Followers

Wednesday, July 14, 2010

Sultan Muhammad Al-Fateh...

*HADIS RASULLAH SAW TENTANG PEMBEBASAN CONSTANTINOPLE*

*Sabda Rasulullah saw ketika menggali Khandaq; *

“..Constantinople (kini Istanbul) akan jatuh ke tangan tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja, tenteranya adalah sebaik-baik tentera……”
-Hadis riwayat Imam Ahmad-

Umat Islam berlumba-lumba untuk membebaskan Constantinople demi mendapatkan penghormatan yang dijanjikan oleh Allah swt di dalam Hadis tersebut. Walau bagaimanapun, kesemua kempen yang dilancarkan menemui kegagalan. Di antaranya, 5 kempen di zaman Kerajaan Umayyah, 1 kempen di zaman Kerajaan Abbasiyah dan 2 kempen di zaman Kerajaan Usmaniyah.

Di dalam salah sebuah kempen semasa zaman Kerajaan Umayyah, seorang sahabat besar Nabi saw iaitu Abu Ayyub Al-Ansary ra telah syahid dan dimakamkan di bawah dinding kubu Kota Constantinople di atas wasiatnya sendiri. Apabila ditanya kenapa beliau ingin dimakamkan di situ maka beliau menjawab:

"Kerana aku ingin mendengar derapan tapak kaki kuda dari sebaik-baik raja yang akan mengetuai sebaik-baik tentera semasa mereka membebaskan Constantinople nanti".  
Begitulah teguhnya iman seorang sahabat besar Nabi saw.

Hadis Nabi saw ini direalisasikan hampir 800 tahun kemudiannya oleh Sultan Muhammad Al-Fateh, khalifah ke-7 Kerajaan Usmaniyyah dan 150,000 orang tenteranya.

Siapakah Sultan Muhammad Al-Fateh? Apakah kehebatan Baginda dan tentera-tenteranya sehingga disebut *“sebaik-baik raja"** dan "sebaik-baik tentera"* di dalam Hadis tersebut?.


*PENGENALAN *

Baginda dilahirkan pada 29 Mac 1432 Masihi di Adrianapolis (sempadan Turki -Bulgaria). Walau bagaimanapun, sejarah hidup Baginda sebenarnya telah bermula hampir 800 tahun sebelum kelahirannya kerana telah disebut sebagai *"sebaik-baik raja"* di dalam Hadis tadi. Baginda juga dikenali dengan gelaran *Muhammad Al-Fateh* dan *Muhammad The Conqueror* kerana kejayaannya membebaskan Constantinople.

Baginda menaiki takhta ketika berusia 19 tahun dan memerintah selama 30 tahun (1451 – 1481). Baginda merupakan seorang negarawan ulung dan panglima tentera agung yang memimpin sendiri 25 kempen peperangan. Baginda mangkat pada 3 Mei 1481 kerana sakit gout. Dan Ada dikalangan ahli sejarah berpendapat Baginda mangkat akibat diracun.


*PENDIDIKAN *

Baginda menerima pendidikan yang menyeluruh dan bersepadu. Di dalam bidang keagaman, gurunya adalah Syeikh Shamsuddin Al-Wali dikatakan dari keturunan Sayyidina Abu Bakar As-Siddiq ra. Di dalam ilmu peperangan pula, Baginda diajar tentang tektik peperangan, memanah dan menunggang kuda oleh panglima-panglima tentera.

Di dalam bidang akademik pula, Baginda adalah seorang cendekiawan ulung di zamannya yang *fasih bertutur dalam 7 bahasa iaitu Bahasa Arab, Latin, Greek, Serbia, Turki, Parsi dan Hebrew.

*Di dalam bidang Ilmu Pemerintahan pula, ayahanda Baginda , Sultan Murad II, dengan tujuan mendidik, semasa pergi bersuluk ke Pulau Magnesia, telah melantik Baginda yang baru berusia 12 tahun memangku jawatan Khalifah. 

Dalam usia semuda ini Baginda telah matang menangani tipu helah musuh.


*KEPERIBADIAN *

Baginda sentiasa bersifat *tawadhu' dan rendah diri* . Semasa membina Benteng Rumeli Hissari, Baginda membuka baju dan serbannya, mengangkat batu dan pasir hingga orang-orang disekeliling dan menteri-menteri terpaksa ikut sama bekerja.

Baginda seorang yang sentiasa tenang, pendiam, berani, sabar, tegas dan kuat menyimpan rahsia pemerintahan. Baginda sangat cintakan ulama’ dan selalu berbincang dengan mereka tentang permasalahan negara.


*PERSIAPAN AWAL MEMBEBASKAN CONSTANTINOPLE*

Selama 2 tahun selepas menaiki takhta, Baginda mengkaji pelan Kota Costantinople setiap malam bagi mengenal pasti titik kelemahannya. 

Baginda juga mengkaji sebab-sebab kegagalan kempen-kempen terdahulu serta berbincang dengan panglima-panglima perangnya tentang strategi yang sesuai untuk digunakan.

Baginda mengarahkan dibina peralatan perang termoden seperti meriam besar yang boleh menembak bom 300 kg sejauh 1 batu. Benteng Rumeli Hissari dibina di tebing sebelah Eropah, lebih kurang 5 batu dari Kota Constantinople di mana Selat Bosphorus adalah yang paling sempit. 

Ia dibina bertentangan dengan Benteng Anadolu Hisar di tebing sebelah Asia yang telah dibin oleh Sultan Bayazid Yildirim dahulu. Benteng ini mengawal rapi kapal-kapal yang melintasi Selat Bosphorus. Perjanjian damai dibuat dengan pihak Wallachia, Serbia dan Hungary untuk memencilkan Constantinople apabila diserang nanti.

Baginda membawa bersama para ulama’ dan pakar motivasi ke medan perang bagi membakar semangat jihad tenteranya. Sebaik sahaja menghampiri dinding kubu Kota Constantinople, Baginda mengarahkan dilaungkan Azan dan solat berjemaah. 

Tentera Byzantine gementar melihat 150,000 tentera Islam bersolat di belakang pemimpin mereka dengan laungan suara takbir memecah kesunyian alam.


*MELANCARKAN SERANGAN KE ATAS CONSTANTINOPLE*

Setelah segala persiapan lengkap diatur, Baginda menghantar utusan kepada Raja Bizantin meminta beliau menyerah. Keengganan beliau mengakibatkan kota tersebut dikepung. Pada 19 April 1453, serangan dimulakan. Kota tersebut hujani peluru meriam selama 48 hari. Setengah dinding luarnya rosak tetapi dinding tengahnya masih teguh.


*Menara Bergerak*

Seterusnya Baginda mengarahkan penggunaan menara bergerak yang lebih tinggi dari dinding kubu Byzantine dan memuatkan ratusan tentera. Tentera Byzantin berjaya memusnahkan menara tersebut setelah ianya menembusi dinding tengah kubu mereka.


*Bantuan Dari Pope Vatican*

Pope di Rome menghantar bantuan 5 buah Kapal Armada yang dipenuhi dengan senjata dan tentera. Perairan Teluk Golden Horn direntang dengan rantai besi untuk menghalang kemaraan Kapal Armada Usmaniyah. Ini menaikkan semula semangat tentera Bizantin.


*Melancarkan Kapal Perang Dari Puncak Gunung*

Kegembiraan mereka tidak lama. Keesokan paginya, mereka dikejutkan dengan kehadiran 72 buah kapal perang Usmaniyah di perairan Teluk Golden Horn. Ini adalah hasil kebijaksanaan Baginda mengangkut kapal-kapal ke atas gunung dan kemudian diluncurkan semula ke perairan Teluk Golden Horn. Tektik ini diakui sebagai *antara tektik peperangan (warfare strategy) yang terbaik di dunia* oleh para sejarawan Barat sendiri. Kapal-kapal itu kemudiannya membedil dinding pertahanan belakang kota.

Kapal-kapal perang tentera Byzantin habis terbakar kerana bedilan meriam Usmaniyah. Pertahanan Byzantin menjadi semakin lemah. Baginda mengambil kesempatan pada malamnya dengan memberikan semangat kepada tenteranya serta mengingatkan mereka kepada Hadis Rasulullah saw dan bersama-sama berdoa kepada Allah swt.


*Memanjat dan Melastik Dinding Kota *

Keesokan paginya tentera Usmaniyah cuba memanjat dinding dalam kubu dengan tangga dan cuba merobohkannya dengan lastik besar. Tentangan sengit pihak Byzantin menyebabkan ramai yang syahid. Baginda memerintahkan tenteranya berundur dan bedilan meriam diteruskan sehingga tengahari.


*Karisma Seorang Pemimpin*

Pengepungan selama 53 hari tanpa sebarang tanda-tanda kejayaan telah menimbulkan rasa bosan dan menghilangkan keyakinan tentera Baginda. Pada saat yang genting ini Baginda berucap menaikkan semangat tenteranya:

“Wahai tenteraku, aku bersedia untuk mati di jalan Allah. Sesiapa yang mahu syahid ikutlah aku!".

Mendengarkan itu, Hasan Ulubate, salah seorang tentera Baginda mengetuai sekumpulan kecil 30 tentera membuka dan melompat masuk ke dalam kubu musuh lantas memacak bendera Islam di situ. Mereka kesemuanya gugur syahid setelah dihujani anak panah musuh. Kemudian tentera-tentera Islam menyerbu bertali arus menembusi barisan pertahanan Byzantin sambil melaungkan kalimah Allahu Akbar.


*Penawanan Constantinople*

Pada 29 Mei 1453, Kota Constantinople jatuh ke tangan Islam. Baginda menukar namanya kepada *Islambol (Islam keseluruhan)*. Gereja Besar St Sophies ditukar kepada Masjid Aya-Sofiya. Baginda dengan tawadhuknya melumurkan tanah ke dahinya lalu melakukan sujud syukur. Semenjak peristiwa inilah Baginda diberi gelaran *"Al-Fateh" *iaitu yang menang kerana kejayaannya membebaskan Constantinople.


*SEBAIK-BAIK RAJA DAN SEBAIK-BAIK TENTERA*

Pada kali pertama solat Jumaat hendak didirikan, timbul pertanyaan siapa yang layak menjadi imam. Baginda memerintahkan kesemua tenteranya termasuk dirinya bangun lantas bertanya, 

"Siapa di antara kita sejak baligh hingga sekarang pernah meninggalkan solat fardhu walau sekali sila duduk!". 

Tiada seorang pun yang duduk, kerana tidak seorang pun di antara mereka pernah meninggalkan solat fardhu.

Baginda bertanya lagi, "Siapa di antara kita yang sejak baligh hingga kini pernah meninggalkan solat sunat rawatib sila duduk!"
Sebahagian daripada tenteranya duduk.

Kemudian Baginda bertanya lagi, "Siapa di antara kamu sejak baligh hingga ke saat ini pernah meninggalkan solat tahajjud walaupun satu malam, sila duduk!". 
Kali ini semuanya duduk, kecuali Sultan Muhammad Al-Fateh sendiri.

Baginda *tidak pernah meninggalkan solat fardhu, Solat Sunat Rawatib dan Solat Tahajjud sejak baligh* . Inilah dia anak didikan Syeikh Shamsuddin Al-Wali. 

Bagindalah sebaik-baik raja yang telah diisyaratkan oleh Rasulullah saw di dalam Hadisnya itu.
Continue Reading...

Sunday, July 11, 2010

Pelopor Gerakan Wahabi...

Dipetik dari buku: Suka Duka Gerakan Islam Dunia Arab
Karangan: Maryam Jameelah

SHEIKH MUHAMMAD ABDUL WAHAB
PELOPOR GERAKAN WAHABI

Telah menjadi satu kenyataan, awal abad ke 12 Hijrah merupakan masa di mana keruntuhan akhlak dan aqidah Islam berada pada tahap yang menghinakan di seluruh negara Islam. Keadaan Ummat Islam pada masa itu amat jauh berbeza dengan keadaan Ummat Islam di zaman Rasulullah S.A.W sehingga ia menjadi tandatanya bukan saja kepada orang Islam malah termasuk orang bukan Islam. Seorang penulis Amerika Lothdrop Stoddard telah menggambarkan dengan jelas keadaan keruntuhan Ummat Islam di zaman ini.

Mengikut pendapat Amir Shakib Arsalan, ketegasan dan ketepatan gambaran yang diberikannya itu tidak dapat ditandingi oleh cerdik pandai Islam yang lain:

"Agama Islam hancur seperti hancurnya agama-agama lain. Keesaan Allah di dalam ajaran Islam telah dibebankan dengan pembiakan berjenis-jenis teori karut dan ajaran salah. Masjid-masjid kosong dan menanti runtuh, dipulau oleh sijahil yang sibuk dengan tangkal azimat, jampi serapah dan tasbih. Mereka lebih memberi perhatian kepada Faqih dan Tok Lebai yang sesat. Mereka menunaikan haji di kubur-kubur 'orang wali' yang disembah sebagai perantaraan atau keramat. Ajaran Qur'an tidak dihiraukan sehingga Mekkah dan Madinah menjadi tempat di asingkan. Boleh dikatakan hidup mereka sudah lari dari ajaran Islam. Jikalaulah Nabi Muhammad balik ke dunia, sudah tentulah baginda akan menganggap mereka sebagai murtad atau penyembah berhala".
 (The New World of Islam pp. 22-26.)

Di tengah keadaan yang tidak menggalakkan itu Muhammad bin Abdul Wahab dilahirkan dalam tahun 1703 di tengah sebuah keluarga yang terkenal dengan alim dan mulia di Nejd. Di masa kanak-kanaknya beliau sudah menunjukkan sifat-sifat luar biasa dari orang lain. Apabila Muhammad bin Abdul Wahab meningkat dewasa, beliau sudah dikenali di seluruh Arabia sebagai seorang alim yang bijak. Dia mula dikerumuni oleh ramai murld-murid.

Muhammad bin Abdul Wahab masih lagi dahagakan ilmu sehing-gakan dia pergi ke Mekkah, Madinah dan akhirnya ke Iran untuk belajar. Di Iran beliau menuntut ilmu dari beberapa orang ulamak di sana.

Apabila beliau balik ke Nejd, pemerintah kawasan itu merasa bimbang terhadap pengaruhnya yang mungkin akan menghancurkan kuasanya. Kerana kebimbangan inilah salah seorang dari pemimpin Nejd telah mengirim amaran kepada Gabenor di situ:

"Sheikh Muhammad bin Abdul Wahab melakukan perkara yang bercanggah dengan kehendak dan kesukaan saya. Oleh itu kamu mesti bunuh dia sekarang. Jika tidak kami tidak akan membayar subsidi kepada kamu'".

Mendengar khabar itu, Sheikh Muhammad dengan beraninya mengatakan:

"Pendirian yang saya pegang dan risalah yang saya laungkan kepada setiap orang ialah 'La illaha illallah -Tiada Tuhan melainkan Allah' Aku menyeru kepada prinsip asas Islam iaitu menyuruh kepada kebaikan dan melarang kemungkaran. Jikalau kamu memegang teguh risalah ini, InsyaAllah, Allah akan mengalahkan musuh-musuh kamu".

Dengan sikap hati batu, Gabenor di situ telah mengusir Sheikh Muhammad bin Abdul Wahab keluar dari daerahnya sehingga beliau terpaksa berjalan kaki menyeberangi padang pasir yang panas menuju ke tempat buangan.

Di dalam perjalanannya, Sheikh telah disambut oleh Amir Muhammad Ibn Saud yang berjanji untuk bekerjasama menjayakan rancangan Sheikh Muhammad bin Abdul Wahab. Sheikh Muhammad bin abdul Wahab tidak berpuas hati dengan hanya berdakwah. Beliau bercita-cita untuk menubuhkah sebuah masyarakat di mana Islam dalam keadaan tulen menjadi perlembagaan hidup. Di bawah pemerintahan Amir Muhammad Ibn Saud, cara hidup, aqidah dan perangai rakyatnya bertukar dengan sepenuhnya. Belum pada itu, sebahagian besar dari penduduk Mekkah dan Madinah hanyalah Islam pada nama sahaja.

Mereka tidak mengetahui apa-apa melainkan mengucapkan dua kalimah syahadah. Sekarang mereka diperintah untuk sembahyang berjemaah, puasa bulan Ramadhan dan membayar zakat. Tembakau, sutera dan symbol kemewahan telah dihapuskan sama sekali. Cukai yang tidak berunsur Islam juga dihapuskan. Inilah pertama kali dalam berabad-abad lamanya, orang Badwi dapat hidup dalam aman dan senang lenang. Mereka tidak perlu lagi risau tentang lembu atau harta mereka dicuri orang. Sehinggakan hamba kulit hitam berani membuat pengaduan di hadapan kaum yang terberani serta yang tergagah dan si hamba itu disuruh membilang kesalahannya begitu saja dengan ikhlas hati. Perbalahan mazhab berkurangan apabila ulamak dari setiap mazhab yang diiktiraf bergilir-gilir menjadi imam sembahyang berjemaah di masjid.

Sheikh Muhammad bin Abdul Wahab terbukti seorang mujaddid yang terkenal yang boleh dianggap sebagai pengganti kepada Imam Ahmad bin Ibn Hanbal dan Ibn Taimiyyah. Seperti mereka ini, Sheikh Muhammad bin Abdul Wahab menolak fahaman akal Muktazilah. Beliau menekankan supaya isi Qur'an dan Sunnah Rasulullah s.a.w. yang sahih mestilah diterima dan diikuti menurut makna ayat yang ringkas dengan tidak bersoal. Beliau juga menekankan tentang betapa pentingnya Qur'an itu tidak disertakan dengan tafsir yang berunsur mistik. Beliau juga menentang amalan mewarna Qur'an dengan warna berkilat-kilat. Sheikh Muhammad bin Abdul Wahab juga merasa kurang senang melihat ramai orang terlalu memberi ketaatan kepada tafsiran isi Qur'an berbanding dengan isi Qur'an itu sendiri serta hadith-hadith Rasulullah.

Pada hal, tafsiran ialah karangan manusia, yang berkemungkinan salah. Beliau menjelaskan, jika teks Qur'an dicampur adukkan dan dikucar-kacirkan dengan tafsiran-tafsiran maka kemungkinan Ummat Islam tidak lagi dapat menikmati keaslian teks Qur'an yang asal. Mereka akan terjerumus ke dalam kesesatan yang telah diamalkan olen Yahudi dan Nasrani.

Walaupun dalam perkara Syariah, beliau mengikuti Hanbali, namun begitu, beliau tidak mengikutnya dengan membuta tuli dalam semua perkara. Di dalam tulisannya, dia tidak membangkang sesiapa saja dari orang Islam yang ingin berpegang kepada mazhab Islam yang tiga itu. Dengan pancaran hati yang terang. Sheikh Muhammad berpendapat, mengikut kajiannya, keruntuhan Ummat Islam pada masa itu berpunca dari kaitan mereka dengan mistik dan Tassawuf. Walaupun begitu Sheikh tidak menentang Tassawuf dengan membuta tuli. Pada masa mudanya, beliau telah belajar dengan teliti dan perasaan simpati dengan seluruh cabang ajaran Sufi di Iran. Apabila umurnya meningkat tua, beliau menyedari bahawa penyalahgunaan Tassawuf telah
tersebar luas dan dianuti oleh ramai Ummat Islam. Ianya adalah seperti air yang bersih dan halal tetapi terpaksa diharamkan oleh doktor jika ianya membahayakan pesakit. Tassawuf dari segi prinsipnya halal tetapi jika ia boleh membawa bahaya maka ianya hendaklah ditolak ke tepi. 'Warnakanlah tikar sembahyang kamu dengan arak jika ketua Tasawwuf kami memerintahkannya'.

Dengan terang, pemikiran seperti ini adalah syirik. Mereka tidak dapat membezakan kepada siapa yang perlu diberi ketaatan, Allah atau ketua Tasawwuf.

Sheikh-sheikh di Arabia pun sedar bahawa Ummat Islam telah ketagih dengan Sufi ini. Inilah perkara yang menidurkan mereka dan menahan mereka dari kecergasan dan pergerakan. Itulah sebabnya Sheikh Ahmad bin Abdul Wahab memilih strategi untuk menentang penyelewengan dalam soal mistik yang terang-terang bercanggah dengan prinsip aqidah dan keesaan Allah.

Prinsip aqidah dan keesaan Allah amatlah penting dalam Islam. Beliau menentang dengan keras sekali perkara-perkara seperti bid’ah, menyembah keramat, menyembah tanda-tanda dan menyembah kubur. Di samping itu, Sheikh juga menentang amalan yang bercanggah dengan Sunnah Rasulullah yang lazim dilakukan pada masa itu seperti mendirikan masjid dan bangunan di atas kubur. Beliau memerintah supaya semua ini diruntuhkan. Walau pun begitu, beliau tidak membantah menziarahi kubur untuk mengingati mati.

Perkara seperti menyembah datuk nenek, meminta pertolongan dari orang dalam kubur dan membuat orang mati sebagai perantaraan dengan Allah ditentang hebat oleh Sheikh.

Sudah menjadi sunnatullah, Sheikh mendapai tentangan hebat dari semua penjuru. Musuh-musuhnya cuba untuk meyakinkan orang ramai bahawa apa yang diajar oleh Sheikh itu ialah agama rekaan baru yang tidak ada kena mengena dengan ajaran Islam. Mereka memfitnah bahawa Sheikh Ahmad cuba mereka-reka mazhab baru dan akan melabelkan sesiapa yang enggan menurut mazhabnya sebagai kafir. Fitnah ini tidak mempunyai kebenaran langsung.

Musuh-musuhnya mula menamakan pengikut-pengikut Sheikh Ahmad sebagai 'Wahabi'. Selepas Amir Abdul Aziz meninggal dunia, anaknya menggantikannya. Amat malang sekali, anaknya itu tidak mempunyai banyak ilmu dalam soal kenegaraan dan diplomasi. Beliau telah mengapi-apikan pengikut Wahabi supaya melawan kerajaan Islam Turki yang wujud pada masa itu. Kalaulah dia seorang yang bijaksana, dia patutlah mengelakkan diri dari menumpahkan darah sesama Islam. Semua ini berlaku kerana sifat mementingkan diri sendiri di mana mereka ini ingin menjadi pemerintah. Di mata Turki, nama Wahabi amatlah dibenci.

Kesilapan ini telah mencetuskan peristiwa malang di mana Mesir telah menyerang Arabia untuk menghancurkan pergerakan Wahabi. Muhammad Ali ialah pemerintah Mesir yang berbangsa Albania. Selepas peperangan sengit di Taif, Muhammad Ali menyerang dan mengalahkan Wahabi. Lebih dari 50,000 pengikut Wahabi dibunuh. Mayat-mayat bergelimpangan di seluruh bandar.

Selepas kekalahan ini, orang-orang Wahabi sekali lagi dizalimi. Semua ketuaketua Wahabi dikumpul dan dibunuh di khalayak ramai. Mayat-mayat mereka diberi makan kepada anjing. Bandar-bandar yang berdekatan telah diceroboh, pohon kurma ditebang, tanaman dan binatang ternakan dibunuh serta rumahrumah di bakar hangus. Orang-orang tua, orang sakit, perempuan dan kanakkanak di bunuh tanpa kasihan belas. Mendengar berita tersebut kerajaan British yang takut kepada kebangkitan Islam itu amatlah gembira sekali dengan perbuatan Muhammad Ali dan anaknya Ibrahim. Kerajaan British telah menghantar satu delegasi khas dari India untuk mengucapkan syabas kepada Muhammad Ali dan anaknya Ibrahim. Rombongan itu diketuai oleh Captain George Forester Sadlier.

Dalam tahun 1900, seorang padri Kristian Samuel Zwemer menulis: "Pergerakan Wahabi telah dapat dihapuskan. Kesan politik akibat dari pergerakan Wahabi hanyalah kejutan sementara. Kekuatan bangsa Saudi hanya tinggal dalam sejarah sekarang".

Ramalan ini didapati salah kerana kurang daripada suku abad selepas itu, Sultan Abdul Aziz telah menakluki seluruh Semenanjung Tanah Arab melalui usahanya sendiri. Pada peringkat awalnya, bukan saja orang-orang di Tanah Arab malah seluruh Ummat Islam di merata dunia tidak sabar-sabar lagi ingin melihat kebangkitan Islam se dunia di bawah pimpinannya.

Malang sekali, harapan ini jatuh berkecai. Apabila beliau mengistiharkan bahawa beliau akan menegakkan sistem beraja, teranglah bahawa Raja Ibn Saud menggunakan Wahabi sebagai alat untuk mencari kuasa bagi dirinya. "Di sepanjang hidupnya, Ibn Saud suka bercakap tentang Islam sebagai tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya tetapi menjadi jelas sekarang bahawa kepentingan dirinya untuk menjadi raja mengatasi kesungguhannya untuk memperjuangkan Islam. Kata-katanya- yang manis telah dapat menipu ramai orang termasuk dirinya sendiri. Dia seorang sederhana, bersopan santun tetapi dia membiarkan dirinya menyertai orang yang di sekelilingnya dalam hidup membazir dan kemewahan yang berlebihan. Dia kuat beragama tetapi jarang sekali dia memikirkan tentang tujuan upacara-upacara ibadat.

Beliau menunaikan sembahyang lima kali sehari dengan sempurna dan menghabiskan masa berjam-jam beribadat di malan hari tapi dia tidak mengetahui bahawa sembahyang hanyalah jalan bukannya matlamat. Beliau bercakap tentang kebesaran cara hidup Islam tetapi beliau tidak membuat apa-apa usaha untuk membentuk sebuah masyarakat maju yang berlandaskan cara hidup Islam. Beliau tidak pernah cuba untuk mencari kesilapan dirinya sendiri tetapi menggunakan segala helah akal untuk menganggap apa yang dibuatnya semuanya betul, walaupun terang-terang salah.

Pcngampu-pengampu di kelilingnya tidak membuat apa-apa untuk memperbaiki kelemahannya. Masing-masing merebut-rebut untuk mencari harta pemberian."
 ( The Road To Mecca Mohammad Asad op. cit.)

Yang sebenarnya, Ibn Saudlah yang menghancurkan harakah Islam di Arabia dengan mengizinkan carigali minyak oleh syarikat syarikat minyak Amerika pada tahun 1932. Kalaulah beliau masih berpegang teguh kepada prinsip perjuangan Islam sudah tentulah beliau menolak syarikat itu. Dengan cara ini, ianya dapat menahan atau melambatkan untuk beberapa kurun pengaruh kebudayaan barat dari bertapak di Saudi Arabia. Akhirnya, perjuangan untuk menegakkan masyarakat Islam tertimbus dalam ketamakan harta dunia.

"Semangat perjuangan Islam Wahabi mati di hari Amerika menemui minyak dengan banyak di Saudi Arabia. Semenjak 1912, berterusan selama 30 tahun seluruh hidup dan aktiviti negara dikawal oleh prinsip-primip Islam. Tepat masuk waktu sembahyang, semua perniagaan dihentikan, pintu kota ditutup dari keluar masuk dan sekian penduduk lelaki berduyun-duyun ke masjid.

Sekarang semuanya sudah bertukar. Minyak memberi kesan kepada social ekonomi rakyat berkali ganda. Kekayaan yang melimpah telah menyebabkan anak-anak raja dan orang kaya bersenang lenang mengikut cara hidup Barat.

Mereka mula biasa dengan perlancungan keluar negeri, pakaian rekaan asing dan kemewahan cara asing yang berbagai rupa. Minyak jugalah yang menyebabkan berlakunva proses perpindahan dari negara menyebabkan masyarakt Saudi Arabia bertukar dari yang asal. Pendatang-pendatang terdiri dari Pegawai-pegawai dan buruh-buruh yang memburu kerja, peniaga-peniaga yang mencari keuntungan cepat dan pengilang-pengilang yang ingin melabur.

Yang membimbangkan sekali, terdapat guru-guru dan ahli teknikal yang memberi sumbangan yang besar dalam mmbaratkan generasi muda. Mereka berpakaian seperti orang Eropah dan berkelakuan tidak berbeza dan orang barat. Adalah tidak lama masanya di mana Saudi Arabia akan di baratkan seperti yang berlaku pada negara jirannya".  
(Riyadh : Ancient and Modern 'Harry St. John Bridge Philby, The Middle East Journal, Washington DC sring 1959.)

Walaupun pergerakan Wahabi dari segi politiknya berpusat di Saudi Arabia, tapi semangatnya telah memberi kesan yang menyegarkan ke stiap penjuru dunia Islam. Perjuangannyalah yang akhirnya menjadi inspirasi kepada pergerakan al-Ikhwan al-Muslimin. Dengan pertolongan mujaddid-mujaddid seperti Ahmad bin Abdul Wahab inilah, Islam dapat dihidupkan kembali dan diselamatkan dari mala petaka.


Dipetik dari buku: Suka Duka Gerakan Islam Dunia Arab
Karangan: Maryam Jameelah
Continue Reading...

Thursday, July 1, 2010

Syahidnya Si Kecil...

Adik bangun pagi. Adik kesat mata. Walid yang kejut adik. Adik mengantuk sangat. Adik tarik selimut semula. Tidur balik. Walid geleng kepala bila nampak adik tidur balik.

Walid tepuk belakang adik suruh adik mandi. Lepas mandi adik pakai baju baru. Ummi kata hari ini Hari Raya Aidilfitri. Semua orang pakai baju baru. Tapi adik tengok ummi pakai baju buruk, walid pun pakai baju buruk. Ummi cuma senyum bila adik mengajukan soalan itu. Ummi kata cukuplah adik seorang pakai baju baru.

Walid pimpin tangan adik pergi masjid. Kami jalan kaki melalui denai-denai kecil. Sepanjang jalan adik dengar takbir raya. Allahu Akbar Allahu Akbar, La ilaha illallah huallahu Akbar, Allahu Akbar wallilla hilham.. Adik khusyuk dengar. Merdu. Adik angkat tangan ke telinga, lagak seperti bilal masjid sambil menjerit takbir raya. Walid cuma ketawa kecil melihat gelagat adik.

Di persimpangan jalan, kami bertemu Pak Cik Nassier jiran adik. Adik pandang walid. Walid ralit berbual dengan Pak Cik Nassier. Adik dengar walid berbual tentang syahid, Yassier Arafat dan lain-lain lagi. Nama negara adik pun walid sebut, Palestin. Tapi adik tidak faham. Adik cuma mendengar.

Adik tiba di perkarangan masjid. Masjid itu besar, tersergam indah. Masjid kebanggaan negara adik, Masjidil Aqsa. Walid pernah beritahu adik, Masjidil Aqsa kiblat pertama sebelum Kaabah di Mekah. Masjidil Aqsa juga adalah salah satu tempat suci dalam Islam. Nabi Muhammad pun mengalami peristiwa Isra’ dan Mi’raj di masjid ini.

Adik buka kasut dan masuk ke perut masjid. Adik lihat ramai orang. Semuanya duduk dalam saf. Walid tarik adik duduk di penjuru masjid, kemudian walid solat tahiyatul masjid. Adik ikut walid solat raya. Adik berdiri betul-betul dekat dengan walid. Adik pandang walid. Bila walid angkat tahbiratul ihram adik pun angkat. Mulut walid kumat kamit membaca sesuatu. Adik pun ikut sama walaupun adik tak tahu apa yang adik baca. Walid rukuk, adik rukuk. Walid sujud, adik sujud.

Adik membilang anak tangga selepas selesai solat raya dan bersalam-salaman dengan jemaah yang lain. Walid ada di belakang adik. Suasana ketika itu tenang dan damai. Adik suka ketenangan. Adik tarik nafas, hirup dalam-dalam udara pagi.

Tiba-tiba ketenangan itu diragut. Adik nampak ramai orang bertempiaran lari. Adik juga nampak sekumpulan askar yang memegang senjata sedang mara menuju ke arah masjid. Adik dengar bunyi kuat. Bunyi tembakan. Walid dukung adik erat sambil melaungkan takbir Allahu Akbar. Adik takut. Adik pejam mata. Kaki walid yang kuat berlari tiba-tiba terhenti. Pautan tangan walid longgar dan akhirnya terlerai. Adik rasa seperti sekujur tubuh tumbang dan menghenyak adik. Adik pandang belakang. Mata adik terbeliak. Adik nampak kepala walid berdarah. Adik menjerit nama walid. Manik-manik jernih bergentayangan dan gugur satu persatu dari tabir kelopak mata adik. Walid pandang adik. Walid cium pipi adik. Walid suruh adik lari. Adik geleng kepala. Adik pegang tangan walid. Adik hendak duduk di sisi walid. Walid senyum pada adik. Mulut walid lemah menutur kalimah syahadah. Adik goyang tubuh walid. Walid tidak bergerak. Walid kaku. "Waliiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiid!!!!!!!"

Adik kesat air mata. Adik lari kuat-kuat. Adik lari tidak kalih kiri dan kanan. Sampai di rumah, adik terus menangis. Ummi hairan tengok adik. Adik sebut nama walid berkali-kali.

Mayat walid di hantar ke rumah tidak lama selepas itu. Adik masih menangis. Adik tengok ummi cium dahi walid. Ummi peluk adik. Beberapa orang jiran cuba tenangkan ummi. Abang yang duduk di penjuru dinding juga menangis. Abang dah besar. Umur abang enam belas tahun. Abang pergi dekat walid, abang peluk dan cium walid. Selepas sembahyang adik nampak orang angkat walid keluar rumah.

Abang pun ikut sama. Adik tidak ikut. Adik duduk rumah dengan ummi. Adik tanya ummi, mana walid pergi. Ummi diam. Adik tanya lagi sambil menongkat dagu menunggu jawapan daripada mulut ummi. Ummi pandang adik, ummi kata walid pergi ke satu tempat yang sangat cantik. Walid pergi tidak akan kembali lagi. Adik cuma mengangguk.

"Adik nak ikut walid" Ummi geleng kepala dan peluk adik. Adik kesat air mata di pipi ummi. Adik senyum, ummi pun senyum.

Petang itu ramai kawan abang datang. Abang ajak mereka ke belakang rumah. Adik berlari-lari anak ikut abang ke belakang. Abang tekun membuat sesuatu. Sesuatu yang menyerupai senapang. Adik cuma duduk diam dan tengok. Kawan-kawan abang pun khusyuk membuat kerja. Adik menguap berkali-kali. Boring duduk diam tanpa melakukan sebarang kerja. Tidak keletah adik dibuatnya. Mata adik melilau-lilau mencari barang mainan. Adik nampak benda bulat seperti bola. Adik pergi dekat cuba mencapai benda itu. Adik pegang dan belek.

Sedang adik seronok bermain, abang rampas 'bola' adik. Adik masam. Adik tarik muncung empat belas. Adik marah pada abang. Abang tersenyum melihat tingkah laku adik. Dengan lembut abang mencubit pipi montel adik. Abang beritahu adik yang benda itu bom tangan bukannya bola seperti yang adik sangkakan. Adik diam, kemudian berlari mendapatkan ummi. Merajuk.

Adik bangun awal, pagi itu. Tidak seperti hari-hari lain, walid tidak ada untuk kejut adik. Apabila teringat walid, mata adik berkaca. Adik tidak mahu menangis. Adik orang lelaki. Orang lelaki tidak boleh menangis, orang lelaki kena kuat dan tabah. Adik nampak abang sedang bersiap-siap. Abang galas beg besar. Semua benda yang abang buat semalam abang bawa. Benda bulat seperti bola pun abang bawa.

Kawan- kawan abang semuanya sedang menungu di depan rumah. Abang cium tangan ummi, minta izin untuk pergi. Ummi peluk abang, cium abang berkali-kali. Adik cuma memandang dengan mata terkebil-kebil. Adik garu kepala yang tidak gatal. Abang datang dekat adik. Abang dukung adik, usap kepala adik. "Adik jaga ummi ya" pesan abang. "Abang nak pergi mana?" tanya adik seperti orang bodoh. "Abang nak pergi berjuang". Abang mengukir senyuman mengakhiri bicara.

Kelibat abang hilang ditelan kabus pagi. Hanya lambaian tangan adik mengiringi pemergian abang. Lepas abang pergi ummi cerita macam-macam perkara pada adik. Pasal Israel, pasal syurga, pasal jihad dan banyak lagi. Semuanya adik tidak faham. "Isra..Israfil." terkial-kial adik menyebut perkataan itu dalam pelat yang pekat. "Bukan Israfil. Israfilkan nama malaikat. Malaikat yang tiup sangka kala.

Israel." Ummi membetulkan sebutan adik. "Is.ra.el" akhirnya adik berjaya menyebutnya juga. Ummi ketawa kecil. Adik ikut ketawa menampakkan sebaris gigi adik yang rongak. Ummi kata Israel jahat.

Israel musuh umat Islam. Israel juga musuh Allah. Israel yang mencetuskan peperangan di bumi Palestin. Israel yang bunuh walid. Adik benci Israel. Adik benci sesiapa yang menjadi musuh Allah.

Adik lari keluar rumah. Adik pergi ke jalan besar. Ramai kanak-kanak sebaya adik di situ. Mereka semua baling batu kepada sekumpulan tentera yang bersenjata di seberang jalan. Adik ingat lagi, tentera itulah yang bunuh walid. Merekalah Israel. Adik marah. Adik geram. Adik capai batu, adik baling kuat-kuat. Adik pejam mata. Terbayang di kepala adik peristiwa yang menimpa walid.

Adik sertai kawan-kawan adik yang lain; membaling batu. Kadang-kadang kami lari apabila tentera itu menyerang balas. Ada juga kawan-kawan adik kena tembak. Tumbang satu persatu. Adik nampak baju mereka merah berlumuran darah. Adik lari menyorok di sebalik bangunan usang untuk menyelamatkan diri. Adik lari bersama seorang kawan adik. Namanya Jamal. Dia juga sama dengan adik. Walidnya juga pergi ke suatu tempat yang sangat cantik dan tidak akan kembali lagi. Apabila keadaan semakin reda, adik pulang ke rumah. Adik berjanji dengan Jamal untuk melontarkan batu lagi pada keesokkan harinya.

Sesampai di rumah adik berasa sangat lapar. Adik cari roti di dapur. Adik buka almari, adik cari dalam almari tapi tidak jumpa. Perut adik mula berbunyi minta diisi. Adik sudah makan roti petang tadi tapi adik masih berasa lapar lagi. Adik nampak ummi pegang roti. Itu sajalah satu-satunya roti yang tinggal di rumah kami. Ummi tidak makan apa-apa lagi sejak pagi tadi. Adik pergi dekat ummi. Ummi yang baru menyuapkan roti ke mulut, tersentak. Ummi keluarkan semula roti dari mulut ummi dan suapkan ke mulut adik. Adik kunyah dengan gelojoh.

"Ummi, Kenapa kita hidup susah?" adik tanya pada ummi dengan mulut dipenuhi roti. Ummi pangku adik di riba ummi. Ummi mengelus lembut rambut adik. "Kita kena sabar sebab sabar itu cantik" ujar ummi perlahan. "Cantik macam syurga ke ummi?" adik tanya lagi. Ummi senyum. "Nabi Muhammad pun hidup susah juga.

Baginda dilontar batu ketika menyebarkan dakwah di Taif. Malahan kaum Quraisy ramai yang ingin bunuh Nabi. Nabi sabar, Nabi tak cepat putus asa" sambung ummi lagi. Adik dengar dengan khusyuk. Adik nak jadi baik macam Nabi Muhammad. Nama adik pun Muhammad. Walid yang cadangkan nama itu. Walid hendak adik tabah dan cekal macam Nabi Muhammad.

Malam itu adik duduk bersila depan ummi sambil tangan memegang Al-Quran. Adik ikat serban sendiri. Adik lilit serban ikut suka hati adik. Sekejap adik lilit ke kiri, sekejap ke kanan. Kadang-kadang serban itu tutup mata adik. Adik kuak sedikit kain serban ke atas ketika hendak membaca Al-Quran. "Bismillahirrahmanirrahim.." Adik baca Al-Quran dengan bersungguh-sungguh. Adik baca kitab Allah itu dengan tekun. Ummi duduk depan adik sambil memerhati bacaan adik.

Adik hendak jadi macam abang. Umur enam tahun sudah khatam Al-Quran. Adik baru umur tiga tahun. Adik kena baca Quran dengan rajin kalau hendak khatam Al-Quran cepat macam abang. Adik ingat pesanan ummi. Ummi kata Al-Quranlah satu-satunya harta yang paling berharga. Adik ingin baca Al-Quran hari-hari. Adik tidak mahu ponteng baca Al-Quran. Bacaan adik terhenti apabila pintu diketuk dan nama ummi dilaung-laungkan dari luar.

"Syukur ya Huda, anakmu Yassin mati syahid", muncul Mak Cik Fatima di depan rumah. "Anakmu, anakmu adalah salah seorang pengebom berani mati ya Huda. Tindakannya menyebabkan tujuh orang askar Israel laknatullah terbunuh. Yassin dan tiga orang lagi pejuang Hizbullah mati syahid. Semoga syurga menanti mereka kelak" terang Mak Cik Fatima panjang lebar.

Ummi panjatkan doa pada Allah semoga roh abang ditempatkan dalam golongan orang-orang yang beriman. Adik kaget. Nama Israfil, bukan..Israel disebut lagi. Adik benci mendengar nama itu. Kemarahan adik meluap-luap. Ummi beritahu adik, abang telah pergi ikut walid. Ummi kata ummi bangga mempunyai anak seperti abang.

Adik masuk tidur awal. Adik mimpi satu tempat yang sangat cantik. Adik nampak walid dan abang di sana. Walid dan abang senyum pada adik. Adik cuba kejar mereka, tapi semakin adik kejar semakin mereka menghilang.

Keesokkan harinya, adik tunggu Jamal di tepi jalan seperti yang dijanjikan. Lima minit berlalu Jamal tidak muncul-muncul juga. Hampir setengah jam adik tunggu tapi Jamal tetap tidak muncul. Adik tidak suka orang yang mungkir pada janji. Adik ingat lagi, salah satu ciri orang munafik ialah mungkir apabila berjanji. Adik tidak mahu jadi munafik. Adik tanya kawan-kawan adik yang lain. Rupa-rupanya Jamal juga seperti walid dan abang. Jamal pergi ke satu tempat yang cantik. Tempat yang adik tidak tahu di mana letaknya. Semua orang yang adik sayang pergi ke tempat itu. Mula-mula walid, kemudian abang dan akhirnya Jamal.

Adik pulang ke rumah awal. Adik terkejut. Terkesima sebentar. Rumah adik dikepung askar Israel. Mereka memang sedang mencari keluarga adik kerana tindakan berani mati abang mengebom kubu Israel. Tubuh adik yang kecil memudahkan adik menyusup masuk ke dalam rumah. Adik nampak ummi terpelosok di satu sudut. Adik lihat dengan mata adik sendiri, tentera itu tendang ummi. Mereka sepak dan terajang ummi.

Tapi ummi masih bersabar. Ummi tidak putus-putus menyebut satu kalimah keramat..Ahad..Ahad. Mata adik merah. Adik menahan marah. Adik tidak suka orang pukul ummi. Adik sayang ummi. Adik benci Israel. Seorang tentera Israel mengacukan pistol ke arah ummi. Ummi dengan tenang menghadapinya. Tiada pun segaris garisan gusar terpancar di wajah ummi.

Ketika peluru dilepaskan, tiba-tiba..... "Muhammad!!!!!!!" Ummi menjerit sambil memegang tubuh adik. Badan adik berlumuran darah pekat dan merah. Adik raba perut adik. Adik rasa sakit. Sakit yang mencucuk-cucuk. Seketika tadi adik telah korbankan tubuh adik untuk melindungi ummi. Natijahnya peluru itu merobek perut adik yang tidak berdosa. Ummi peluk adik. Ummi menangis semahu-mahunya. Adik cuba senyum pada ummi walaupun perit.

"Ummi..adik rasa mengantuk, adik nak tidur. Adik nak jadi mujahid, adik nak ikut walid dan abang" terketar-ketar suara adik kedengaran di cuping telinga ummi. Ummi angguk, berusaha sedaya upaya untuk menahan air mata daripada jatuh bercucuran. Adik pejam mata. Adik nampak walid, abang dan Jamal melambai-lambai ke arah adik.

Wal-Lahu a'lam.

"Sesungguhnya kami mendidik generasi pejuang hari ini 20 tahun sebelum kelahiran mereka."- Osama Ben Laden

يَا أَيَّتُهَا النَّفْسُ الْمُطْمَئِنَّةُ (٢٧)ارْجِعِي إِلَى رَبِّكِ رَاضِيَةً مَرْضِيَّةً (٢٨)فَادْخُلِي فِي عِبَادِي (٢٩)وَادْخُلِي جَنَّتِي (٣٠

"Wahai orang yang mempunyai jiwa yang sentiasa tenang tetap dengan kepercayaan dan bawaan baiknya! -27 ."Kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau berpuas hati (dengan segala nikmat yang diberikan) lagi diredhai (di sisi Tuhanmu) ! .28 ."Serta masuklah engkau dalam kumpulan hamba-hambaKu yang berbahagia .29 ."Dan masuklah ke dalam SyurgaKu! "30. Surah Al-Fajr – Ayat 27-30

Continue Reading...