِنْ بَيْنِ الصُّلْبِ وَالتَّرَائِبِ (٧)

(setelah mengetahui yang demikian), maka hendaklah manusia memikirkan: dari apa ia diciptakan. 5. Ia diciptakan dari air (mani) yang memancut (ke dalam rahim) -6. Yang keluar dari "tulang sulbi" lelaki dan "tulang dada" perempuan. 7.Surah At Tariq – Ayat 5-7

Inilah ayat-ayat yang menceritakan kepada manusia bahawasanya manusia itu diciptaka oleh Allah swt yang berasal dari tanah (Adam as). Kemudian keturunannya dijadikan melalui satu pati yang tidak dipandang oleh manusia itu senderi. Allah swt Berfirman:

أَلَمْ يَكُ نُطْفَةً مِنْ مَنِيٍّ يُمْنَى (٣٧)

Bukankah ia berasal dari air mani yang dipancarkan (ke Dalam rahim)?. Surah Al Qiamah – Ayat 37

Mengapa kita datang?

Allah swt Berfirman:

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالإنْسَ إِلا لِيَعْبُدُونِ (٥٦)

Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadah kepadaKu. Surah Az Zariyaat – Ayat 56

Beribadah kepada Allah adalah memperhambakan diri kepada Allah dengan cara melaksankan segala apa yang telah diperintahkan-Nya, dan meninggalkan segala apa yang ditegah oleh-Nya. Ber’ibadah kepada Allah mestilah mengikut apa yang telah disyariatkan oleh-Nya. Beribadah dengan penuh rasa takut (akan Murka), kasih (kerana Pencipta) dan mengharap (akan Rahmat) dari Allah swt adalah sesuatu perkara yang perlu bagi setiap manusia untuk mencapai tahap ketenangan yang hakiki samada duniawi mahupun ukhrawi.

Kemana kita akan pergi?.

Allah swt Berfirman:

يَا أَيُّهَا الإنْسَانُ إِنَّكَ كَادِحٌ إِلَى رَبِّكَ كَدْحًا فَمُلاقِيهِ (٦)

Wahai manusia! Sesungguhnya Engkau sentiasa berpenat-lelah (menjalankan keadaan hidupmu) dengan sedaya upayamu hinggalah (semasa engkau) kembali kepada Tuhanmu, kemudian engkau tetap menemui balasan apa yang engkau telah usahakan itu (tercatit semuanya). Surah Al Insyiqaq - Ayat 6

Didalam ayat yang lain Allah swt Berfirman:

اللَّهُ يَبْدَأُ الْخَلْقَ ثُمَّ يُعِيدُهُ ثُمَّ إِلَيْهِ تُرْجَعُونَ (١١)

Allah memulakan kejadian sekalian makhluk, kemudian ia mengembalikannya (hidup semula pada hari kiamat), kemudian kepadaNyalah kamu akan dikembalikan (untuk menerima balasan). Surah Ar Ruum – Ayat 11

Allah swt Berfirman didalam ayat yang lain:

...ثُمَّ إِلَى رَبِّكُمْ مَرْجِعُكُمْ فَيُنَبِّئُكُمْ بِمَا كُنْتُمْ تَعْمَلُونَ ...(٧)

Kemudian kepada Tuhan kamulah tempat kembalinya kamu, maka ia akan memberitahu kepada kamu tentang apa yang kamu telah kerjakan. Surah Az Zumar – Ayat 7

Allah swt Berfirman didalam ayat yang lain:

وَأَنَّ إِلَى رَبِّكَ الْمُنْتَهَى (٤٢)

Dan Bahawa sesungguhnya kepada hukum Tuhanmu lah kesudahan (segala perkara); Surah An Najm – Ayat 42

Firman Allah swt didalam ayat yang lain:

إِنَّ إِلَى رَبِّكَ الرُّجْعَى (٨)

(ingatlah) Sesungguhnya kepada Tuhanmu lah tempat kembali (untuk menerima balasan). Surah Al ‘Alaq – Ayat 8

Seluruh ayat-ayat ini menceritakan tentang tempat kembali manusia setelah kematiannya. Pulang mengadap Pencipta-Nya untuk menilai ‘amalan-‘amalan yang dikerjakan olehnya di dunia. Nabi saw berpesan kepada Abdullah bin Umar:

عن عبد الله بن عمر رضي الله عنهما قال : أخذ رسول الله صلى الله عليه و سلم بمنكبي فقال ( كن في الدنيا كأنك غريب أو عابر سبيل ) . وكان ابن عمر يقول إذا أمسيت فلا تنتظر الصباح وإذا أصبحت فلا تنتظر المساء وخذ من صحتك لمرضك ومن حياتك لموتك

“Jadikanlan kamu didunia ini sepertimana orang asing atau seorang yang musafir (berhenti mencari bekalan)”.

Dan Ibnu Umar berpesan: “Apabila kamu berada diwaktu petang, jangan kamu menunggu sehingga waktu pagi. Dan jika kamu berada diwaktu pagi jangan kamu menunggu sehingga waktu petang. Dan gunakanlah masa sihat kamu sebelum tibanya masa sakit, dan masa hidup kamu sebelum tibanya masa kematian”. Riwayat Bukhari

Continue Reading...