Followers

Tuesday, November 3, 2009

Antara Takmil & Taksir...

Kehidupan manusia di atas muka bumi ini tidak boleh lari dari mengasingkan diri dengan beribadah kepada Allah swt. Allah swt Berfirman:

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالإنْسَ إِلا لِيَعْبُدُونِ (٥٦

Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu. Surah Adz Dzariyat – Ayat 56

Ibadah yang memberi maksud memperhambakan diri kepada Allah swt tidak tertumpu kepada ‘ibadah-ibadah tertentu seperti sembahyang, puasa, zakat, haji semata-mata. Tetapi ibadah ini merangkumi segala gerak kerja yang dilakukan oleh makhluknya. Sekiranya melaksanakan perkara yang harus dan bersamanya dengan niat kerana Allah, maka ia menjadi ‘ibadah. Sepertimana makan, bagi manusia ia adalah perkara yang harus, seandainya diniat ketika makan untuk ber’ibadah kepada Allah, maka ia juga dikira ‘ibadah.
Ada dikalangan manusia lebih menyukai untuk melakukan sesuatu ‘ibadah atau ‘amalan dengan mencari bilangan yang banyak. Sembahyang nya dari dua raka’at ke dua raka’at, disambung lagi dengan dua raka’at tidak putus-putus untuk memenuhi hidupnya dengan sembahyang. Setiap bacaannya takbir, tahmid, tahlil, istiqfar, doa dan surah di dalam sembahyang tidak dapat ditadabbur kerana terlalu mengejar raka’at.


‘Ibadah yang dituntut oleh Allah swt adalah ‘amalan yang sempurna dan bukanlah ‘amalan yang banyak. Satu peristiwa yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah:

عن أبي هريرة :أن رسول الله صلى الله عليه و سلم دخل المسجد فدخل رجل فصلى فسلم على النبي صلى الله عليه و سلم فرد وقال ( ارجع فصل فإنك لم تصل ) . فرجع يصلي كما صلى ثم جاء فسلم على النبي صلى الله عليه و سلم فقال ( ارجع فصل فإنك لم تصل ) . ثلاثا فقال والذي بعثك بالحق ما أحسن غيره فعلمني ؟ فقال ( إذا قمت إلى الصلاة فكبر ثم اقرأ ما تيسر معك من القران ثم اركع حتى تطمئن راكعا ثم ارفع حتى تعتدل قائما ثم اسجد حتى تطمئن ساجدا ثم ارفع حتى تطمئن جالسا وافعل ذلك في صلاتك كلها

Ketikamana RasululLah saw memasuki masjid, lalu masuk seorang lelaki dan sembahyang, kemudian dia berjumpa dan memberi salam kepada Nabi saw. Kata Nabi saw: “pergi dan sembahyang, sesungguhnya kamu belum sembahyang”. Maka dia pergi dan sembahyang seperti biasa, kemudian dia datang kepada Nabi saw dan memberi salam. Dan Nabi saw berkata: “pergi dan sembahyang, sesungguhnya kamu belum sembahyang”. Dan mengulanginya tiga kali. Dan berkata lelaki tersebut: “demi yang mengutuskan kamu dengan kebenaran apakah yang baik dari selain yang aku kerjakan?, maka ajarkanlah aku”. Nabi saw Bersabda: “ketikamana kamu bangun untuk sembahyang, Angkatlah takbir, kemudian bacalah apa yang mudah bagi kamu dari al Quran, kemudian ruku’ sehingga tetap (tenang) dalam ruku’, kemudian bangun sehingga tegak ketika berdiri, kemudian sujud sehingga tetap (tenang) dalam sujud, kemudian bangun sehingga tetap (tenang) duduk diantara dua sujud, dan buatlah sedemikian pada sembahyang kamu semuanya. Riwayat Bukhari dan Muslim.

Kesempurnaan dalam melaksanakan ‘ibadah adalah sesuatu yang sangat perlu dijaga sepertimana hadis diatas, seorang lelaki yang sembahyang dengan cara yang tidak sempurna, dikatakan oleh Nabi saw bahawa kamu tidak sembahyang walaupun ia berulang-ulang kali mengerjakannya.

Nabi saw mengajar umatnya untuk menyempurnakan ‘amalan, dan ia tidak terlalu menumpu kepada banyaknya bilangan. Sepertimana kehidupan Nabi saw diwaktu sepertiga diakhir malam, Nabi saw kadangkala sembahyang malam bersama sahabatnya yang berbeza-berbeza. Sekali bersama Huzaifah ra, Sekali bersama Ibnu Mas’ud ra, sekali bersama Ibnu ‘Abbas ra, Dan Nabi saw sentiasa sembahyang bersendirian.

Di dalam hadis-hadis yang diriwayatkan oleh para sahabatnya, Nabi saw sentiasa sembahyang malam dengan jumlah sebelas rakaat bersama witir. Dan kadang kalanya Nabi saw sembahyang malam sehingga dua puluh rakaat dan ianya sangat jarang.

Cara sembahyang Nabi saw tidaklah mengejar raka’at, tetapi menyempurna dengan cara menghayati setiap apa yang dibaca didalam sembahyang. Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Huzaifah ibnu Yaman dengan berkata:

عَنْ حُذَيْفَةَ قَالَ صَلَّيْتُ مَعَ النَّبِىِّ -صلى الله عليه وسلم- ذَاتَ لَيْلَةٍ فَافْتَتَحَ الْبَقَرَةَ فَقُلْتُ يَرْكَعُ عِنْدَ الْمِائَةِ. ثُمَّ مَضَى فَقُلْتُ يُصَلِّى بِهَا فِى رَكْعَةٍ فَمَضَى فَقُلْتُ يَرْكَعُ بِهَا. ثُمَّ افْتَتَحَ النِّسَاءَ فَقَرَأَهَا ثُمَّ افْتَتَحَ آلَ عِمْرَانَ فَقَرَأَهَا يَقْرَأُ مُتَرَسِّلاً


“Aku sembahyang bersama Nabi saw pada satu malam Nabi saw memulakannya dengan surah Al Baqarah, aku menyangka bahawa selesai surah Al Baqarah Nabi saw akan ruku’, tetapi Nabi saw menyambungnya dengan surah An Nisa’ secara sempurna, kemudian aku menyangka bahawa Nabi saw akan ruku’, tetapi Nabi saw menyambung pula dengan surah Al ‘Imran dengan sempurna”. Riwayat Muslim

Inilah sembahyang Nabi saw yang amat memelihara kesempurnaan ‘ibadah. Allah swt berfirman:

الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلا وَهُوَ الْعَزِيزُ الْغَفُورُ (٢

Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat); Surah Al Mulk – Ayat 2

No comments: