Followers

Monday, April 26, 2010

Sahabat Dalam Berjuang...


“Ya Allah, kurniakanlah kepadaku seorang sahabat untuk sentiasa menemaniku dalam berjuang demi agamaMu”.
Keluh hati kecil. Nak merungut, tak sepatutnya bagi seorang hamba pada Sang Pencipta. Terpaksa tabahkan hati demi agamaNya. Pilu dan sunyi sentiasa bermain di benak hati. Kadang kala terfikir sendirian “adakah bersahabat dalam perjuangan menjadi satu keperluan?”.
Jika merenung kehidupan Baginda saw, Baginda adalah seorang yang paling dan sangat mengasihi Allah swt dan Allah swt juga sangat mengasihinya. Tetapi Baginda mempunyai sahabat-sahabat. Yang paling rapat dan dekat dengan Baginda saw adalah saidina Abu Bakar ra. Maknanya, walaupun Baginda tidak putus-putus mengikat hati dengan kekasihnya (Allah swt), Baginda tetap tidak mengabaikan sahabatnya untuk sama-sama berjuang dan berkorban.
“Ya Allah, jika bersahabat dalam berjuang menjadi satu keperluan, maka Engkau berikanlah kepadaku seorang sahabat yang benar-benar mampu menemaniku untuk melangkah menuju ZatMu dan sama-sama berjuang untuk agamaMu sehingga akhir hayatku”.
Kerdil rasa bila menghadap Rabb. Allah swt Berfirman:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ أَنْتُمُ الْفُقَرَاءُ إِلَى اللَّهِ وَاللَّهُ هُوَ الْغَنِيُّ الْحَمِيدُ (١٥)
“Wahai umat manusia, kamulah yang sentiasa berhajat kepada Allah (dalam Segala perkara), sedang Allah Dia lah sahaja yang Maha Kaya, lagi Maha Terpuji”. – Surah Fathir – Ayat 15

Kenapa aku terlalu lemah? Bila diuji, pelbagai rasa bermain dihati. Sedih, lemah semangat, putus asa sehingga rasa nak bersendirian dari berhadapan dengan manusia. Tapi, jika aku menuruti kehendak hati, maka aku akan bercanggah dengan apa yang ditunjukkan oleh Baginda saw. Ujian pada Baginda lagi hebat jika ingin dibandingkan dengan ujian kita. Allah swt Berpesan kepada Baginda saw didalam FirmanNya:

قُلْ إِنْ كُنْتُمْ تُحِبُّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللَّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَحِيمٌ (٣١)قُلْ أَطِيعُوا اللَّهَ وَالرَّسُولَ فَإِنْ تَوَلَّوْا فَإِنَّ اللَّهَ لا يُحِبُّ الْكَافِرِينَ (٣٢)
“Katakanlah (Wahai Muhammad): "Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku (Nabi saw), nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (31) Katakanlah (Wahai Muhammad): "Taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya. oleh itu, jika kamu berpaling (menderhaka), maka sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang kafir”.(32). –Surah Ali-Imran – Ayat 31 & 32

“Ya Allah, beratnya jika aku berpaling. Semoga Allah tetapkan hati kita sentiasa hidup dalam berjuang demiNya”. Allah swt Berfirman:
لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ (٢١)
Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik”. –Surah Al-Ahzab – Ayat 21

Nabi saw bersabda:
عَنْ أَبِى هُرَيْرَةَ رَضِىَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- : إِنَّمَا بُعِثْتُ لأُتَمِّمَ مَكَارِمَ الأَخْلاَقِ
“Sesungguhnya aku diutuskan bagi menyempurnakan kemuliaan akhlak”. Riwayat Baihaqi

Baginilah hidup seorang hamba. Hidupnya tidak boleh mengikut akal fikiran dan hawa nafsu. Kerana kita mempunyai Tuan. Tuan kita sudah menghantar utusan sebagai contoh dan ikutan. Dan bersamanya satu kitab (Al-Quran) dari Allah swt, Tuan segala makhluk. Itulah panduan buat umat Muhammad saw. Ingin atau tidak, senag atau susah dan ringan atau berat, tetap perlu mengorbankan diri demi agamaNya. Allah swt Berfirman:

إِنَّ اللَّهَ اشْتَرَى مِنَ الْمُؤْمِنِينَ أَنْفُسَهُمْ وَأَمْوَالَهُمْ بِأَنَّ لَهُمُ الْجَنَّةَ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ فَيَقْتُلُونَ وَيُقْتَلُونَ وَعْدًا عَلَيْهِ حَقًّا فِي التَّوْرَاةِ وَالإنْجِيلِ وَالْقُرْآنِ وَمَنْ أَوْفَى بِعَهْدِهِ مِنَ اللَّهِ فَاسْتَبْشِرُوا بِبَيْعِكُمُ الَّذِي بَايَعْتُمْ بِهِ وَذَلِكَ هُوَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ (١١١)
“Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (balasan syurga yang demikian ialah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah di dalam (Kitab-kitab) Taurat dan Injil serta Al-Quran; dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? oleh itu, bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jual-belinya itu, dan (ketahuilah bahawa) jual-beli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar”. (111). –Surah At-Taubah – Ayat 111

“Ya Allah, aku tidak layak dibeli olehMu kerana aku adalah seorang hamba dariMu. Walaupun Engakau tidak membeliku, tanggungjawabku tetap tidak terlepas dari bekorban untukMu”.
“Aku bukan hamba pada manusia, bukan juga hamba pada makhluknya. Tapi aku adalah hamba pada Sang Pencipta. Aku mesti patuh dengan setiap arahanNya walaupun ia bertentangan dengan kehendakku”. Keluh lagi hati kecilku. Allah swt Berfirman didalam surah yang lain:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا هَلْ أَدُلُّكُمْ عَلَى تِجَارَةٍ تُنْجِيكُمْ مِنْ عَذَابٍ أَلِيمٍ (١٠)تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ وَتُجَاهِدُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ بِأَمْوَالِكُمْ وَأَنْفُسِكُمْ ذَلِكُمْ خَيْرٌ لَكُمْ إِنْ كُنْتُمْ تَعْلَمُونَ (١١)
Wahai orang-orang yang beriman! mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya? (10) Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan RasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan agama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya). (11). –Surah Ash-Shaff – Ayat 10 & 11

Perniagaan yang boleh menyelamatkan kita dari azab yang pedih!. Inilah satu tawaran yang dibentangkan kepada manusia, menuntut agar mengorbankan harta dan jiwa raga demi Islam.
“Ya Allah, Engkau mempunyai segala kesempurnaan, Engkau mempunyai sifat kasih kepada hamba lebih dari sifat hamba mengasihi Engkau. Ya Allah, Engakau ikatkanlah hatiku dengan ZatMu dan golongkanlah aku dikalangan kekasihMu. Ya Allah, Jika berjuang menuntut kepada persahabatan, Engakau kurniakanlah kepadaku sepertiamana Engkau kurniakan saudara kepada Nabi Allah Musa as, dan juga sahabat kepada kekasihMu Nabi Muhammad saw”.
Continue Reading...

Saturday, April 24, 2010

Si Kecil Yang Memahami...

Pada zaman dahulu kala, ada seorang lelaki tua sedang berjalan-jalan di tepi sungai. Sedang dia berjalan-jalan, dia terpandang seorang anak kecil sedang mengambil wudhu' sambil menangis.
Apabila orang tua itu melihat anak kecil tadi menangis, dia pun berkata, "Wahai anak kecil kenapa kamu menangis"?
Maka berkata anak kecil itu, "Wahai pakcik saya telah membaca ayat al-Qur'an sehingga sampai kepada ayat yang berbunyi:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنْفُسَكُمْ (٦)
“ Wahai orang-orang yang beriman! peliharalah diri kamu”. Surah At-Tahrim – Ayat 6

" Saya menangis sebab saya takut akan dimasukkan ke dalam api neraka."
Berkata orang tua itu, "Wahai anak, janganlah kamu takut. Sesungguhnya kamu terpelihara dan kamu tidak akan dimasukkan ke dalm api neraka."
Berkata anak kecil itu, "Wahai pakcik, pakcik adalah orang yang berakal. Tidakkah pakcik melihat ketika orang menyalakan api, maka yang pertamanya mereka akan meletakkan ranting-ranting kayu yang kecil dahulu, kemudian baru mereka letakkan yang besar. Jadi tentulah saya yang kecil ini akan dibakar dahulu sebelum dibakar orang dewasa."
Berkata orang tua itu, sambil menangis, "Sesungguh anak kecil ini lebih takut kepada neraka daripada orang yang dewasa maka bagaimanakah keadaan kami nanti?"

Renung-renungkanlah......
Continue Reading...

Tuesday, April 20, 2010

Muktamar Agung PERMAYA...


AlhamdulilLah.. Persatuan Pelajar Malaysia Yaman (PERMAYA) sesi 09/10 ini menerajui perubahan, dari awal sesi sehingga diakhir sesi. Samada dari sudud dalaman mahupun luaran. Sehingga pertukaran nama, perjalanan, dan buku laporan-laporan mengikut keperluan semasa. Dari Mesyuarat Agung Tahunan kepada Muktmar Agung Tahunan. Diselangi Ucapan Usul Terima Kasih & Perbahasan Ucapaan Dasar Presiden. Semoga dengan perubahan yang berlaku ini mampu mambawa PERMAYA menerajui perubahan yang lebih cemerlang. InsyaAllah.

Semoga Allah swt melimpahkan ganjaran kepada kita semua....Amin.
Continue Reading...

Friday, April 16, 2010

Bila Adam Berbicara...

Bila Adam Berbicara ~ Untungnya Hawa



Wahai hawa..

Sedarkah engkau sebelum datangnya sinar Islam..
Engkau dizalimi.. Hak milikmu dicerobohi.. Ditanam hidup-hidup..
Tiada penghormatan walau secebis dari kaum adam..

Engkau hanyalah alat untuk memuaskan nafsu mereka..
Namun tatkala rahmat Islam menyelubungi alam.. Tatkala sinar Islam berkembang..
Darjat engkau diangkat.. Maruah engkau terpelihara.. Engkau dihargai dan dipandang mulia
Dan mendapat tempat di sisi Allah yg terumpama hiasan di dunia ini yakni wanita solehah..


Wahai hawa..

Kenapa engkau tidak menghargai nikmat Iman dan Islam itu?
Kenapa mesti engkau kaku dalam mentaati ajaranNya?
Kenapa masih segan mengamalkan isi kandungannya dan masih was-was mematuhi perintah-Nya?


Wahai hawa..

Tangan yang menggoncang buaian itu mampu menggoncang dunia..
Sedarlah wahai hawa, kau mampu menggoncang dunia dengan melahirkan manusia hebat yang soleh dan solehah..
Kau bisa mengejar dunia dengan menjadi isteri yang taat serta memberi sokongan dan dorongan pada suami yang sejati dalam menegakkan Islam di persada dunia..


Tapi hawa..

Jangan sesekali kau menggoncang keimanan lelaki dengan lembut tuturmu.. Ayu wajahmu.. Lenggok tubuhmu.. Jangan kau menghentak-hentak kakimu untuk meyatakan kehadiranmu..


Jangan hawa..

Jangan sesekali cuba menarik perhatian kaum adam yang bukan suamimu..
Jangan sesekali menggoda lelaki yang bukan sepatutnya untukmu..
Kerna aku khuatir ia mengundang kemurkaan dan kebencian Allah terhadapmu..
 Dan memberi kegembiraan pada syaitan kerana wanita adalah jalannya..
Alat yang dieksploitasikan oleh syaitan dalam menyesatkan adam..


Hawa..

Andai engkau masih remaja.. Jadilah anak yang solehah buat kedua ibubapamu..
Andai engkau sudah bersuami.. Jadilah isteri yang meringankan beban suamimu..
Andai engkau seorang ibu, didiklah anakmu sehingga ia tak gentar memperjuangkan ad-Din Allah..


Hawa..

Andai engkau belum berkahwin.. Jangan kau risau akan jodohmu..
Ingatlah hawa.. Janji Allah terhadap kita.. Wanita yang baik adalah untuk lelaki yang baik..
Jangan menggadai maruahmu hanya semata-mata seorang lelaki..

Jangan memakai pakaian yang menampakkan susuk tubuhmu yang hanya menarik perhatian dan memikat kaum adam..
Kerana engkau bukan memancing hatinya.. Tapi meransang nafsunya..
Jangan memulakan pertemuan dengan lelaki yang bukan muhrim kerana aku khuatir dari mata turun ke hati.. Dari seyuman membawa salam.. Dari salam cenderung kepada pertemuan dan dari pertemuan.. Bimbang lahirnya nafsu kejahatan yang menguasai diri..


Hawa..

Lelaki yang baik tidak melihat paras rupa..
Lelaki yang soleh tidak memilih wanita melalui keseksiannya..
Lelaki yang warak tidak menilai wanita melalui keayuannya.. Kemanjaannya serta kemampuannya menggoncang iman.. Akhlaknya.. Peribadinya.. Dan ad-Dinnya..
Lelaki yang baik tidak menginginkan sebuah pertemuan dengan wanita bukan muhrimnya kerana dia takut memberi kesempatan pada syaitan untuk menggodanya..
Lelaki yang warak juga tak mahu bermain cinta sebab dia tahu apa matlamat dalam sebuah perhubungan antara lelaki dengan wanita yakni perkahwinan..


Oleh itu hawa..

Jagalah pandanganmu..
Jagalah pakaianmu..
Jagalah akhlakmu..
Kuatkan pendirianmu..

Andai kata ditakdirkan tiada cinta dari adam untukmu..
Cukuplah hanya ibubapamu yang memberi hangatan kebahagiaan buat dirimu..
Cukuplah sekadar cinta adik-beradik serta keluarga yang akan membahagiakan dirimu..


Hawa..

Cintailah Allah dikala susah dan senang
Kerana kau akan memperoleh cinta dari insan yang juga mencintai Allah..
Cintailah kedua ibubapamu kerana kau akan peroleh keredhaaan Allah..
Cintailah keluargamu kerana tiada cinta selain cinta keluarganya..


Hawa..

Ingatanku yang terakhir..
Biarlah tangan yang menggoncang buaian ini dapat menggoncang dunia dalam mencapai keredhaan Allah..
Jangan sesekali tangan ini juga menggoncang keimanan kaum adam..
Kerana aku sukar menerimanya dan aku benci mendengarnya..

Indah bukan pada zahirnya..
Tapi terletak pada tutur..
Terhampar pada pekerti..
Terserlah pada santun..
Tersentuh pada hati..
Yang indah itu sukar dicari tanpa menilai dengan mata hati



P/s....Sungguh indah ciptaan Tuhan..kecantikkan wanita memang tidak dapat nak di katakan..setiap lelaki pasti akan menyukai seorang wanita..itu adalah sunnah Allah yg ditetapkan..walaupun kecantikkan ini adalah suatu yang subjektif tapi ianya tidak dapat untuk kita menolaknya...namun apakah sebenarnya nilai kecantikkan pada wanita?dan apakah sebenarnya kecantikkan yang adam ingini??....
Continue Reading...

Monday, April 12, 2010

Penghargaanku....


Assalamualaikum buat semua yang membaca watikah ini. Pertama-tamanya, segala kesyukuran yang tidak terhingga kepada Allah swt kerana dapat menyelesaikan sebahagian tanggungjawab yang diamanahkan olehNya (Naib Presiden / Pengerusi Lajnah Tarbiyah & Akademik) dalam Persatuan Pelajar Malaysia Yaman (PERMAYA) untuk sesi ini 09/10. Sekalung penghargaan buat barisan exco PERMAYA yang sentiasa memberi sokongan dan dorongan, Ahli Jawatan Kuasa Lajnah Tarbiyah & Akademik yang sentiasa bersama untuk merancang dan menjayakan, dan seluruh ahli PERMAYA yang sentiasa memberi komitmen dan menjayakan program-program.

Sedar atau tidak, patah tumbuh berganti, yang datang akan pergi, yang hidup menemui mati. Begitulah sunnatulLah yang disusun diatas muka bumi ini. Dari zaman penciptaan Adam as, kemudian diganti demi gantian. Keturunan menuruti keturunan, Generasa ke generasi, utusan (Rasul) demi utusan, semata-mata untuk dijadikannya khalifah. Khalifah yang sentiasa mengajak manusia kearah patuh dan tunduk kepada Allah swt, dan tidak melakukan kerosakkan diatas muka bumiNya.

Sempurnanya Program Qadhiyyatuna Palestin lalu, maka selesai sudah program bertarikh yang dirancang oleh Lajnah Tarbiah & Akademik PERMAYA sesi 09/10. Bermula dari Daurah ‘Ijazul Ilmi (13-23.5.2009),  Semalam Bersama Saudara Kita (11.6.2009), Bulan Persada Ilmiah (Julai), Daurah Sirah (Ramadhan), ‘Itikaf (10 Akhir Ramadhan), Forum Perdana Ma’al Hijrah (24.12.2009), Kuiz Sirah (28.1.2010), dan Qadhiyyatuna Palestin (18.2.2010). 

Dan diselangi pula dengan program-program setiap minggu (Khamis) seperti Sambutan Hari Kemuliaan Islam,  Muzakarah Kitab, Ceramah Isu Semasa, Pengajian kitab Bidayatul Hidayah (malam ahad), pengajian kitab Kaifa Tahfazul Quran? (malam selasa), Qiamullail setiap malam Jumaat, dan penerbitan Al-Qalam  dua kali pada setiap bulan. Yang berbaki hanyalah program-program mingguan yang akan berjalan seperti biasa sehingga 30/04/2010 ini..InsyaAllah.

Sebagai Penghargaan...TERUTAMA....kepada AJK Lajnah Tarbiyah & Akademik 09/10 dalam membantu untuk melancarkan lagi setiap program yang dirancang:
SETIAUSAHA
Ust. Muhammad Aiman bin Shamsul Bahrin

BENDAHARI & UNIT AUDIO
Ust. Muhammad Hakimi Hamzi bin Muhd Hayat

UNIT AL QALAM
Ust. Syed Mohd Faris bin Syed Roslan (Ketua)
Ust. Mohamed Sukri bin Omar
Ust. Mohd Faizul bin Abdullah

UNIT DAKWAH DAN KEROHANIAN
Ust. Abdul Rahim Rukaini bin Abdul Rahman (Ketua)
Ust. Imaduddin bin Jamaludin
Ust. Ahmad Mustakim bin Abdul Hamid

UNIT AKADEMIK DAN KEPIMPINAN
Ust. Aisamuddin bin Muhammed  (Ketua)
Ust. Faizal bin Mohd Razi
Ust. Mohd Zaidi  Bin Mat Zaid

Semoga Allah swt melimpahkan ganjaran berlipat kali ganda kepada kita semua dalam usaha menyempurnakan amanah yang sama-sama dipikul….InsyaAllah.

Yang Amat Menghargai:
Mohammad Iqbal Abu Yaziz
Pengerusi Lajnah Tarbiyah & Akademik
Persatuan Pelajar Malaysia Yaman
(PERMAYA) 09/10
Continue Reading...

Sunday, April 4, 2010

Wasiat Imam Asy-Syafie....


Sebelum Imam Syafie pulang ke rahmatullah, beliau sempat berwasiat kepada para muridnya dan umat islam seluruhnya. Berikut ialah kandungan wasiat tersebut:

"Barangsiapa yang ingin meninggalkan dunia dalam keadaan selamat maka hendaklah ia mengamalkan sepuluh perkara."

1. HAK KEPADA DIRI

Mengurangkan tidur, mengurangkan makan, mengurangkan percakapan dan berpada-pada dengan rezeki yang ada.


2. HAK KEPADA MALAIKAT MAUT

Mengqada kewajipan-kewajipan yang tertinggal, mendapatkan kemaafan dari orang yang kita zalimi, membuat persediaan untuk mati dan merasa cinta kepada Allah.


3. HAK KEPADA KUBUR

Membuang tabiat kencing merata-rata, memperbanyakkan solat Tahajud dan membantu orang yang dizalimi.


4. HAK KEPADA MUNKAR DAN NAKIR

Tidak berdusta, sentiasa berkata benar, meninggalkan maksiat dan nasihat menasihati.


5. HAK KEPADA MIZAN (Neraca timbangan amal pada hari akhirat(

Menahan kemarahan, banyak berzikir, mengikhlaskan amalan dan sanggup menanggung kesusahan.


6. HAK KEPADA SIRAT (Titian yang merentangi neraka pada hari akhirat(

Membuang tabiat suka mengumpat, bersikap warak, suka membantu orang beriman dan suka berjemaah.


7. HAK KEPADA MALIK (Penjaga neraka(

Menangis lantaran takutkan Allah s.w.t., berbuat baik kepada ibu bapa, bersedekah secara terang- terangan serta sembunyi dan memperbaiki akhlak.


8. HAK KEPADA RIDHWAN (Malaikat penjaga syurga(

Berasa redha dengan Qada' Allah, bersabar menerima bala, bersyukur ke atas nikmat Allah dan bertaubat dari melakukan maksiat.


9. HAK KEPADA NABI MUHAMMAD S.A.W.

Berselawat ke atas Baginda, berpegang dengan syariat, bergantung kepada as-Sunnah (Hadis), menyayangi para sahabat dan bersaing dalam mencari keredhaan Allah.


10. HAK KEPADA ALLAH S.W.T.

Mengajak manusia ke arah kebaikan, mencegah manusia dari kemungkaran, menyukai ketaatan dan membenci kemaksiatan.


Rasulullah s.a.w. bersabda:,

"Sampaikanlah pesananku walaupun sepotong ayat"


.

Continue Reading...