Followers

Thursday, March 25, 2010

Ghuraba' dan Penyelesaian (3)...

Permasalahan Islam

Permasalahan Islam kini yang perlu diselesaikan segera adalah:

1. Masyarakat tidak memahami Islam. Mereka tidak jelas tasawwur Islam sebenar. Fahaman mereka berbentuk juz’i dan bercampur aduk. Misalnya ada yang melihat Islam dari aspek hukum semata-mata tanpa melihat kepada Qadhiyyah Ilahiyyah yang menyeluruh.

2. Masyarakat tidak melihat Din Allah swt dan rahmat-Nya sebagai suatu alternatif yang dapat menyelesaikan permasalahan manusia dan menyelamatkan mereka daripada kehancuran. Firman Allah swt:

وَمَنْ لَمْ يَجْعَلِ اللَّهُ لَهُ نُورًا فَمَا لَهُ مِنْ نُورٍ (٤٠

Dan (ingatlah) sesiapa yang tidak dijadikan Allah menurut undang-undang peraturanNya mendapat cahaya (hidayah petunjuk) maka ia tidak akan beroleh sebarang cahaya (yang akan memandunya ke jalan yang benar). Surah An-Nur – Ayat 40

3. Pupus syu’ur untuk kembali kepada Islam. Sedangkan Islam mendidik umatnya supaya bekerja dan berusaha untuk menegakkan Din Allah swt serta mempertahankannya, bukan sebaliknya mempertahankan Din bukan Islam.

Tidak dinafikan bahawa terdapat individu-individu yang faham Islam, menerima Islam sebagai alternatif dan memiliki syu’ur untuk kembali kepada Din Allah swt sepenuhnya. Tetapi malangnya mereka tidak terkumpul sebagai satu kekuatan dalam bentuk jama’ah yang tersusun rapi dan mempersaksikan rahmat Allah swt dalam bentuk yang sempurna.

Cara Mengatasi Ghuraba’

Untuk mengatasi Ghuraba’ ath-Thaniyah, maka tidak ada jalan lain melainkan kembali kepada Allah dengan cara mengikuti jejak langkah Rasulullah saw. Yakni jalan yang telah berjaya memnghilangkan Ghuraba’ al-Islam al-Awwal. Firman Allah swt:

لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِمَنْ كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا (٢١

Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, Iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang). Surah Al-Ahzab – Ayat 21

Sabda Nabi saw:


-->حدثنا أبو الوليد حدثنا شعبة عن مخارق سمعت طارقا قال قال عبد الله : .....وأحسن الهدي هدي محمد صلى الله عليه و سلم

“Dan sebaik-baik pertunjuk ialah pertunjuk Muhammad SAW.” - Riwayat Bukhari


Antara cara-caranya ialah:

1. Memahamkan Islam kepada masyarakat sebagaimana yang difahami oleh Rasulullah saw dan para sahabat r.a. yang mulia. Islam adalah satu cara hidup yang benar dan akan membawa kepada keredhaan Allah swt. Manakala cara hidup yang lain adalah batil, sesat dan dimurkai Allah swt. Dengan Islam sahaja akan dapat menghapuskan kefasadan, kejahatan dan kerosakan di bumi. Islam adalah Taklif Rabbani. Manusia bertanggungjawab untuk memahaminya, beriman dengannya, menyampaikannya dan menegakkannya di dalam kehidupan. Firman Allah swt:

وَمَنْ يَبْتَغِ غَيْرَ الإسْلامِ دِينًا فَلَنْ يُقْبَلَ مِنْهُ وَهُوَ فِي الآخِرَةِ مِنَ الْخَاسِرِينَ (٨٥

Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi. Surah Ali-Imran – Ayat 85

Islam hendaklah difahamkan melalui wasilah yang betul dan masyru’, bersumberkan masdar yang asli iaitu Al Qur’an, As Sunnah, ijma’ dan qias berpandukan kitab-kitab ulama’-ulama’ muktabar agar Islam yang diketengahkan itu Syamil dan Kamil.

2. Melaksanakan didikan untuk melahirkan muslim yang serasi dan komited dengan Islam. Muslim berkerja untuk Islam sepanjang hayat. Muslim memiliki sifat-sifat mahmudah seperti yang dimiliki para sahabat Rasulullah saw. Muslim yang menjadi rijal dan mujahid yang mukhlis. Muslim yang terikat dengan akhirat. Muslim yang merasai Ukhuwwah Fillah.

Didikan yang dijalankan di atas asas Iman yang akan melahirkan kesungguhan di dalam kerja-kerja da’wah. Al-Imam asy-Syahid Hasan al-Banna r.a. menyatakan yang bermaksud:

“Apa yang dilakukan oleh Rasulullah saw dalam menyampaikan dan memasukkan da’wah di hati sahabat-sahabatnya Generasi Awal ialah menyeru mereka supaya beriman dan beramal. Kemudian dihimpun hati mereka dengan penuh kasih sayang dan persaudaraan, mereka berhimpun di atas kekuatan aqidah dan kekuatan kesatuan, maka jadilah mereka jama’ah contoh yang semestinya terjulang kalimah dan da’wahnya, memperolehi kemenangan walaupun ahli-ahli bumi seluruhnya tidak menyetujui dan menentang mereka.” – Asy-Shahid Hasan Al-banna

Barisan muslimin yang bangkit sebagai du’at. Mereka berda’wah kepada keluarga dan masyarakat agar kembali kepada Islam sebagai Din Allah yang bersifat Kamil dan Mutakamil.

3. Melaksanakan jihad. Pembentukan masyarakat Islam dan pemerintahan Islam, yang menjadi matlamat asasi dalam ‘Amal Islami, tidak akan tercapai tanpa jihad. Malah jihad mengangkat pekerja-pekerja Islam daripada segala kerendahan kepada ketinggian. Jihad akan menjadikan pekerja-pekerja Islam terikat dengan Islam siang dan malam. Terpaut rasa dengan alam ukhrawi sepertimana terpautnya manusia lain kepada kehidupan dunia.

Jihad perlu berterusan. Orang-orang yang mati tanpa berjihad tergolong dalam golongan munafiq. Orang-orang yang mati tanpa kesan jihad akan bertemu Allah swt dalam keadaan sumbing. Sabda Rasulullah saw:

عن ابي هريرة قال : قال رسول الله صلى الله عليه و سلم من لقي الله بغير أثر من جهاد لقي الله وفيه ثلمة

“Sesiapa yang bertemu Allah (mati) tanpa kesan jihad, maka dia bertemu Allah dan padanya terdapat kesumbingan.” - Riwayat At-Tarmizi.

Sabda Rasulullah saw:

عَنْ أَبِى هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- « مَنْ مَاتَ وَلَمْ يَغْزُ وَلَمْ يُحَدِّثْ بِهِ نَفْسَهُ مَاتَ عَلَى شُعْبَةٍ مِنْ نِفَاقٍ

“Sesiapa yang mati dan tidak pernah berperang dan jiwanya tidak terdetik untuk berperang, maka dia mati di atas cabangan nifaq.” - Riwayat Muslim.

Firman Allah swt:

لَوْ كَانَ عَرَضًا قَرِيبًا وَسَفَرًا قَاصِدًا لاتَّبَعُوكَ وَلَكِنْ بَعُدَتْ عَلَيْهِمُ الشُّقَّةُ (٤٢

Kalau apa yang engkau serukan kepada mereka (Wahai Muhammad) sesuatu yang berfaedah yang sudah didapati, dan satu perjalanan yang sederhana (tidak begitu jauh), nescaya mereka (yang munafik itu) akan mengikutmu; tetapi tempat yang hendak dituju itu jauh bagi mereka. Surah At-Taubah – Ayat 42

4. Du’at perlulah bekerja secara jama’i, tidak keseorangan. Rasulullah saw bersabda:


عن ابن عباس قال : قال رسول الله صلى الله عليه و سلم: يد الله مع الجماعة
هذا حديث حسن غريب لا نعرفه من حديث ابن عباس إلا من هذا الوجه .قال الشيخ الألباني : صحيح


“Tangan Allah bersama jama’ah.” – Riwayat Tarmizi

5. Hendaklah difahami bahawa dengan kesedaran dan semangat semata-mata tidak akan lahir pekerja dan penda’wah sepanjang hayat. Hamasah (semangat) akan hilang apabila bertemu dengan ‘Uqubah dan Mehnah (bencana dan ujian) di atas jalan da’wah. Lebih-lebih lagi jalan da’wah ini panjang dan jauh. Ia tidak dihampari dengan permaidani indah atau ditaburi dengan bunga-bungaan. Justeru itu Tarbiyyah, Takwin dan bekerja secara jama’i adalah perlu.

Dengan adanya Tarbiyyah dan Takwin, InsyaAllah akan lahirlah pekerja sepanjang hayat, iltizam dengan matlamat da’wah yang besar dan bercita-cita mencari keredhaan Allah swt semata-mata.

Penutup

Menegakkan kembali Din Allah swt adalah Amanah Kubra (besar) dan taklif Rabbani. Du’at perlu memikul Amanah dan Taklif ini. Meninggalkannya adalah berdosa lantaran du’at berada di satu penjuru daripada penjuru-penjuru Islam yang perlu dikawal dan dijaga agar musuh tidak dapat mencerobohinya.

Bersama-samalah wahai du’at untuk memikul tugas yang mulia ini. Mengajak masyarakat ke jalan Allah swt secara jama’i, dengan penuh rasa Ukhuwwah dan dengan mempersaksikan Qudwah Hasanah demi pengabdian kepada Allah swt.

Medan da’wah dan berkerja untuk Islam adalah medan yang Allah swt muliakan. Begitu juga du’at menjadi mulia di atas medan ini. Du’at hidup dan mati di atasnya. Du’at beristiqamah di atasnya hingga kembali bertemu Allah swt dalam keadaan mendapat kasih-Nya dan terselamat daripada kemurkaan-Nya.

No comments: