Followers

Tuesday, March 15, 2011

Memorandum PERMAYA - Kedutaan Malaysia Yaman

MEMORANDUM

MENDESAK TINDAKAN SEGERA BERHUBUNG
ISU KESELAMATAN PELAJAR MALAYSIA DI YAMAN

13 MAC 2011

Kepada:

TUAN YANG TERUTAMA HJ ABDUL SAMAD BIN OTHMAN
DUTA BESAR MALAYSIA KE YAMAN

KESELAMATAN RAKYAT MALAYSIA

PENDAHULUAN

Kebangkitan masyarakat arab di Negara-negara timur tengah khususnya di Tunisia dan Mesir telah banyak memberi kesan terhadap keadaan politik semasa Negara-negara arab sekitarnya. Kejatuhan rejim-rejim yang kejam dan diktator membuktikan suara rakyat merupakan suara majoriti dan berkuasa menjangkaui undang-undang ciptaan manusia. Sepanjang proses itu, rusuhan besar-besaran dilakukan untuk menunjukkan ketidakpuashatian setelah proses undang-undang tidak lagi dipercayai mereka. Keselamatan tidak lagi menjadi keutamaan demi mendapatkan sokongan untuk menjatuhkan sesebuah rejim. Sekarang, sedang berlaku di yaman. Kejatuhan rejim-rejim di Tunisia dan mesir di samping pergolakan politik dalaman Yaman, telah membuakkan lagi semangat rakyat yaman untuk keluar merusuh sejak sebulan yang lalu. Rusuhan tersebut semakin melebar dan memburuk setelah campur tangan perkumpulan yang bersenjata api. Akibat daripada itu, rusuhan telah meliputi kawasan utama Bandar Sana’a. Adapun terdapat rumah-rumah pelajar Malaysia yang terletak di kawasan terbabit. Sehubungan dengan itu, kami menuntut supaya pihak kerajaan dan kedutaan Malaysia agar isu-isu ini diambil perhatian dan diselesaikan
1.    KESELAMATAN KIAN MERUNCING

Kawasan Daari telah menjadi kawasan utama perkampungan perusuh kerajaan Yaman. Para perusuh mendirikan khemah-khemah di sepanjang jalan Daari bermula dari hadapan universiti Sana’a sehingga ke kawasan Jamiah Qadimah sekarang. Pertambahan jumlah perusuh semakin meningkat dari hari ke hari.

Kejadian pergaduhan dan tembak-menembak juga berlaku sejak kebelakangan ini malah semakin bertambah. Dijangkakan bahawa kejadian ini akan berterusan sehingga jatuhnya kerajaan di bawah kepimpinan Presiden Yaman sekarang, Ali Abdullah Saleh sepertimana ikrar-ikrar ketua qabilah mereka. Keadaan ini secara tidak langsung, menyebabkan tahap keselamatan semakin merosot oleh kerana pergaduhan yang tercetus di kalangan rakyat Yaman. Sememangnya, situasi sebegini akan membahayakan pelajar-pelajar Malaysia yang mahu membuat urusan seharian mereka.

Selain itu, terdapat segelintir pelajar Malaysia telah ditemuramah bervideo oleh perkumpulan yang tidak dikenali sambil diugut dengan senjata agar segala percakapan mengikut kehendak penemuramah tersebut.

Oleh itu, kami menggesa pihak kedutaan cakna dengan isu dan kebajikan rakyat serta pelajar Malaysia di Yaman.

2.    PEPERANGAN MUNGKIN BERLAKU

Yaman merupakan Negara yang mengamalkan kebebasan bersenjata di kalangan rakyatnya. Senjata boleh dibeli dengan mudah di kedai-kedai runcit di sebahagian kawasan. Tambahan pula, sistem puak dan qabilah menyukarkan lagi kawalan politik semasa. Sistem pentadbiran sebegini, adalah lebih berkuasa daripada kerajaan yang ada sekarang di Yaman. Sehinggakan terdapat qabilah yang mempunyai kekuatan ketenteraan yang menandingi kerajaan dari segi peralatan.

Di samping itu, percakaran di antara puak dan qabilah ini tidak boleh lagi dielakkan lagi kerana kejadian tembak-menembak serta kematian telah pun melibatkan ahli keluarga mereka. Penuntutbelaan akan menyebabkan pergaduhan akan lebih parah.

Pada saat ini, usaha perusuh dari kalangan qabilah-qabilah menguasai kawasan-kawasan utama Bandar kian melebar. Bilangan perusuh pula semakin meningkat begitu juga dengan khemah-khemah.

Justeru kami sebagai wakil pelajar dan mahasiswa Malaysia di Yaman mendesak kerajaan dan pihak berwajib agar mengambil langkah awal sebelum keadaan lebih teruk berlaku.

3.    PENGAJIAN TERTANGGUH

Ketika ini, universiti dan pusat pengajian kebanyakkannya telah ditutup buat sementara waktu sehingga diberitahu. Oleh itu, pengajian secara automatiknya tertangguh. Ini akan menyusahkan lagi pelajar-pelajar Malaysia di sini sedangkan semester hanya berbaki dua bulan lagi.

Di samping itu, kebanyakan pelajar di sini tidak mempunyai sumber kewangan yang besar. Mereka kebanyakannya ditaja sendiri oleh ibu bapa dan zakat negeri. Penangguhan pengajian telah menyebabkan belanjawan tidak lagi mengikut perjalanan sebenar kerana terpaksa dihabiskan ke perkara-perkara yang lain disebabkan tiada pengajian.

4.    KEMUDAHAN HOSPITAL

Hospital-hospital telah dibanjiri rakyat-rakyat yaman yang tercedera akibat rusuhan yang berlaku. Kekurangan tenaga kedoktoran pula telah menyebabkan kesukaran bagi pesakit luar untuk dapatkan rawatan kerana tumpuan lebih di bilik kecemasan.

Disebabkan kejadian ini, kebimbangan tidak boleh lagi dibuang khususnya kepada rakyat Malaysia yang sakit dan mahu melahirkan anak. Perkhidmatan perubatan tidak lagi elok seperti dahulu kerana petugas-petugas hospital keletihan di samping doktornya.

5.    URUSAN YANG BERTAMBAH RUMIT

Pelajar menyiapkan visa mereka dengan perantaraan orang tengah institusi-institusi pengajian. Namun, urusan tersebut menjadi rumit ekoran penutupan institusi-institusi pengajian. Maka saranan pihak kedutaan supaya pelajar pulang sendiri dengan pengangkutan awam tidak lagi releven.

Selain itu, urusan pengeluaran dan tukaran wang menjadi semakin sukar kebelangan ini. Mesin-mesin ATM telah dihadkan pengeluaran Dolar Amerika di samping Riyal Yaman yang kecil nilainya. Pertukaran wang asing ke dolar amerika juga sukar dibuat kerana tidak diterima. Ini lebih menyusahkan urusan pembayaran yuran, tiket, visa dan sebagainya kerana kebanyakan urusan menggunakan matawang dolar amerika.

PENUTUP

Rakyat Malaysia perlu diselamatkan oleh pihak kerajaan kerana rakyat merupakan aset Negara. Keselamatan rakyat seharusnya tidak boleh digadaikan yang mana ianya akan melambangkan wajah kerajaan terhadap rakyatnya selaku kerajaan yang bertanggungjawab dan mengutamakan rakyat.

Justeru, rakyat, pelajar, dan mahasiswa di Yaman menggesa agar memorandum ini dapat diambil perhatian oleh pihak kerajaan dan kedutaan Malaysia yang diyakini mencintai rakyat dan meletakkan urusan rakyat sebagai keutamaan.

1 comment:

Mazlum Syahid said...

https://drive.google.com/file/d/0B6ut4qmVOTGWMkJvbFpZejBQZWM/view?usp=drivesdk

Web: almawaddah.info

Salam


Kepada:

 

Redaksi, rektor dan para akademik


Per: Beberapa Hadis Sahih Bukhari dan Muslim yang Disembunyikan


Bagi tujuan kajian dan renungan. Diambil dari web: almawaddah. info

Selamat hari raya, maaf zahir dan batin. 


Daripada Pencinta Islam rahmatan lil Alamin wa afwan