Followers

Wednesday, June 3, 2009

Hakikat Pengabdian



“Anta tak keluar mana-mana ke?”. Tanya seorang sahabat kepada seorang sahabatnya yang dizirahi. Sahabat yang ditanya lalu menjawab: “Ana memang jarang keluar, suka duduk rumah. Kalau keluar nanti takut terbuat ma’siat, biasalah mata manusia”. Sahabat yang menziarah bertanya lagi: “anta selalu buat apa dekat rumah?”. Dan dia menjawab: “Ana...macam ni lah, baca al Quran, zikir, dan apa-yang boleh jaga hati”.

Wahai sahabat-sahabatku sekalian, Allah swt berfirman:

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالإنْسَ إِلا لِيَعْبُدُونِ (٥٦)مَا أُرِيدُ مِنْهُمْ مِنْ رِزْقٍ وَمَا أُرِيدُ أَنْ يُطْعِمُونِ (٥٧

Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka mengabdikan diri kepadaKu.57 Aku tidak sekali-kali menghendaki sebarang rezeki pemberian dari mereka, dan Aku tidak menghendaki supaya mereka memberi makan kepadaKu. Surah Al Zariat – Ayat 56 & 57


Ayat di atas memahamkan kita bahawa tugas manusia diciptakan oleh Allah swt adalah untuk mengabdikan diri kepadaNya semata-mata. Di dalam ayat yang lain, Allah swt merakamkan kisah sebelum mana diciptakan manusia dengan firmanNya:

وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلائِكَةِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي الأرْضِ خَلِيفَةً قَالُوا أَتَجْعَلُ فِيهَا مَنْ يُفْسِدُ فِيهَا وَيَسْفِكُ الدِّمَاءَ وَنَحْنُ نُسَبِّحُ بِحَمْدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَ قَالَ إِنِّي أَعْلَمُ مَا لا تَعْلَمُونَ (٣٠

Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi". mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu Dengan berkata): "Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?". Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya". Surah Al- Baqarah – Ayat 30



Allah swt berfirman kepada malaikat bahawasanya Allah swt ingin menciptakan khalifah diatas muka bumi. Sekiranya kita menganggap manusia ini diciptakan hanya sekadar mengisi hidup dengan bersendirian dan berzikira semata-mata, tanpa mengambil tahu keadaan yang berlaku disekeliling, maka tujuan penciptaan kita sama seperti tujuan dijadikan malaikat. Seandainya dengan cara pengabdian yang sama, maka Allah swt tidak akan menyebut untuk menjadikan khalifah di atas muka bumi. Sepertimana malaikat yang diciptakan khusus untuk mengabdikan diri dengan cara-cara tertentu tanpa perlu kepada hidup bermasyarakat sepertimana manusia.

Tugas manusia adalah melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan oleh Allah swt untuk kemakmuran bumi yang terbentang ini. Seandainya kita tidak memahami hakikat pengabdian kita yang sebenar, maka kemakmuran bumi ini tidak akan wujud. Allah swt berfirman:

إِنَّا عَرَضْنَا الأمَانَةَ عَلَى السَّمَاوَاتِ وَالأرْضِ وَالْجِبَالِ فَأَبَيْنَ أَنْ يَحْمِلْنَهَا وَأَشْفَقْنَ مِنْهَا وَحَمَلَهَا الإنْسَانُ إِنَّهُ كَانَ ظَلُومًا جَهُولا (٧٢

Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (ingatlah) Sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan. Surah Al-Ahzab – Ayat 72

Ayat ini menceritakan ketikamana pembentangan amanah kepada langit, bumi, dan gunung-ganang, semuanya berlepas diri dari memikulnya. Jika seluas langit, sepadu bumi, dan sekukuh dan sepadu gunung tidak mampu untuk menerima amanah, kenapa kita yang sering melakukan kezaliman dan bersifat jahil ini menerima amanah dan tidak melaksanakannya?.

Maksud khalifah di atas muka bumi adalah ganti Pemilik dalam mentadbir dan memakmurkan bumi ini. Tugas manusia dalam melaksanakan tanggungjawab ini adalah mengikut apa yang diperintahkan oleh Allah swt dan meninggalkan segala apa yang dilarang olehNya. Dalam hal ini, Allah swt menerangkan peranan manusia pertamanya mengabdikan diri sepenuhnya kepada Allah swt, dan kedunya mentadbir bumi Allah ini dengan berpandukan kitab yang disediakan oleh Allah swt iaitu al-Quran.


Wahai sahabat-sahabatku sekelian. Pengabdian diri kepada Allah swt, tidak tertumpu kepada menyendirikan diri ditempat yang sunyi sepanjang masa dan dipenuhi zikir semata-mata. Tetapi pengabdian diri yang sebenar adalah selain bersendirian untuk bermunajat kepada Allah swt kita perlu juga mengajak dan memimpin manusia yang leka dengan prihal dunia kepada mengingati Allah setiap masa. Melakukan dan membawa manusia kepada pelaksanaan segala apa yang diperintahkan oleh Allah swt, meninggalkan dan menghalang manusia dari terjebak dengan apa yang ditegah oleh Allah swt. Semua ini adalah pengabdian diri diri kepada Allah swt. Sabda Nabi saw:

عَنْ أَبِى هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- الإِيمَانُ بِضْعٌ وَسَبْعُونَ أَوْ بِضْعٌ وَسِتُّونَ شُعْبَةً فَأَفْضَلُهَا قَوْلُ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَدْنَاهَا إِمَاطَةُ الأَذَى عَنِ الطَّرِيقِ وَالْحَيَاءُ شُعْبَةٌ مِنَ الإِيمَانِ

Bermaksud: Dari Abi Hurairah berkata, Sabda RasululLah saw: “Iman ini sebilangan tujuh puluh atau sebilangan enam puluh cabang, yang paling afdhal berkata Tiada Tuhan melainkan Allah dan yang paling rendah adalah membuang duri (perkara-perkara yang menyakiti) dari jalanan, dan malu itu satu cabang daripada Iman”. R. Muslim

Jika kita perhatikan apa yang disebut oleh Nabi saw seperti mana diatas, pengabdian ini perlu dirangkumi pada setiap ‘amalan yang kita laksanakan, samaada ia berbentuk zikir, menyelamatkan manusia dari kecelakaan, dan hubungan manusia sesama manusia, semua ini meliputi pengabdian diri kepada Allah Rabbul Jalil.

Wahai sahabat-sahabatku yang dikasihi. Cuba kita renung sejarah hidup Baginda Nabi saw dalam pengabdian diri kepada Allah swt, Nabi saw bersendirian didalam Gua Hira’ sebelum Baginda saw dilantik menjadi Nabi dan Rasul, tetapi setelah mana Nabi saw memikul amanah sebagai utusan Allah ini, Nabi saw hanya menyendirikan diri ketika mana 1/3 dihujung malam sahaja, tidak lagi ke mana-mana Gua untuk “Taqarrub ila-Lah”. Siang harinya Nabi tidak putus-putus menyebar dan mengajak manusia dari menyembah tuhan yang dicipta kepada Tuhan yang Maha Pencipta. Bukankah ini ditunjukkan oleh Nabi saw?


Allah swt memberitahu tugasan sebenar utusannya dengan berfirman:

يَا أَيُّهَا الرَّسُولُ بَلِّغْ مَا أُنْزِلَ إِلَيْكَ مِنْ رَبِّكَ وَإِنْ لَمْ تَفْعَلْ فَمَا بَلَّغْتَ رِسَالَتَهُ وَاللَّهُ يَعْصِمُكَ مِنَ النَّاسِ إِنَّ اللَّهَ لا يَهْدِي الْقَوْمَ الْكَافِرِينَ (٦٧

Wahai Rasul Allah! sampaikanlah apa yang telah diturunkan kepadamu dari Tuhanmu; dan jika Engkau tidak melakukannya (dengan menyampaikan semuanya), maka bermakna tiadalah Engkau menyampaikan perutusanNya; dan Allah jualah akan memeliharamu dari (kejahatan) manusia. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada kaum yang kafir. Surah Al-Maidah – Ayat 67

Didalam ayat yang lain Allah swt merakamkan kembali apa yang diadu oleh Nabi Nuh as:

قَالَ رَبِّ إِنِّي دَعَوْتُ قَوْمِي لَيْلا وَنَهَارًا (٥

(setelah puas menyeru mereka), Nabi Nuh berdoa Dengan berkata: "Wahai Tuhanku, Sesungguhnya Aku telah menyeru kaumku siang dan malam (supaya mereka beriman); Surah Nuh – Ayat 5

Perjuangan Para Nabi as ini perlu disinambungi oleh orang yang menuntut Ilmu Allah swt. Nabi saw bersabda didalam satu hadisnya:

وَإِنَّ الْعُلَمَاءَ وَرَثَةُ الأَنْبِيَاءِ وَإِنَّ الأَنْبِيَاءَ لَمْ يُوَرِّثُوا دِينَارًا وَلاَ دِرْهَمًا وَرَّثُوا الْعِلْمَ فَمَنْ أَخَذَهُ أَخَذَ بِحَظٍّ وَافِرٍ

Bermaksud: Dan sesungguhnya orang yang mempunyai Ilmu pewaris para Nabi, dan sesungguhnya para Nabi tidak mewarisi wang emas dan tidak juga wang perak, tetapi mereka mewarisi Ilmu, sesiapa yang mengambilnya maka ia memperolehi keuntungan yang mewah (besar). R. Abu Daud


Tugasan orang yang menuntut Ilmu Allah swt adalah mewarisi gerak kerja dan menyambung segala apa yang dibawa oleh Para Nabi as kerana inilah yang diajar oleh Baginda Nabi saw sepertimana sabdanya:

بلغوا عني ولو آية

"Sampaikanlah dariku walau satu ayat"


Allah swt memperingatkan manusia selain dari berjuang untuk mempertahan dan menegakkan Agama Allah dengan kekuatan, mestilah ada sebahagian dikalangan manusia yang belajar ilmu Allah agar ia dapat memberi peringatan kepada kaumnya dengan FirmanNya:

وَمَا كَانَ الْمُؤْمِنُونَ لِيَنْفِرُوا كَافَّةً فَلَوْلا نَفَرَ مِنْ كُلِّ فِرْقَةٍ مِنْهُمْ طَائِفَةٌ لِيَتَفَقَّهُوا فِي الدِّينِ وَلِيُنْذِرُوا قَوْمَهُمْ إِذَا رَجَعُوا إِلَيْهِمْ لَعَلَّهُمْ يَحْذَرُونَ (١٢٢

dan tidaklah (betul dan elok) orang-orang yang beriman keluar semuanya (pergi berperang); oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam agama, dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; Mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah). Surah At-Taubah – Ayat 122


Inilah pengabdian diri yang sebenar kerana pengabdian diri kepada Allah ini tidak tertumpu dengan hanya mencari dan mengejar keredhaan Allah secara bersendirian setiap waktu, malah ia lebih kepada kehidupan bermasyarakat, saling membantu antara satu sama lain. Nabi saw besabda:

“المؤمن للمؤمن كالبنيان يشد بعضه بعضا”

“Orang mu’min bagi orang mu’min yang lain seperti satu binaan yang saling memperkukuhkan diantara satu sama lain”


Semoga Allah memberi kekuatan dan kemampuan untuk kita mengingatiNya sentiasa dan menggolongkan kita dikalangan orang Mu’min yang disebut didalam kitab sucinNya:

الَّذِينَ يَذْكُرُونَ اللَّهَ قِيَامًا وَقُعُودًا وَعَلَى جُنُوبِهِمْ وَيَتَفَكَّرُونَ فِي خَلْقِ السَّمَاوَاتِ وَالأرْضِ رَبَّنَا مَا خَلَقْتَ هَذَا بَاطِلا سُبْحَانَكَ فَقِنَا عَذَابَ النَّارِ (١٩١)

191. (Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): "Wahai Tuhan kami! tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini Dengan sia-sia, Maha suci engkau, maka peliharalah Kami dari azab neraka. Surah Al-Imran – Ayat 191

No comments: