Followers

Tuesday, August 18, 2009

Harga sebuah ketenangan


Fitrah manusia sememangnya inginkan ketenangan. Ketenangan dicari dan diburu oleh jutaan manusia di dunia pada hari ini. Terjadinya krisis di dunia pada hari ini kerana tiada ketenangan dan kasih sayang. Ketenangan adalah anak kunci pembuka gedung perasaan dan fikiran. Kita boleh membuka tabir-tabir perasaan manusia dengan ketenangan yang dimiliki. Kita juga boleh membuka lembaran fikiran manusia dan mengambil ilmu daripadanya.

Sebenarnya ketenangan itu menjadi kecemburuan orang, lebih-lebih lagi syaitan. Syaitan tidak dapat menguasai orang yang tenang. Demikian juga Yahudi, kafir dan munafik, mereka tidak dapat menguasai peribadi Muslim yang tenang. Ketenangan yang dimiliki apabila digunakan untuk menyuluh dan mengawal roh, perasaan dan jalan berfikir manusia, akan menghasilkan kesan yang hebat dan diluar jangkauan akal di dalam perlakuan mereka mengendalikan ekonomi, politik, pentadbiran dan kerja-kerja lain.

Ketenangan inilah yang dicari-cari oleh ahli fikir kerana mereka tahu bahawasanya idea yang hebat diwaktu tenang akan luar biasa kesannya kepada orang yang mendengar ucapan dan membaca tulisannya. Mereka yang mengeluarkan idea atau memerah fikiran di dalam keadaan jiwa gelisah dan tidak tenteram, sama seperti industri yang mengeluarkan bahan-bahan yang tidak bermutu atau rendah kualitinya. Besar kemungkinan barangan itu akan di reject oleh piawaian. Sekiranya dipasarkan juga ke tengah masyarakat, harganya akan jatuh menjunam. Demikian harga buah-buah fikiran dari mereka yang resah gelisah.

Ketenangan itu sangat tinggi nilainya. Ia tidak di Bursa Sahamkan. Tetapi diniagakan di dalam pasaran Kalbu Mukminin iaitu hati manusia di seluruh dunia dan sepanjang zaman. Ramai manusia yang cuba menanam modal untuk mengaut keuntungan yang besar iaitu ketenangan. Tetapi yang mencapai peringkat tenang itu sangat sedikit. Yang banyak ialah mereka yang salah menanam modal kerana ditipu oleh Bursa Saham Duniawi.

Sememangnya harta benda dunia itu diselaputi dengan keindahan dan ketenangan yang palsu.

Firman Allah swt :

زُيِّنَ لِلنَّاسِ حُبُّ الشَّهَوَاتِ مِنَ النِّسَاءِ وَالْبَنِينَ وَالْقَنَاطِيرِ الْمُقَنْطَرَةِ مِنَ الذَّهَبِ وَالْفِضَّةِ وَالْخَيْلِ الْمُسَوَّمَةِ وَالأنْعَامِ وَالْحَرْثِ ذَلِكَ مَتَاعُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَاللَّهُ عِنْدَهُ حُسْنُ الْمَآبِ (١٤)قُلْ أَؤُنَبِّئُكُمْ بِخَيْرٍ مِنْ ذَلِكُمْ لِلَّذِينَ اتَّقَوْا عِنْدَ رَبِّهِمْ جَنَّاتٌ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الأنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا وَأَزْوَاجٌ مُطَهَّرَةٌ وَرِضْوَانٌ مِنَ اللَّهِ وَاللَّهُ بَصِيرٌ بِالْعِبَادِ (١٥)الَّذِينَ يَقُولُونَ رَبَّنَا إِنَّنَا آمَنَّا فَاغْفِرْ لَنَا ذُنُوبَنَا وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ (١٦)

Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, Iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih; dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga).14. Katakanlah (Wahai Muhammad): "Mahukah supaya Aku khabarkan kepada kamu akan yang lebih baik daripada semuanya itu? Iaitu bagi orang-orang yang bertaqwa disediakan di sisi Tuhan mereka beberapa syurga, yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya. disediakan juga pasangan-pasangan/ isteri-isteri yang suci bersih, serta (beroleh pula) keredaan dari Allah". dan (ingatlah), Allah sentiasa melihat akan hamba-hambaNya;15. (Iaitu) orang-orang yang berdoa Dengan berkata: "Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Kami telah beriman, oleh itu, ampunkanlah dosa-dosa Kami dan peliharalah Kami dari azab neraka";16. Surah Al Imran – Ayat 14-16

Ketenangan itu adalah harta kekayaan yang maknawi, yang tersirat, dan bukan pada zahiriah. Bukan barang nyata yang boleh dilihat oleh mata kepala. Tetapi ia berada di alam rasa yang luasnya lebih luas dari alam cakerawala. Dan untuk mendapatkannya adalah suatu perkara yang sangat sukar.

Allah swt Berfirman:

الَّذِينَ آمَنُوا وَتَطْمَئِنُّ قُلُوبُهُمْ بِذِكْرِ اللَّهِ أَلا بِذِكْرِ اللَّهِ تَطْمَئِنُّ الْقُلُوبُ (٢٨)

"(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah". ketahuilah dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia. Surah Ar Raad – Ayat 28


Mengingati Allah swt sehingga melahirkan ketenangan didalam jiwa bukanlah satu perkara yang boleh dimiliki dimana-mana. Ramai orang yang beribadah dan mengingati Allah swt, tetapi jiwa mereka kusut. Mengapa?. Mungkin kerana ibadah mereka itu tidak dijiwai dan dijagai adabnya. Tuntutan ibadah tidak sempurna atau tidak dilaksanakan. Ramai manusia yang berfikir apabila menunaikan ibadah kepada Allah swt, mereka telah sempurna melaksanakan tuntutan ibadah. Tetapi hakikatnya belum lagi selesai. Kerana tuntutan ibadah itu ada hubungannya dengan manusia. Ibadah melahirkan akhlak. Akhlak melahirkan kasih sayang dan kemesraan sesama manusia.

Jikal kasih sayang sesama manusia belum wujud di dalam diri kita, ertinya ibadah yang kita lakukan masih belum sempurna. Kerana itu ramai yang kita lihat rajin sembahyang, rajin berpuasa, rajin pergi umrah tetapi hati mereka tidak tenang. Kenapa? Kerana mereka rajin pergi umrah tetapi jiran mereka kelaparan mereka tidak ambil tahu. Mereka rajin bersembahyang, tetapi jiran mereka tidak ada pakaian, mereka tidak peduli. Tidak ada kasih sayang, tidak ada silaturahim. Maka hasilnya tiada keberkatan dan ketenangan.

Kerana itu barang siapa yang memiliki ketenangan, hendaklah menghebah dan memberikannya kepada manusia yang lain yang memerlukannya. Melalui nasihat, mendoakan orang yang gelisah agar mendapat ketenangan, Mempamerkan wajah tenang kepada orang yang gelisah.

Itulah tuntutan yang perlu disempurnakan apabila kita telah diberi nikmat ketenangan. Ni’mat jika kita mensyukuri dan menjagai dengan adab-adab dan tertib, maka akan ditambah oleh Allah swt. Perbanyakkanlah berdoa dan beribadat kepada Allah swt dengan penuh takut pada siksaannya dan mengharap pada keampunanNya. Semoga Allah swt memberikan kita ketenangan yang hakiki dan abadi. Amin ya Rabbal ‘Alamin

No comments: