Followers

Thursday, July 16, 2009

Di Sebalik Isra' dan Mi'raj

Isra’ Mi’raj...inilah yang sering disebut apabila tibanya tanggal 27 Rejab. Ia seperti sambutan tahunan bagi kita yang menjadi rakyat Malaysia. Dengan bertujuankan untuk menyingkap perjalanan hidup baginda Nabi saw yang penuh dengan sejarah yang agung. Berlakunya Isra’ dan Mi’raj setelah mana Baginda Nabi saw melalui ujian yang begitu perit disamping tentangan yang hebat oleh puak Quraisy.


Keperitan perjuangan yang dilalui oleh Baginda kadangkala hampir mengorbankan nyawa. Namun sedemikian halangan, ia bukanlah tembok penghalang untuk baginda terus mengorak langkah bagi meneruskan tugas yang diamanahkan kepada Baginda.

Dalam melawan arus kegelapan kema’siatan, Nabi saw sentiasa diberi semangat dan dorongan oleh dua insan yang disayangi dan menyayangi. Iaitu bapa saudara Baginda Abu Talib dan Isteri baginda Saidatina Khadijah. Kedua-dua ini sentiasa membantu Nabi saw dan memberi perlindungan dari ancaman kaum Quraisy.

Pada tahun ke-11 dari kerasulan Baginda. Allah swt telah menguji Baginda saw dengan satu ujian yang sangat berat untuk ditanggung. Dengan cara memulangkan kembali dua insan yang sebelum ini memayungi Baginda dari kezaliman kaum Quraisy kepangkuan Pencipta.

Keperitan dan kepedihan amat dirasai oleh Baginda Nabi saw. Pemergian isteri tercinta Saidatina Khadijah pula selepas mana 3 hari Abu Talib pulang mengada Allah Rabbul Jalil. Maka ternamalah pada tahun tersebut bagi Baginda Nabi saw dengan ‘Aamul Huzn (Tahun Kesedihan).

Pergerakan dakwah di Mekah semakin sukar, kemudiannya Rasulullah saw cuba berda’wah kepada Bani yang berada di Taif. Di situ, Baginda mendapat tentangan yang lebih hebat, di mana Rasulullah saw dihina dan dilontar dengan batu.

Di sebalik keadaan diri yang diliputi kesedihan dan kehampaan. Allah swt yang Maha Pengasih kepada hambaNya telah menyusun sesuatu yang sangat menjadi penghibur hati Nabi saw disamping mengukuhkan keimanan Baginda. Langkah tersebut adalah dengan penganugerahan Isra’ dan Mi’raj pada satu malam.

Peristiwa Israk dan Mikraj ini berlaku mengikut beberapa riwayat pada malam 27 Rejab tahun ke-11 kerasulan Baginda. Peristiwa ini dirakam oleh Allah swt di dalam kitabNya:

سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَى بِعَبْدِهِ لَيْلا مِنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الأقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَا إِنَّه هُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ (١

Maksudnya: Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidilharam (di Mekah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Surah Al Israa’ – Ayat 1
Dalam perjalanan yang begitu istimewa ini, pelgai perkara yang dilihat dan dipelajari oleh Baginda Rasulullah saw.

Di antara perkara yang boleh dikongsi dan harus kita renungkan bersama adalah:

1. Manusia harus sentiasa memerhatikan hubungannya dengan Allah, dan sentiasa menilai kembali dan berusaha memperelokkan hubungan tersebut. Hubungan dengan Allah ini mestilah wujud tatkala ditimpa kesusahan dan ujian mahupun di kala mendapat kesenangan dan kemudahan.

Ini kerana hanya Allah swt sahajalah yang berkuasa dan mampu memberikan pertolongan, menghilangkan segala kesedihan, dukacita dan kesusahan pada diri kita.

Caranya ialah kita sentiasa beristiqamah, terus menerus melaksanakan semua perintahNya dan menjauhi semua laranganNya dan bukan menjadi orang yang hanya taat pada waktu susah dan melupakan Allah pada waktu senang.

2. Kehidupan kita yang ingin berjuang untuk kebaikan pasti akan dipenuhi dengan cabaran dan dugaan. Ia tidak akan sentiasa mudah tetapi kita akan berhadapan dengan kesusahan terlebih dahulu.

Namun, semua yang berlaku itu demi untuk mengukur dan menilai keimanan kita di dalam hati. Adakah kita sanggup menghadapinya dengan penuh ketabahan dan kesabaran atau kita tergolong dalam golongan yang mudah berputus harapan?

Firman Allah swt:

فَإِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا (٥)إِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا (٦

Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu bahawa) sesungguhnya tiap-tiap kesukaran ada disertai kemudahan. (Sekali lagi ditegaskan): Sesungguhnya tiap-tiap kesukaran ada disertai kemudahan. Surah An Nasyrah – Ayat 5 & 6

Seperti yang ditunjukkan oleh Allah swt kepada NabiNya yang tercinta, bahawa Allah swt tidak akan membiarkan hambaNya yang ikhlas dan benar dalam berjuang. Bahkan Ia akan dibantu Allah swt. Ia akan diberikan kegembiraan oleh Allah. Dan Allah akan mengangkat darjat dan kedudukannya.

3. Menjauhi perkara mungkar dan maksiat. Semasa peristiwa Isra’ dan Mi’raj, baginda Rasulullah saw telah ditunjukkan keadaan neraka dan ahlinya.

Baginda melihat berbagai bentuk penyeksaan dahsyat yang sedang dialami oleh berbagai kaum akibat daripada kejahatan yang pernah mereka lakukan.

Misalnya Nabi diperlihatkan kepada satu kaum yang memecahkan sendiri kepala mereka dengan batu yang besar, setelah pecah ia kembali seperti sediakala.

Nabi juga melihat seksaan bagi pemakan riba, penzina, pengumpat, yang suka memfitnah dan lain-lain lagi.

Ini semua memberi iktibar kepada kita yang hidup di dunia ini agar tidak melakukan segala perbuatan yang mungkar dan tercela, tidak kira apa bentuknya sekalipun kerana seksaan yang disediakan Allah amatlah dahsyat.

4. Perintah solat merupakan suatu bentuk ibadah yang begitu penting di dalam kehidupan seseorang hamba. Kewajipan solat begitu istimewa dibandingkan dengan kewajipan yang lain seperti puasa, zakat dan haji.

Ini kerana, kewajipan solat diterima terus oleh Nabi saw daripada Allah sewaktu bertemu Allah pada malam Mi’raj tanpa perantaraan malaikat Jibril. Ini menunjukkan keistimewaan dan kelebihan solat berbanding ibadah-ibadah lain, dan solat juga amalan yang paling awal dihisab di akhirat kelak.

Dengan solat, kita berpeluang untuk berhubung secara langsung dengan Allah swt, sebagaimana yang dijelaskan di dalam al-Quran yang bermaksud: Sesungguhnnya Akulah Allah tidak ada Tuhan selain Ku, maka sembahlah Aku dan dirikanlah solat untuk mengingati Ku.

Oleh yang demikian, mestilah kita mendatangi ibadah ini dengan penuh perhatian dan khusyuk, bermula daripada mengambil wudu’, dan melaksanakannya dengan penuh pengharapan agar diterima seiring dengan takut dan khusu’ kepada Allah swt.

5. Mengakui dan tunduk kepada kebesaran Allah sebagai pencipta agar keyakinan terhadap kekuasaan-Nya benar-benar bersemi di jiwa kita. Ini kerana sewaktu Isra’ dan Mi’raj, Allah swt memperlihatkan kepada Nabi saw, keagungan dan berbagai keajaiban ciptaanNya seperti Sidratul Muntaha, syurga dan lain-lain lagi.

6. Anjuran memberi salam. Di sepanjang perjalanan Mi’raj, Nabi saw tidak pernah lupa mengucapkan salam kepada rasul-rasul lain yang baginda temui.

Ini mengingatkan kita kepada keutamaan memberi salam dan galakan supaya selalu memberi salam kepada saudara sesama Islam untuk mengeratkan hubungan silaturahim di antara kita.

7. Mengingatkan usia dunia yang sudah tua yang mana dibayangkan melalui pertemuan Nabi dengan seorang nenek tua. Ia memberi gambaran kepada kita yang umur dunia sudah lanjut dan hampir kepada penghujungnya.

Hakikat ini memperingatkan setiap Muslim bahawa segala kemewahan dan kesenangan dunia hanyalah bersifat sementara. Hanya ketakwaan dan amal soleh menjadi bekalan untuk ke akhirat.

8. Berwaspadalah dengan rayuan dan tipu daya iblis, kerana sewaktu Isra’, pada awal perjalanan lagi jin Afrit telah mengejar Baginda saw dengan membawa obor untuk menghalang perjalanan Nabi saw dan berusaha memperdayakan Baginda.

Peristiwa ini memperingatkan kita bahawa syaitan dan iblis tidak akan jemu untuk menyesat dan memperdaya umat manusia dengan pelbagai cara. Peristiwa Isra’ dan Mi’raj merupakan mukjizat teragung yang dianugerahkan khas oleh Allah swt kepada Rasulullah saw.

Justeru itu, pelbagai pengajaran di dalamnya hendaklah direnung dan dihayati supaya ia dapat membantu memberikan nilai tambah dalam kehidupan, baik dalam usaha meningkatkan ketakwaan dan prestasi ibadah kepada Allah mahupun untuk peningkatan ilmu pengetahuan, terutama dalam menghadapi cabaran era globalisasi masa kini.

No comments: