Followers

Wednesday, March 16, 2011

Kenapa Rakyat Malaysia di Yaman Perlu Pulang?...

Salam perantauan dan salam satu Malaysia buat seluruh yang membaca watikah ini.

Bagi sebahagian yang berada di luar Yaman, ada yang tertanya-tanya kenapa Rakyat Malaysia di Yaman perlu balik? Bagi menjawab persoalan ini. Sukar untuk dirasakan bagi sesiapa yang tidak melaluinya. Di Jepun, pelajar kita menghadapi situasi yang berbeza. Dan mungkin ia tidak sekritikel seperti di sini.

Apa yang berlaku di Yaman sekarang ini adalah pergolakan politik yang tidak stabil antara pro anti kerajaan dan pro kerajaan. Pimpinan dari kedua-dua belah pihak telah membuat beberapa pertemuan bagi membincangkan krisis yang berlaku ini supaya dapat diselesaikan secara aman. Tetapi kedua-dua belah pihak tidak dapat bersepakat dengan apa yang telah diberi cadangan kepada mereka atas alasan masing-masing. 

Pro anti kerajaan telah berhimpun dan berkhemah hampir dua bulan di kawasan tengah bandar Sana’a. Dan setiap hari perkhemahan bertambah sehingga sekarang ini telah memakan hampir 5 kilomiter jalan raya dijadikan tempat perkhemahan mereka sebagai protes kepada Presiden Yaman Ali Abdullah Salleh.
Apabila berlaku sedemikian, maka ada sebahagian pihak cuba untuk menimbulkan provokasi dengan cara menyerang menggunakan senjata api dan bom asap kepada pihak pro anti kerajaan. Dan sentiasa berlaku pada awal pagi selepas tengah malam yang membawa angka kematian sekarang ini melebihi 40 orang yang dan beratus-ratus lainnya cedera.

Kerana pergolakkan ini, banyak kesan-kesan yang terpaksa ditanggung oleh insan sekelilingnya terutama orang luar yang berada di Yaman. Antara yang menjadi bebanan kepada orang yang berada di sini ialah:

Kos barangan meningkat. Rakyat Malaysia yang berada di Yaman adalah orang yang dibiayaai oleh ibu bapa, dan ada yang sebahagiannya dari atas usahanya sendiri dengan cara berniaga kecil-kecilan. Apabila berlaku sedemikian, maka sebahagian pelajar terpaksa mengeluarkan kos yang tinggi dari biasa. Bebanan kewangannya semakin terasa dan bertambah berat apabila terpaksa menjual dengan harga yang sedikit mahal. Dan orang lain juga keidupannya hapir sama seperti orang yang berniaga.

Gas semakin berkurangan. Ini antara keperluan asas bagi sesebuah rumah untuk menyediakan masakan dan makanan harian.

Hospital tidak dapat perfungsi dengan baik. Seperti apa yang telah berlaku kepada pelajar kita yang ke hospital untuk mendapat rawatan setelah cedera, hospital tidak mempunyai doktor kerana mereka turut serta berdemo. Dan cuba bayangkan...seorang yang sarat mengandung dan ingin melahirkan anak, pergi ke hospital, bila sampai di hospital, doktor semua tidak ada kerana mereka berada tempat kecemasan. Inilah yang dirasai oleh rakyat Malaysia di sini.

Tempat pengajian tutup. Tujuan majoriti rakyat Malaysia di Yaman adalah untuk belajar. Tetapi sekiranya universiti tidak mempunyai pensyarah atau pelajar-pelajar terutama dikalangan pelajar Yaman yang mereka merupakan pelajar utama, maka pelajar Malaysia tidak dapat belajar kerana pelajar malaysia disini terlalu sedikit.

Apa yang lebih menjadi kerisauan ialah, keselamat rakyat Malaysia yang berada disini. Masyarakat Yaman adalah masyarakat yang bebas bersenjata. Setiap mereka mempunyai senjata masing-masing jika nak dibandingkan dengan masyarakat Mesir.

Rakyat Malaysia disini terpaksa berhadapan dengan situasi berbahaya. Ada yang diancam dengan pisau apabila ia ditanyakan sokongannya, samada pihak kerajaan atau pembangkang. Dan mendengar tembak-menembak yang berhampiran dengan kediaman. Semua ini adalah ancaman-ancaman yang tidak menjaminkan keselamatan.

Bagi orang yang berkemampuan pula, tidak dapat untuk keluar dari Yaman disebabkan visa keluar yang tidak boleh untuk dibuat kerana tempat pengajian tutup. Tanpa bantuan kerajaan, maka rakyat Malaysia di sini terpaksa terus berhadapan dengan situasi sebegini.
Dan saya selaku orang yang diamanahkan sebagai Presiden Persatuan Pelajar Malaysia Yaman (PERMAYA) amat mengharapkan kerjasama dari pihak kerajaan agar dapat mempercepatkan pengurusan untuk mengeluarkan semua Rakyat Malaysia yang berada di bumi yang sedang bergolak ini demi “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”.

 

No comments: