Followers

Wednesday, November 25, 2009

Pengorbanan Hakiki...


Pengorbanan hakiki adalah pengorbanan yang menyerahkan segala-galanya untuk Allah swt. Pengorbanannya merangkumi seluruh aspek kehidupan, samada harta, jiwa dan perasaan. Pengorbanan ini merujuk terus kepada Nabi Allah Ibrahim as dan ahli keluarganya yang sanggup melaksanakan apa yang diperintahkan oleh Allah swt sehingga menjadi rukun didalam sembahyang untuk kita berselawat kepada Baginda Nabi Ibrahim as.

Pengorbanan Nabi Ibrahim dan ahli keluarganya untuk Allah swt amat hebat. Ketikamana Siti Hajar melahirkan Nabi Ismail, Allah swt memerintahkan Nabi Ibrahim agar meninggalkan Siti Hajar dan Ismail yang masih kecil di kota mekkah yang ketika itu kering-kontang dari air dan keidupan. Atas perintah Allah swt, Nabi Ibrahim as mengorbankan kasih sayangnya untuk Allah swt.

Siti Hajar yang membawa Nabi Ismail yang masih kecil mengorbankan jiwa-raganya serta akur untuk ditinggalkan di padang sahara semata-mata kerana menurut apa yang telah diperintahkan oleh Allah swt kepada suaminya.

Disinilah bermulanya detik-detik bersejarah bagi umat islam dalam melaksanakan Haji dikota Makkah. Disebabkan Nabi Ismail yang masih kecil kehausan, Siti hajar terpaksa untuk mencari air demi menghilangkan dahaga si anak yang dicintainya. Maka berlari-larilah dia dari Bukit Safa ke Bukit Marwah setelah mana tertipu oleh fatamorgana terik matahari yang seakan-akan seperti air.

Nabi Ismail as yang masil kecil terpaksa meronta-ronta kerana kehausan. Kakinya yang sentiasa bergerak-gerak menendang tanah akhirnya Allah swt menganugerahkan air melalui tempat yang ditendang oleh Nabi Ismail ini.

Setelah mana Nabi Ismail as sedikit remaja, Allah swt memerintah Nabi Ibrahim as supaya menyembelih anak yang dikasihinya melalui mimpi yang berulang-ulang. Antara kasih kepada anak yang disayanginya dan perintah Allah swt Tuhan segala makhuk, maka berlakulah satu pengorbanan yang agung untuk Allah swt iaitu menyembelih anaknya Nabi Ismail as.

Bagaimanakah kita jika diuji sepertimana Nabi Ibrahim as dan ahli keluarganya???

Selamat BERKORBAN untuk Allah swt dan selamat menyambut ‘Aidil Adha…

Continue Reading...

Saturday, November 14, 2009

Khusyu'kah sembahyang kita???

Sembahyang adalah satu hubungan yang terus menerus antara hamba dan Sang Pencipta. Allah swt Berfirman:

وَاسْتَعِينُوا بِالصَّبْرِ وَالصَّلاةِ وَإِنَّهَا لَكَبِيرَةٌ إِلا عَلَى الْخَاشِعِينَ (٤٥

Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) Dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan Sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyu’. Surah Al-Baqarah – Ayat 45

Antara cara untuk mendapatkan ketenangan dalam setiap ujian yang dilalui adalah dengan cara bersabar dan mengerjakan sembahyang yang mampu mendatangkan khusyu’. Khusyu’ didalam sembahyang bukanlah satu perkara yang mudah. Untuk merasakan khusyu’, kita pelulah menyempurnakan segala apa yang menjadi keperluan didalam sembahyang samada pada zahiriah atau batiniah.

Nabi saw bersabda:

حدثنا إدريس بن عبد الكريم الحداد ثنا عاصم بن علي ثنا فرج بن فضالة عن لقمان بن عامر عن أبي الدرداء أن النبي صلى الله عليه و سلم قال : أول ما يرفع من هذه الأمة الخشوع حتى لا يرى فيه خاشعا

“Pertama yang akan diangkat dari umat ini adalah khusyu’ sehingga tidak kelihatan padanya orang yang khusyu’ ”

Khusyu’ adalah ruh bagi ‘ibadah. Ia dapat dirasai selepas pemprosesan hati yang penuh rasa takut, cinta dan mengharap kepada Allah yang Maha Esa. Allah swt menjanjikan kepada orang yang benar-benar mengerjakan sembahyang (khusyu’) dengan kesan yang fositif untuk kehidupan seharian. Firman Allah swt:

وَأَقِمِ الصَّلاةَ إِنَّ الصَّلاةَ تَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنْكَرِ وَلَذِكْرُ اللَّهِ أَكْبَرُ وَاللَّهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ (٤٥

Dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun); Sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; dan Sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan. Surah Al-Ankabut – Ayat 45

Kesan khusyu’ didalam sembahyang adalah dapat memelihara manusia dari mengerjakan apa yang dilarang oleh Allah swt. Semoga dengan kisah yang akan dibawa nanti dapat memberi gambaran sedikit sebanyak dan contoh untuk kita ber’amal sehingga mendatangkan khusyu’ didalam sembahyang kita semua....insya Allah.

........................................................................................................................................................................

Isam bin Yusuf adalah seorang ahli ‘ibadah, dia sangat warak dan sangat khusyu’ di dalam solatnya. Namun begitu, dia selalu khuatir dan menyangka bahawa ibadahnya kurang khusyu’. Oleh itu dia selalu bertanya kepada orang yang dianggapnya lebih ibadahnya, demi untuk memperbaiki dirinya yang selalu merasakan kurang khusyu’.

Pada suatu hari, Isam menghadiri majlis seorang ‘abid bernama Hatim Al-Isam dan bertanya: "Wahai Aba Abdurrahman, bagaimanakah caranya tuan solat?" Hatim berkata: "Apabila masuk waktu solat saya berwudhu' zahir dan batin." Isam bertanya, "Bagaimana wudhu' zahir dan batin itu?"

Hatim berkata, "Wudhu' zahir sebagaimana biasa, iaitu membasuh semua anggota wudhu' dengan air. Sementara wudhu' batin ialah membasuh anggota dengan tujuh perkara :-

1. Bertaubat
2. Menyesali dosa yang dilakukan
3. Tidak tergila-gilakan dunia
4. Tidak mencari / mengharap pujian orang (riya')
5. Meninggalkan sifat bangga dii sendiri
6. Meninggalkan sifat khianat dan menipu
7. Meninggalkan sifat dengki

Seterusnya Hatim berkata, "Kemudian aku pergi ke masjid. Aku kemaskan semua anggotaku dan menghadap kiblat. Aku berdiri dengan penuh kewaspadaan dan membayangkan bahawa Allah berada di hadapanku, syurga berada di sebelah kananku, neraka berada di sebelah kiriku, malaikat maut berada di belakangku, dan kemudiannya aku bayangkan pula bahawa aku seolah-olah berdiri di atas titian 'Sirratul Mustaqim' dan aku menganggap bahawa solatku kali ini adalah solatku yang terakhir, kemudian aku berniat dan bertakbir dengan baik.

Setiap bacaan dan doa dalam solat kufaham maknanya, kemudian aku ruku' dan sujud dengan tawadhu'. Aku bertasyahhud dengan penuh pengharapan dan aku memberi salam dengan ikhlas. Beginilah saya bersolat selama 30 tahun." Apabila Isam mendengar, lalu menangislah dia kerana membayangkan ibadahnya yang kurang baik apabila dibandingkan dengan Hatim.
Continue Reading...

Tuesday, November 3, 2009

Antara Takmil & Taksir...

Kehidupan manusia di atas muka bumi ini tidak boleh lari dari mengasingkan diri dengan beribadah kepada Allah swt. Allah swt Berfirman:

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالإنْسَ إِلا لِيَعْبُدُونِ (٥٦

Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu. Surah Adz Dzariyat – Ayat 56

Ibadah yang memberi maksud memperhambakan diri kepada Allah swt tidak tertumpu kepada ‘ibadah-ibadah tertentu seperti sembahyang, puasa, zakat, haji semata-mata. Tetapi ibadah ini merangkumi segala gerak kerja yang dilakukan oleh makhluknya. Sekiranya melaksanakan perkara yang harus dan bersamanya dengan niat kerana Allah, maka ia menjadi ‘ibadah. Sepertimana makan, bagi manusia ia adalah perkara yang harus, seandainya diniat ketika makan untuk ber’ibadah kepada Allah, maka ia juga dikira ‘ibadah.
Ada dikalangan manusia lebih menyukai untuk melakukan sesuatu ‘ibadah atau ‘amalan dengan mencari bilangan yang banyak. Sembahyang nya dari dua raka’at ke dua raka’at, disambung lagi dengan dua raka’at tidak putus-putus untuk memenuhi hidupnya dengan sembahyang. Setiap bacaannya takbir, tahmid, tahlil, istiqfar, doa dan surah di dalam sembahyang tidak dapat ditadabbur kerana terlalu mengejar raka’at.


‘Ibadah yang dituntut oleh Allah swt adalah ‘amalan yang sempurna dan bukanlah ‘amalan yang banyak. Satu peristiwa yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah:

عن أبي هريرة :أن رسول الله صلى الله عليه و سلم دخل المسجد فدخل رجل فصلى فسلم على النبي صلى الله عليه و سلم فرد وقال ( ارجع فصل فإنك لم تصل ) . فرجع يصلي كما صلى ثم جاء فسلم على النبي صلى الله عليه و سلم فقال ( ارجع فصل فإنك لم تصل ) . ثلاثا فقال والذي بعثك بالحق ما أحسن غيره فعلمني ؟ فقال ( إذا قمت إلى الصلاة فكبر ثم اقرأ ما تيسر معك من القران ثم اركع حتى تطمئن راكعا ثم ارفع حتى تعتدل قائما ثم اسجد حتى تطمئن ساجدا ثم ارفع حتى تطمئن جالسا وافعل ذلك في صلاتك كلها

Ketikamana RasululLah saw memasuki masjid, lalu masuk seorang lelaki dan sembahyang, kemudian dia berjumpa dan memberi salam kepada Nabi saw. Kata Nabi saw: “pergi dan sembahyang, sesungguhnya kamu belum sembahyang”. Maka dia pergi dan sembahyang seperti biasa, kemudian dia datang kepada Nabi saw dan memberi salam. Dan Nabi saw berkata: “pergi dan sembahyang, sesungguhnya kamu belum sembahyang”. Dan mengulanginya tiga kali. Dan berkata lelaki tersebut: “demi yang mengutuskan kamu dengan kebenaran apakah yang baik dari selain yang aku kerjakan?, maka ajarkanlah aku”. Nabi saw Bersabda: “ketikamana kamu bangun untuk sembahyang, Angkatlah takbir, kemudian bacalah apa yang mudah bagi kamu dari al Quran, kemudian ruku’ sehingga tetap (tenang) dalam ruku’, kemudian bangun sehingga tegak ketika berdiri, kemudian sujud sehingga tetap (tenang) dalam sujud, kemudian bangun sehingga tetap (tenang) duduk diantara dua sujud, dan buatlah sedemikian pada sembahyang kamu semuanya. Riwayat Bukhari dan Muslim.

Kesempurnaan dalam melaksanakan ‘ibadah adalah sesuatu yang sangat perlu dijaga sepertimana hadis diatas, seorang lelaki yang sembahyang dengan cara yang tidak sempurna, dikatakan oleh Nabi saw bahawa kamu tidak sembahyang walaupun ia berulang-ulang kali mengerjakannya.

Nabi saw mengajar umatnya untuk menyempurnakan ‘amalan, dan ia tidak terlalu menumpu kepada banyaknya bilangan. Sepertimana kehidupan Nabi saw diwaktu sepertiga diakhir malam, Nabi saw kadangkala sembahyang malam bersama sahabatnya yang berbeza-berbeza. Sekali bersama Huzaifah ra, Sekali bersama Ibnu Mas’ud ra, sekali bersama Ibnu ‘Abbas ra, Dan Nabi saw sentiasa sembahyang bersendirian.

Di dalam hadis-hadis yang diriwayatkan oleh para sahabatnya, Nabi saw sentiasa sembahyang malam dengan jumlah sebelas rakaat bersama witir. Dan kadang kalanya Nabi saw sembahyang malam sehingga dua puluh rakaat dan ianya sangat jarang.

Cara sembahyang Nabi saw tidaklah mengejar raka’at, tetapi menyempurna dengan cara menghayati setiap apa yang dibaca didalam sembahyang. Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Huzaifah ibnu Yaman dengan berkata:

عَنْ حُذَيْفَةَ قَالَ صَلَّيْتُ مَعَ النَّبِىِّ -صلى الله عليه وسلم- ذَاتَ لَيْلَةٍ فَافْتَتَحَ الْبَقَرَةَ فَقُلْتُ يَرْكَعُ عِنْدَ الْمِائَةِ. ثُمَّ مَضَى فَقُلْتُ يُصَلِّى بِهَا فِى رَكْعَةٍ فَمَضَى فَقُلْتُ يَرْكَعُ بِهَا. ثُمَّ افْتَتَحَ النِّسَاءَ فَقَرَأَهَا ثُمَّ افْتَتَحَ آلَ عِمْرَانَ فَقَرَأَهَا يَقْرَأُ مُتَرَسِّلاً


“Aku sembahyang bersama Nabi saw pada satu malam Nabi saw memulakannya dengan surah Al Baqarah, aku menyangka bahawa selesai surah Al Baqarah Nabi saw akan ruku’, tetapi Nabi saw menyambungnya dengan surah An Nisa’ secara sempurna, kemudian aku menyangka bahawa Nabi saw akan ruku’, tetapi Nabi saw menyambung pula dengan surah Al ‘Imran dengan sempurna”. Riwayat Muslim

Inilah sembahyang Nabi saw yang amat memelihara kesempurnaan ‘ibadah. Allah swt berfirman:

الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلا وَهُوَ الْعَزِيزُ الْغَفُورُ (٢

Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat); Surah Al Mulk – Ayat 2
Continue Reading...