Followers

Wednesday, November 25, 2009

Pengorbanan Hakiki...


Pengorbanan hakiki adalah pengorbanan yang menyerahkan segala-galanya untuk Allah swt. Pengorbanannya merangkumi seluruh aspek kehidupan, samada harta, jiwa dan perasaan. Pengorbanan ini merujuk terus kepada Nabi Allah Ibrahim as dan ahli keluarganya yang sanggup melaksanakan apa yang diperintahkan oleh Allah swt sehingga menjadi rukun didalam sembahyang untuk kita berselawat kepada Baginda Nabi Ibrahim as.

Pengorbanan Nabi Ibrahim dan ahli keluarganya untuk Allah swt amat hebat. Ketikamana Siti Hajar melahirkan Nabi Ismail, Allah swt memerintahkan Nabi Ibrahim agar meninggalkan Siti Hajar dan Ismail yang masih kecil di kota mekkah yang ketika itu kering-kontang dari air dan keidupan. Atas perintah Allah swt, Nabi Ibrahim as mengorbankan kasih sayangnya untuk Allah swt.

Siti Hajar yang membawa Nabi Ismail yang masih kecil mengorbankan jiwa-raganya serta akur untuk ditinggalkan di padang sahara semata-mata kerana menurut apa yang telah diperintahkan oleh Allah swt kepada suaminya.

Disinilah bermulanya detik-detik bersejarah bagi umat islam dalam melaksanakan Haji dikota Makkah. Disebabkan Nabi Ismail yang masih kecil kehausan, Siti hajar terpaksa untuk mencari air demi menghilangkan dahaga si anak yang dicintainya. Maka berlari-larilah dia dari Bukit Safa ke Bukit Marwah setelah mana tertipu oleh fatamorgana terik matahari yang seakan-akan seperti air.

Nabi Ismail as yang masil kecil terpaksa meronta-ronta kerana kehausan. Kakinya yang sentiasa bergerak-gerak menendang tanah akhirnya Allah swt menganugerahkan air melalui tempat yang ditendang oleh Nabi Ismail ini.

Setelah mana Nabi Ismail as sedikit remaja, Allah swt memerintah Nabi Ibrahim as supaya menyembelih anak yang dikasihinya melalui mimpi yang berulang-ulang. Antara kasih kepada anak yang disayanginya dan perintah Allah swt Tuhan segala makhuk, maka berlakulah satu pengorbanan yang agung untuk Allah swt iaitu menyembelih anaknya Nabi Ismail as.

Bagaimanakah kita jika diuji sepertimana Nabi Ibrahim as dan ahli keluarganya???

Selamat BERKORBAN untuk Allah swt dan selamat menyambut ‘Aidil Adha…

No comments: