Followers

Thursday, July 23, 2009

Masa depan milik Islam???



Kita perlu meyakini bahawa masa depan adalah milik Agama Allah swt iaitu Islam. Islam adalah satu atur cara hidup yang diturunkan oleh Allah swt. Oleh itu Allah swt sahajalah yang paling ampuh dan mampu menyusun urusan hidup manusia. Dialah paling layak untuk memimpin manusia.


Islam adalah satu-satunya manhaj (sistem) atau cara hidup yang selaras dengan kehendak fitrah manusia yang sejahtera. Islam dapat memperseimbangkan tuntutan lahiriyah dan rohaniyah manusia. Firman Allah swt:


أَلا يَعْلَمُ مَنْ خَلَقَ وَهُوَ اللَّطِيفُ الْخَبِيرُ (١٤


“Tidakkah yang mencipta itu lebih mengetahui. Dan Allah itu Maha Penyantun lagi Maha Mengetahui.” Surah Al Mulk - Ayat 14


Mengapakah Islam akan menguasai masa depan dunia?

Jawapannya ialah:


1. Islam adalah manhaj Rabbani yang merupakan corak penghayatan yang kudus mengatasi sistem dan cara hidup ciptaan manusia. Islam mampu untuk kekal dan tamadunnya dapat memberikan saham untuk setiap zaman, tempat dan peringkat.


2. Manhaj hidup Islam yang universal menyerlahkan ciri keinsanan, ciri infitah (terbuka dan kelapangan) dan berupaya untuk menanggung sebarang kemungkinan. Ciri infitah ini melampaui pertimbangan kedaerahan, perkauman, kebangsaan dan sebagainya. Ciri-ciri ini adalah cetusan daripada Sibghah Rabbani.


3. Keanjalan manhaj hidup Islam memberikan daya untuk menghadapi aneka permasalahan hidup yang datang silih berganti. Sibghah atau ciri ini membuatkan Islam berkebolehan untuk berijtihad atau menyimpulkan hukum-hakam terhadap hal-hal yang tiada nas sama ada melalui Qiyas, Masalih Mursalah, Istihsan dan sebagainya.


4. Ciri manhaj hidup Islam yang menyeluruh membezakannya dengan sebarang manhaj atau sistem hidup duniawi yang mempunyai dimensi matlamat terbatas. Manhaj hidup Islam adalah ciptaan Zat yang Maha Mengetahui akan masalah manusia, apa yang baik untuk manusia dan apa yang buruk untuk manusia. Dia Maha Mengetahui apa yang membahagia dan apa yang mencelakakan hidup manusia. Oleh itu Islam sahaja mampu memenuhi keperluan manusia baik individu mahupun kelompok, kepimpinan mahupun perundangan, urusan dalam negara mahupun urusan luar negara. Firman Allah swt:


صِبْغَةَ اللَّهِ وَمَنْ أَحْسَنُ مِنَ اللَّهِ صِبْغَةً وَنَحْنُ لَهُ عَابِدُونَ (١٣٨


“Itulah sibghah (corakan/celupan) Allah, maka siapakah yang lebih baik celupannya daripada celupan Allah.” Surah Al Baqarah - Ayat 138


5. Sistem hidup sekular ciptaan manusia telah bersimpang-siur dan menemui kegagalan, baik di timur mahupun di barat, sama ada sistem kapitalisme, sosialisme, liberalisme ataupun komunisme. Tidak syak lagi semua sistem itu ada batasan dan kelemahannya. Hakikatnya semua sistem itu adalah ciptaan manusia dan lemah.


6. Dalam arena sosial, sistem-sistem yang dipanggil sistem kanan atau sistem kiri ternyata gagal memantapkan kebahagiaan, keharmonian dan kestabilan hidup manusia. Malah telah banyak malapetaka ditanggung oleh manusia cetusan daripada sistem-sistem itu. Ikatan kekeluargaan semakin terburai, kasih sayang semakin pudar dan akhlak semakin luntur. Nilai-nilai keutamaan dan keluhuran telah kehilangan harga. Ketegangan dan permusuhan mengambil tempat kedamaian dan ketenangan. Semangat egoistik dan mementingkan diri sendiri mengalahkan semangat kerjasama dan mengutamakan orang lain.


7. Dalam bidang ekonomi, sistem-sistem hidup kapitalisme dan sosialisme ternyata gagal mewujudkan syurga impian atau masyarakat serba adil seperti yang dilaung-laungkan. Daripada sistem-sistem ini tercetus bermacam krisis dan permasalahan hidup. Lahir pertarungan kasta, kezaliman sosial, ta’asub kepartaian, monopoli, kemiskinan, pengangguran dan seribu satu macam masalah lagi.


8. Dalam arena politik, sistem-sistem ala ketenteraan, demokrasi dan republik beraja atau tidak beraja bertanggungjawab melahir, merangsang dan membiakkan penyelewengan dan kejahatan di setiap peringkat. Penyalahgunaan kuasa, pilih kasih, rasuah, bermegah dengan kekuasaan, fitnah, pembunuhan, penggulingan kuasa yang silih berganti, pemberontakan, penyingkiran dan bunuh curi hampir-hampir menjadi kelaziman sistem-sistem tersebut.


9. Dalam bidang ketenteraan, sistem-sistem ini banyak menanggung dosa, mangabaikan nasib masyarakat dan negara Islam yang lemah. Peristiwa-peristiwa di Kashmir, Eriteria, Bosnia, Mindanau, Chechnya, Palestin dan sebagainya adalah bukti-bukti nyata. Lebih parah, ada negara Islam atau Arab yang menjadikan krisis itu sebagai daun-daun permainan politik untuk digadai atau dipergunakan bagi menjamin kekuasaan mereka akan berterusan. Firman Allah swt:


يَا أَيُّهَا الإنْسَانُ مَا غَرَّكَ بِرَبِّكَ الْكَرِيمِ (٦)الَّذِي خَلَقَكَ فَسَوَّاكَ فَعَدَلَكَ (٧)فِي أَيِّ صُورَةٍ مَا شَاءَ رَكَّبَكَ (٨


“Wahai manusia, apakah yang telah memperdayakan kamu (berbuat durhaka) terhadap Tuhanmu yang Maha Pemurah. yang telah menciptakan kamu lalu menyempurnakan kejadianmu dan menjadikan (susunan tubuh)mu seimbang, dalam bentuk apa sahaja yang Dia kehendaki, Dia menyusun tubuhmu.” Surah Al Infitar - Ayat 6-8


Continue Reading...

Thursday, July 16, 2009

Di Sebalik Isra' dan Mi'raj

Isra’ Mi’raj...inilah yang sering disebut apabila tibanya tanggal 27 Rejab. Ia seperti sambutan tahunan bagi kita yang menjadi rakyat Malaysia. Dengan bertujuankan untuk menyingkap perjalanan hidup baginda Nabi saw yang penuh dengan sejarah yang agung. Berlakunya Isra’ dan Mi’raj setelah mana Baginda Nabi saw melalui ujian yang begitu perit disamping tentangan yang hebat oleh puak Quraisy.


Keperitan perjuangan yang dilalui oleh Baginda kadangkala hampir mengorbankan nyawa. Namun sedemikian halangan, ia bukanlah tembok penghalang untuk baginda terus mengorak langkah bagi meneruskan tugas yang diamanahkan kepada Baginda.

Dalam melawan arus kegelapan kema’siatan, Nabi saw sentiasa diberi semangat dan dorongan oleh dua insan yang disayangi dan menyayangi. Iaitu bapa saudara Baginda Abu Talib dan Isteri baginda Saidatina Khadijah. Kedua-dua ini sentiasa membantu Nabi saw dan memberi perlindungan dari ancaman kaum Quraisy.

Pada tahun ke-11 dari kerasulan Baginda. Allah swt telah menguji Baginda saw dengan satu ujian yang sangat berat untuk ditanggung. Dengan cara memulangkan kembali dua insan yang sebelum ini memayungi Baginda dari kezaliman kaum Quraisy kepangkuan Pencipta.

Keperitan dan kepedihan amat dirasai oleh Baginda Nabi saw. Pemergian isteri tercinta Saidatina Khadijah pula selepas mana 3 hari Abu Talib pulang mengada Allah Rabbul Jalil. Maka ternamalah pada tahun tersebut bagi Baginda Nabi saw dengan ‘Aamul Huzn (Tahun Kesedihan).

Pergerakan dakwah di Mekah semakin sukar, kemudiannya Rasulullah saw cuba berda’wah kepada Bani yang berada di Taif. Di situ, Baginda mendapat tentangan yang lebih hebat, di mana Rasulullah saw dihina dan dilontar dengan batu.

Di sebalik keadaan diri yang diliputi kesedihan dan kehampaan. Allah swt yang Maha Pengasih kepada hambaNya telah menyusun sesuatu yang sangat menjadi penghibur hati Nabi saw disamping mengukuhkan keimanan Baginda. Langkah tersebut adalah dengan penganugerahan Isra’ dan Mi’raj pada satu malam.

Peristiwa Israk dan Mikraj ini berlaku mengikut beberapa riwayat pada malam 27 Rejab tahun ke-11 kerasulan Baginda. Peristiwa ini dirakam oleh Allah swt di dalam kitabNya:

سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَى بِعَبْدِهِ لَيْلا مِنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الأقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَا إِنَّه هُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ (١

Maksudnya: Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidilharam (di Mekah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Surah Al Israa’ – Ayat 1
Dalam perjalanan yang begitu istimewa ini, pelgai perkara yang dilihat dan dipelajari oleh Baginda Rasulullah saw.

Di antara perkara yang boleh dikongsi dan harus kita renungkan bersama adalah:

1. Manusia harus sentiasa memerhatikan hubungannya dengan Allah, dan sentiasa menilai kembali dan berusaha memperelokkan hubungan tersebut. Hubungan dengan Allah ini mestilah wujud tatkala ditimpa kesusahan dan ujian mahupun di kala mendapat kesenangan dan kemudahan.

Ini kerana hanya Allah swt sahajalah yang berkuasa dan mampu memberikan pertolongan, menghilangkan segala kesedihan, dukacita dan kesusahan pada diri kita.

Caranya ialah kita sentiasa beristiqamah, terus menerus melaksanakan semua perintahNya dan menjauhi semua laranganNya dan bukan menjadi orang yang hanya taat pada waktu susah dan melupakan Allah pada waktu senang.

2. Kehidupan kita yang ingin berjuang untuk kebaikan pasti akan dipenuhi dengan cabaran dan dugaan. Ia tidak akan sentiasa mudah tetapi kita akan berhadapan dengan kesusahan terlebih dahulu.

Namun, semua yang berlaku itu demi untuk mengukur dan menilai keimanan kita di dalam hati. Adakah kita sanggup menghadapinya dengan penuh ketabahan dan kesabaran atau kita tergolong dalam golongan yang mudah berputus harapan?

Firman Allah swt:

فَإِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا (٥)إِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا (٦

Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu bahawa) sesungguhnya tiap-tiap kesukaran ada disertai kemudahan. (Sekali lagi ditegaskan): Sesungguhnya tiap-tiap kesukaran ada disertai kemudahan. Surah An Nasyrah – Ayat 5 & 6

Seperti yang ditunjukkan oleh Allah swt kepada NabiNya yang tercinta, bahawa Allah swt tidak akan membiarkan hambaNya yang ikhlas dan benar dalam berjuang. Bahkan Ia akan dibantu Allah swt. Ia akan diberikan kegembiraan oleh Allah. Dan Allah akan mengangkat darjat dan kedudukannya.

3. Menjauhi perkara mungkar dan maksiat. Semasa peristiwa Isra’ dan Mi’raj, baginda Rasulullah saw telah ditunjukkan keadaan neraka dan ahlinya.

Baginda melihat berbagai bentuk penyeksaan dahsyat yang sedang dialami oleh berbagai kaum akibat daripada kejahatan yang pernah mereka lakukan.

Misalnya Nabi diperlihatkan kepada satu kaum yang memecahkan sendiri kepala mereka dengan batu yang besar, setelah pecah ia kembali seperti sediakala.

Nabi juga melihat seksaan bagi pemakan riba, penzina, pengumpat, yang suka memfitnah dan lain-lain lagi.

Ini semua memberi iktibar kepada kita yang hidup di dunia ini agar tidak melakukan segala perbuatan yang mungkar dan tercela, tidak kira apa bentuknya sekalipun kerana seksaan yang disediakan Allah amatlah dahsyat.

4. Perintah solat merupakan suatu bentuk ibadah yang begitu penting di dalam kehidupan seseorang hamba. Kewajipan solat begitu istimewa dibandingkan dengan kewajipan yang lain seperti puasa, zakat dan haji.

Ini kerana, kewajipan solat diterima terus oleh Nabi saw daripada Allah sewaktu bertemu Allah pada malam Mi’raj tanpa perantaraan malaikat Jibril. Ini menunjukkan keistimewaan dan kelebihan solat berbanding ibadah-ibadah lain, dan solat juga amalan yang paling awal dihisab di akhirat kelak.

Dengan solat, kita berpeluang untuk berhubung secara langsung dengan Allah swt, sebagaimana yang dijelaskan di dalam al-Quran yang bermaksud: Sesungguhnnya Akulah Allah tidak ada Tuhan selain Ku, maka sembahlah Aku dan dirikanlah solat untuk mengingati Ku.

Oleh yang demikian, mestilah kita mendatangi ibadah ini dengan penuh perhatian dan khusyuk, bermula daripada mengambil wudu’, dan melaksanakannya dengan penuh pengharapan agar diterima seiring dengan takut dan khusu’ kepada Allah swt.

5. Mengakui dan tunduk kepada kebesaran Allah sebagai pencipta agar keyakinan terhadap kekuasaan-Nya benar-benar bersemi di jiwa kita. Ini kerana sewaktu Isra’ dan Mi’raj, Allah swt memperlihatkan kepada Nabi saw, keagungan dan berbagai keajaiban ciptaanNya seperti Sidratul Muntaha, syurga dan lain-lain lagi.

6. Anjuran memberi salam. Di sepanjang perjalanan Mi’raj, Nabi saw tidak pernah lupa mengucapkan salam kepada rasul-rasul lain yang baginda temui.

Ini mengingatkan kita kepada keutamaan memberi salam dan galakan supaya selalu memberi salam kepada saudara sesama Islam untuk mengeratkan hubungan silaturahim di antara kita.

7. Mengingatkan usia dunia yang sudah tua yang mana dibayangkan melalui pertemuan Nabi dengan seorang nenek tua. Ia memberi gambaran kepada kita yang umur dunia sudah lanjut dan hampir kepada penghujungnya.

Hakikat ini memperingatkan setiap Muslim bahawa segala kemewahan dan kesenangan dunia hanyalah bersifat sementara. Hanya ketakwaan dan amal soleh menjadi bekalan untuk ke akhirat.

8. Berwaspadalah dengan rayuan dan tipu daya iblis, kerana sewaktu Isra’, pada awal perjalanan lagi jin Afrit telah mengejar Baginda saw dengan membawa obor untuk menghalang perjalanan Nabi saw dan berusaha memperdayakan Baginda.

Peristiwa ini memperingatkan kita bahawa syaitan dan iblis tidak akan jemu untuk menyesat dan memperdaya umat manusia dengan pelbagai cara. Peristiwa Isra’ dan Mi’raj merupakan mukjizat teragung yang dianugerahkan khas oleh Allah swt kepada Rasulullah saw.

Justeru itu, pelbagai pengajaran di dalamnya hendaklah direnung dan dihayati supaya ia dapat membantu memberikan nilai tambah dalam kehidupan, baik dalam usaha meningkatkan ketakwaan dan prestasi ibadah kepada Allah mahupun untuk peningkatan ilmu pengetahuan, terutama dalam menghadapi cabaran era globalisasi masa kini.

Continue Reading...

Monday, July 13, 2009

Selamatkah kita esok???


Bangun dan sujud pada tengah malam adalah amalan Rasulullah saw serta para sahabatnya.

Saidina Abu Bakar al-Siddiq ra adalah seorang sahabat Rasulullah saw yang amat penyedih. Apabila beliau membaca ayat Allah, air matanya tidak dapat dibendung. Hatinya begitu lembut, sensitif dan cepat tersentuh.

Saidina Umar pula suka mengingatkan dirinya terhadap hari perhitungan. Ketakutan sentiasa menguasai hatinya. Wajahnya diguris bekas aliran tangisan yang terus-menerus mengalir mengingat hari perjumpaan dengan Allah kelak.

Ketika dalam keadaan sakit tenat yang membawa kepada kematiannya, beliau berkata kepada anaknya Abdullah bin Umar: "Letakkan pipiku di atas tanah." Abdullah menghalang dengan lembut sambil berkata: "Wahai ayah, bukankah itu akan membuatmu semakin sakit?" Umar berkata lagi: "Aku tidak peduli, letakkan aku di atas tanah, celakalah aku jika Tuhanku tidak merahmati aku!"

Tangisan adalah ubat bagi hati yang keras. Ia mendatangkan cahaya dan membersihkan diri dari kekotoran dosa, manakala berlebihan tertawa dan bersenda gurau membawa kepada kelalaian, mengeraskan hati dan mengeruhkan kesuciannya.


Rasulullah SAW suatu ketika bertemu sahabat yang tertawa sambil bergurau. Baginda saw bersabda maksudnya: "Jika kamu semua mengetahui seperti apa yang aku ketahui, nescaya kamu akan banyak menangis dan sedikit tertawa."

Ada beberapa alasan mengapa orang beriman perlu menangisi dirinya.

a) Dia tidak tahu qada’ dan qadar atas dirinya.

Rasulullah SAW bersabda:

حدثنا رسول الله صلى الله عليه و سلم وهو الصادق المصدوق : إن خلق أحدكم يجمع في بطن أمه أربعين يوما وأربعين ليلة ثم يكون علقة مثله ثم يكون مضغة مثله ثم يبعث إليه الملك فيؤذن بأربع كلمات فيكتب رزقه وأجله وعمله وشقي أم سعيد ثم ينفخ فيه الروح فإن أحدكم ليعمل بعمل أهل الجنة حتى لا يكون بينها وبينه إلا ذراع فيسبق عليه الكتاب فيعمل بعمل أهل النار فيدخل النار . وإن أحدكم ليعمل بعمل أهل النار حتى ما يكون بينها وبينه إلا ذراع فيسبق عليه الكتاب فيعمل عمل أهل الجنة فيدخلها

Maksudnya: "Sesungguhnya kamu dikumpulkan kejadiannya dalam perut ibu 40 hari air mani, kemudian menjadi segumpal darah selama 40 hari lagi, kemudian menjadi seketul daging selama 40 hari, kemudian diutuskan kepadanya malaikat lalu ditiupkan roh kepadanya dan dituliskan empat kalimah iaitu rezekinya, umurnya, amalnya, celakanya atau bahagianya. Maka, demi Allah yang tidak ada Tuhan selain-Nya, sesungguhnya seseorang mengerjakan amal ahli syurga sehingga tidak ada jarak antaranya dengan syurga itu melainkan sehasta, kemudian terdahulu atasnya ketentuan tulisan lalu ia pun mengerjakan amal ahli neraka maka masuklah ia ke dalamnya. Dan seseorang mengerjakan amal ahli neraka sehingga tidak ada jarak di antaranya dengan neraka kecuali sehasta. Kemudian terdahulu atasnya ketentuan tulisan lalu dia pun mengerjakan amalan ahli syurga maka masuklah dia ke dalamnya." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).


Siapakah yang boleh menjamin nama kita termasuk dalam senarai ahli syurga? Tidakkah hal itu petanda bahawa kita tidak berkuasa menolong diri sendiri? Letakkanlah diri kita sentiasa dalam keadaan cemas, takut dan harap kepada Allah. Caranya dengan banyak menangis dan memohon pertolongan-Nya.

b) Menangislah kerana ingat terhadap malam pertama di alam kubur.

Siapakah yang menjadi teman untuk seorang pengantin yang memakai helaian kafan? Ditinggalkan sendirian menanggung nasib, meratapi kepergian orang yang menghantar ke perkuburan. Jangan pergi! Mana anakku, isteri dan saudara mara yang dulu mengasihiku? Semua hartaku, siapa yang menghabiskan segala jerih payahku selama ini? Lubang itu terlalu sempit, tempat cacing dan ulat menggigit-gigit.

Malam pertama di sini sungguh berat ditanggung sendiri. Ada malaikat yang datang membawa urusan amat penting. Persoalan yang bukan senda gurau kekasih pada malam pengantin. Bahkan, gertakan yang mengecutkan hati dan kekerasan yang memadamkan kegembiraan.

Siapakah yang mahu menolong aku, menemani dan membela diriku? Di mana sembahyang, puasa, haji dan sedekahku? Datanglah selimuti aku daripada kepedihan seksa ini. Di mana bacaan al-Quran, zikir dan kelembutan lidah yang pernah mengeluarkan kata-kata yang baik?

Datanglah semua segala kebaikanku dari atas kepala, di sebelah tangan, di kaki, di seluruh tubuh badan yang kaku dan pucat ini.

Siapakah yang sanggup membela jika bukan amal soleh di dunia. Mayat itu menangis di perut bumi, menyesal mengapa dulu ia tidak menangis ketika bersimpuh di atas bumi?

c) Menangis kerana ingatkan hari perhitungan.

Rasulullah saw bersabda:

عَنْ أَبِى هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- قَالَ « أَتَدْرُونَ مَا الْمُفْلِسُ ». قَالُوا الْمُفْلِسُ فِينَا مَنْ لاَ دِرْهَمَ لَهُ وَلاَ مَتَاعَ. فَقَالَ « إِنَّ الْمُفْلِسَ مِنْ أُمَّتِى يَأْتِى يَوْمَ الْقِيَامَةِ بِصَلاَةٍ وَصِيَامٍ وَزَكَاةٍ وَيَأْتِى قَدْ شَتَمَ هَذَا وَقَذَفَ هَذَا وَأَكَلَ مَالَ هَذَا وَسَفَكَ دَمَ هَذَا وَضَرَبَ هَذَا فَيُعْطَى هَذَا مِنْ حَسَنَاتِهِ وَهَذَا مِنْ حَسَنَاتِهِ فَإِنْ فَنِيَتْ حَسَنَاتُهُ قَبْلَ أَنْ يُقْضَى مَا عَلَيْهِ أُخِذَ مِنْ خَطَايَاهُمْ فَطُرِحَتْ عَلَيْهِ ثُمَّ طُرِحَ فِى النَّارِ

Bermaksud: "Orang yang muflis di kalangan umatku ialah: Seseorang yang datang pada hari kiamat dengan pahala sembahyang, puasa dan zakat. Tetapi, dia pernah mencaci si polan, menuduh si polan, menumpah darah si polan dan memukul si polan. Maka akan diberikan kepada orang yang teraniaya itu daripada pahala kebaikan orang tadi sehingga apabila habis pahalanya, sedangkan belum semua terbayar, maka akan diambil ganti dari dosa orang itu dan dibebankan kepadanya dan dia dicampakkan ke dalam neraka kerananya." (Riwayat Muslim dari Abu Hurairah)


Ingatlah keaiban diri yang terlalu banyak untuk dihitung, jangan sibuk menyebut aib orang lain. Semua orang di sekeliling kita tidak dapat menolong kecuali amal ibadat yang dilakukan dengan keikhlasan.

Bilakah saat dan ketika paling tepat untuk kita menangis supaya terlembut hati yang keras oleh hawa nafsu yang menguasai? Pada tengah malam yang dingin, bangun dan berdiri tanpa diketahui oleh manusia yang asyik bermimpi, sujud dan berdoa, bacaan al-Quran dan zikrullah juga istighfar.

Amalan ini menjadi kebiasaan Rasulullah saw dan sahabatnya serta menjadi ikutan orang soleh yang mahukan ketenangan jiwa pada akhir zaman ini. Ubati kegelisahan, tekanan dan kesakitan jiwa dengan menangis, solat dan zikrullah.
Continue Reading...

Cinta sang pencipta 2


Kita pohon kekuatan, Allah beri kesulitan untuk jadikan kita kuat.

Kita pohon keteguhan hati, Allah beri masalah untuk diatasi.

Kita pohon keyakinan, Allah berikan ujian untuk memantapkan iman.

Kadang kala kita tidak dapat apa yang kita ingini,

Nnamun kita sentiasa mendapat apa yang kita perlukan.


“Ya Allah, kasih sungguh Engkau pada hamba”.


Inilah yang terlafaz dari mulutku apabila membaca meseg yang tiba tepat pada waktunya. Satu meseg yang dihantar oleh kakak yang ku sayangi, ketika aku dilamun kesedihan dengan ujian yang ku rasai. Meseg ini benar-benar mengubati dan menyedarkan aku kepada hakikat sebenar pengabdianku. Aku cuba merenung kembali ayat-ayat yang terlakar didalam kitab suciNya yang mulia:


أَحَسِبَ النَّاسُ أَنْ يُتْرَكُوا أَنْ يَقُولُوا آمَنَّا وَهُمْ لا يُفْتَنُونَ (٢)وَلَقَدْ فَتَنَّا الَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ فَلَيَعْلَمَنَّ اللَّهُ الَّذِينَ صَدَقُوا وَلَيَعْلَمَنَّ الْكَاذِبِينَ (٣)

Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan Demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta. Surah Al Ankabut – Ayat 2 & 3


Begitu juga di ayat yang lain Allah swt Bersada:


أَمْ حَسِبْتُمْ أَنْ تَدْخُلُوا الْجَنَّةَ وَلَمَّا يَأْتِكُمْ مَثَلُ الَّذِينَ خَلَوْا مِنْ قَبْلِكُمْ مَسَّتْهُمُ الْبَأْسَاءُ وَالضَّرَّاءُ وَزُلْزِلُوا حَتَّى يَقُولَ الرَّسُولُ وَالَّذِينَ آمَنُوا مَعَهُ مَتَى نَصْرُ اللَّهِ أَلا إِنَّ نَصْرَ اللَّهِ قَرِيبٌ (٢١٤)

Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?" ketahuilah Sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada ugama Allah). Surah Al Baqarah – Ayat 214


Musibah adalah satu peluang untuk hambaNya pulang menghadap Allah dengan memohun penuh rasa takut dan mengharap. Allah swt menguji hambaNya bukanlah untuk menyakiti, tetapi sebagai penambah segala kebaikkan jika hambanya yang diuji ini mengharunginya dengan penuh sabar dan berserah kepada Allah swt. Allah swt Berfirman:


لا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلا وُسْعَهَا (٢٨٦)

Allah tidak memberati seseorang melainkan pada apa yang terdaya olehnya. Surah Al Baqarah – Ayat 286


Itulah janji Allah terhadap hambanya. Allah swt tidak akan menguji seseorang melainkan atas kemampuannya sahaja. Nabi saw bersabda didalam hadis qudsi:


قال رسول الله صلى الله عليه و سلم , إن الله قال : وما ترددت عن شيء أنا فاعله ترددي عن نفس المؤمن يكره الموت وأنا أكره مساءته

Sabda RasululLah saw, sesungguhnya Allah swt berfirman: “Dan tidaklah ingin Aku (Allah swt) pada sesuatu Aku lakukannya mereka meminta kepadaku oleh orang beriman dihindari dari kematian sedangkan Aku tidak mahu untuk menyakitinya”. Riwayat Bukhari


Allah swt berfirman

وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإِنِّي قَرِيبٌ أُجِيبُ دَعْوَةَ الدَّاعِ إِذَا دَعَانِ

Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Surah Al Baqarah – Ayat 186


Di ayat yang lain Allah swt Berfirman:

وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ

Dan Tuhan kamu berfirman: "Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Surah Al Mu’minun – Ayat 60


Inilah bukti kasih Sang Pencipta kepada yang dicipta. Oleh itu pohonlah kepada Allah swt:


رَبَّنَا لا تُؤَاخِذْنَا إِنْ نَسِينَا أَوْ أَخْطَأْنَا رَبَّنَا وَلا تَحْمِلْ عَلَيْنَا إِصْرًا كَمَا حَمَلْتَهُ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِنَا رَبَّنَا وَلا تُحَمِّلْنَا مَا لا طَاقَةَ لَنَا بِهِ وَاعْفُ عَنَّا وَاغْفِرْ لَنَا وَارْحَمْنَا أَنْتَ مَوْلانَا فَانْصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ (٢٨٦)

"Wahai Tuhan kami! janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami ! janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah Kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir". Surah Al Baqarah – Ayat 214


Terima kasih Kak Long....

Continue Reading...

Friday, July 10, 2009

Hidup mengkritik @ menghargai?


Ada sebahagian manusia suka dengan sifat mengkritik. Pantang bersuara, dia hanya akan melihat pada kecacatan semata-mata. Tanpa meneliti, dia terus mengkritik pada cebisan kekurangan yang baginya tidak sempurna dengan berkata:

“Kenapa dia tak buat bagi orang mudah sikit, bagi cantik sikit? kalau dia buat macam ni, macam ni.......”

Kata seseorang kepada seseorang yang lain tentang Program Maktabah Syamilah. cupa kita perhati dan menilai selain dari kekurangan. Program Maktabah Syamilah adalah satu program yang terhimpun padanya puluhan ribu kitab sebagai rujukan. Dan segala bahan utama yang diperlukan untuk perbahasan tersimpan di Program Maktabah Syamilah.

Dengan adanya program ini, kita mampu menyemak dan merujuk nas-nas dari Tafsir, Hadis, perbahasan Ulama’, asma’ul rijal dan sebagainya dengan cara menulis kalimah yang diingini kemudian klik pada pencarian. Itu adalah sesuatu yang perlu dihargai lebih dari dikritik disebabkan ia mempunyai kemudahan walaupun tidak sesempurna yang kita inginkan.

Dan contoh yang lain setelah mana satu program yang baru pertama kali diadakan:

“Alaa...dia tu bukannya pandai sangat”

Kata bekas pimpinan yang pernah memegang jawatan sebuah persatuan sebelum ini. Adakah ini cara kita? Sepatutnya kita menilai, apa jasa kita semasa kita memikul amanah yang diberi sebelum ini? Sehingga kita perlu mengkritik pinpinan yang selepas kita. Semasa kita menjadi pimpinan, kita hanya melakukan sesuatu yang telah dilakukan sebelum ini tanpa cuba untuk mencetus sesuatu yang baru dalam lajnah yang kita pikul. Dalam perlaksanaan yang sedemikian rupa pun, kita dipersoalkan dengan pelbagai perkara.
Apabila pimpinan yang lain memikul amanah, kemudian mencipta satu program yang baru. Kita yang melebihi orang lain dalam mengkritik perkara yang tidak sepatutnya dikritik.

Tulisan ini bukan bermaksud kita tidak boleh mengkritik, sebaliknya kita perlu berhati-hati dan bijak dalam mengkritik. Saya bukanlah seorang yang anti kritik, bahkan saya sangat menerima kritikan, tetapi “Kritikan yang membina, bukan kritikan yang menghina”. Kerana pengkritik yang menghina adalah orang tidak padai bersyukur.

Jadi....

“Berhadapanlah apabila mengkritik, dan kritiklah kepada orang yang sepatutnya dikritik”.

Allah swt Berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لا يَسْخَرْ قَومٌ مِنْ قَوْمٍ عَسَى أَنْ يَكُونُوا خَيْرًا مِنْهُمْ وَلا نِسَاءٌ مِنْ نِسَاءٍ عَسَى أَنْ يَكُنَّ خَيْرًا مِنْهُنَّ (١١
“Wahai orang-orang yang beriman! janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) kemungkinan besar puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) kemungkinan besar puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka;” Surah Al Hujraat – Ayat 11

Belajarlah mensyukuri dan menghargai kerana ia mempu menambah keberkatan walau hanya sekadar ucapan AlhamdulilLah dan terima kasih.
Continue Reading...

Wednesday, July 8, 2009

Pantang diTAWAR...

Pada satu zaman dahulu kala, ada 3 orang sahabat baik. Mereka selalu berkepit tidak kira dimana mereka berada. Tapi ketiga-tiga mereka mempunyai kegemaran berlainan.

Si A suka main segala jenis perempuan, si B pula suka minum segala jenis arak dan manakala si C pula suka segala jenis rokok dan benda-benda yang berasap.

Satu hari ketiga-tiga sahabat ini berjalan ditengah padang pasir. Tiba tiba, mereka terjumpa dengan sebuah cerek (macam cerita Aladdin). Lalu salah seorang mengutipnya dan terus menggosok cerek tersebut.

Tak semena-mena keluar asap berkepul-kepul dari corong cerek tersebut dan asap tersebut perlahan bertukar menjadi satu makluk yang menggerunkan iaitu seekor Jin yang ganas. Lalu jin tersebut ketawa dan berkata " Ha ha ha ha, Aku lah jin Aferit. Oleh kerana kamu telah membebaskan aku dari cerek itu, maka aku akan tunaikan apa saja permintaan setiap satu dari kamu "

Tiga sahabat yang pada mulanya panik dan takut menjadi gembira lalu termenung berfikirkan peluang dan kemahuan masing-masing yang mungkin sekali seumur hidup. Lalu setiap mereka memilih kemahuan mengikut kegemaran masing-masing.

Berkata si A, "Aku mahu seberapa ramai perempuan muda dari berbagai bangsa dari seluruh dunia dan letakkan dalam sebuah gua tertutup dan jangan ganggu aku selama 10 tahun " Puffff dengan sekelip mata Jin itu menyempurnakan permintaan si A.

Berkata si B " Aku mahu semua jenis arak dari seluruh dunia untuk bekalan selama sepuluh tahun dan letakkan dalam sebuah gua tertutup dan jangan ganggu aku selama 10 tahun ". Puffff dengan sekelip mata Jin itu menyempurnakan permintaan si B.

Berkata pula si C "Aku mahu semua jenis rokok dari seluruh dunia untuk bekalan selama sepuluh tahun dan letakkan dalam sebuah gua tertutup dan jangan ganggu aku selama 10 tahun" Puffff dengan sekelip mata Jin itu menyempurnakan permintaan si C.

Setelah genap 10 tahun, maka Jin tersebut muncul kembali untuk membuka pintu gua masing seperti mana yang di janjikan. Maka jin tersebut pergi membuka pintu gua si A, bila terbuka sahaja, maka keluarlah si A dengan keadaan kurus melidi, berdiri pun tak mampu kerana tak larat nak gerak lutut sebab hari-hari buat projek. Tiba-tiba si A pun jatuh ketanah lalu mati.

Selepas itu Jin tersebut pergi ke gua si B, sebaik sahaja pintu dibuka, maka keluar si B dengan perut yang tersangat buncit kerana setiap hari mabuk. Jalan pun terhuyung-hayang. Tiba-tiba si B pun jatuh ketanah lalu mati.

Maka Jin pergi ke gua si C dan membuka pintu gua. Tiba-tiba si C keluar dengan keadaan sihat seperti sedia kala dan terus menampar si Jin sambil memaki hamun si Jin dengan berkata..............

> > > > > > > > > > > > > > > > > > > > > > > > > > > > > > > > > > > > > > > > > > > > > > > > > > > > > > > > > > > > > > > > > > > > > > > > > > > > > > > > > > > > > > > > > > > > > > > > > >

" BODOH PUNYA JIN, CELAKA PUNYA JIN, JAHANAM PUNYA JIN. BAGI AKU ROKOK TAK BAGI API. " 10 tahun aku tunggu tak buat apa-apa.


Kisah ini tidak ada kaitan dengan yang hidup mahupun yang mati. Tetapi ia hanya sekadar hiburan semata-mata!!!..

Continue Reading...

Monday, July 6, 2009

Adik Kecil



"Kenapa hidup ni susah sangat yek Umi?" Adik kecil menyoal. Gusar. Ada keruh pada wajahnya.

"Hidup kan ujian bagi orang beriman. Untuk Allah menilai siapa antara kita yang beramal soleh. Hidup mungkin syurga bagi orang yang mencintai dunia, tetapi hakikatmya, dunia hanyalah padang permainan untuk kita. Sampai masanya, kena 'balik' juga." Perempuan separuh abad itu membuka bicara. Terasa menusuk ke kalbu. Aku hanya diam, berbuat tidak tahu. Mencuri dengar, sebenarnya.

"Tak larat. Umi, Adik sedih. Abang pun sedih..." Dia mengadu lagi."Sabarlah sayang....lalui kesusahan dengan redha, di situ ada kekuatan. Ujian datang bukan untuk menyiksa jiwa kita, tetapi sebagai penguat jiwa. Supaya kita lebih dekat pada-Nya. Itupun jika kita memilih untuk dekat pada-Nya. Sayang pada-Nya. Sayang Tuhan tak?" Perempuan separuh umur itu memujuk lagi.

"Sayang. Tapi Adik rasa macam nak hidup dalam mimpi. Nak mimpi syurga. Tapi...Umi jauh, Abah jauh, Tokwan jauh. Camne," dia merengek. Ada sayu pada nada suaranya.

"Jika benar mahu menurut langkah pejuang, Adik mesti kuat. Jika benar mahu turut sama membangkit ummat, adik mesti tabah. Adik kena hadapi ujian yang tersedia ini. Mesti. Dia kan ada. Maha Pengasih, Maha Penyayang. Carilah Dia, selangkah Adik mendekati, seribu langkah Dia menghampiri, " kata-kata itu diringi tumpahan air mata. Adik kecil menangis teresak-esak.

"Abang, Umi kata Adik kena kuat. Jom kita jadik kuat. Jangan sedih- sedih. Allah ada. Jom kita cari Dia," Adik kecil berpaling, berbicara dengan aku. Serentak, si kecil itu berlari keluar.

Aku termangu di sudut itu, tersentak dengan Adik kecil itu. Dia yang sekecil itu, pandai memujuk aku. SubhanalLah.Sejurus selepas itu, aku tersedar. Adik?Itu, rupanya mimpiku.

Continue Reading...

Laki hensem Vs Laki x hensem

Kalau lelaki handsome pendiam
Perempuan akan cakap:: woow, cool giler...
kalau lelaki tak handsome pendiam
Perempuan akan cakap: eh perasan bagus...

kalau lelaki handsome berbuat jahat
Perempuan akan kata: nobody's perfect
kalau lelaki tak handsome berbuat jahat
perempuan akan cakap: memang.... muka pun macam pecah rumah!

kalau lelaki handsome menolong perempuan yg diganggu
perempuan akan cakap: wah.. machonya.. macam hero filem!
kalau lelaki tak handsome menolong perempuan yang diganggu
Perempuan akan kata: entah2 kawan dia...

kalau lelaki handsome dapat perempuan cantik
perempuan akan kata: sepadan sangat...
kalau lelaki tak handsome dapat perempuan cantik
perempuan akan kata: mesti kena bomoh perempuan tuh!

kalau lelaki handsome ditinggal kekasih
perempuan akan kata: jangan sedih, kan saya ada..
kalau lelaki tak handsome ditinggal kekasih
perempuan akan kata:...(terdiam, tapi telunjuknya
meliuk-liuk dari atas ke bawah, patutlah, tengok saja luarannya)...

kalau lelaki handsome bawa BMW
perempuan akan cakap: matching... hebat luar dalam
kalau lelaki tak handsome bawa BMW
perempuan akan cakap: bang, bosnya mana?...

kalau lelaki handsome tak mahu bergambar
perempuan akan cakap: pasti takut kalau2 gambarnya tersebar
kalau lelaki tak handsome tak mahu bergambar
perempuan akan kata: tak sanggup melihat hasilnya ya?...

kalau lelaki handsome menuang air ke gelas perempuan
perempuan akan cakap:ini barulah lelaki gentlemen
kalau lelaki tak handsome menuang air ke gelas perempuan
perempuan akan cakap: naluri pembantu, memang begitu....

kalau lelaki handsome bersedih hati
perempuan akan cakap: let me be your shoulder to cry on
kalau lelaki tak handsome bersedih hati
perempuan akan kata: kuat nangis!! lelaki ke bukan ni?

Beginilah Manusia....
Continue Reading...