Followers

Sunday, May 16, 2010

'Uzlah'Atau 'Mukhollatoh' Untuk Allah???


Antara ‘uzlah’ (menyendiri) dan ‘mukhollatoh’ (bermasyarakat), dua persoalan itu mempunyai hujjah tersendiri bagi menyatakan kelebihan masing-masing.
Terdapat dikalangan salafus-soleh (hidup pada zaman Nabi saw dan 100 tahun selepasnya), mereka cenderug dengan kehidupan beruzlah kerana mempunyai kelebihan tertentu.
Antara faedahnya ialah sentiasa dalam beribadah kepada Allah swt, seperti solat sunat, puasa sunat, zikrulLah, membaca al-Quran dan sebagainya tanpa gangguan masyarakat umum.
Antara faedah seterusnya; boleh berfikir tentang kegiatan diri sepanjang hari. Kepentingan berfikir walau seketika tentang peranan tugas diri adalah supaya kebaikan hidupannya sentiasa meningkat dari umur muda sehingga ke usia dewasa seterusnya ke penghujung hayatnya. Tidak mungkin dapat berfikir sedemikian, jika kehidupan harian sentiasa penuh dengan gangguan daripada suasana pergaulan masyarakat ramai.
Uzlah boleh dilaksanakan cara kecil-kecilan. Contohnya, duduk  merenung sejenak sebelum atau selepas solat. Berfikir keadaan masa depan diri terutama kesudahan nasib pada hari akhirat kelak.
Justeru sebahagian salafus-soleh ada yang memilih beruzlah atas alasan tertentu, termasuk ‘tarbiyatul ilmi’ (didik ilmu) dan menjaga diri daripada pengaruh yang tidak murni. Faedah uzlah yang lain ialah, boleh terlepas daripada melakukan perkara yang tidak baik, kerana lazimnya pengaruh buruk orang ramai menyebabkan manusia melakukannya.
Oleh itu terdapat dikalangan salafus-soleh yang lebih mementingkan uzlah berbanding dengan mukhollatoh, kerana handak menjaga daripada perkara yang mencemarkan jiwa dan peribadinya. Beruzlah akan membebaskan diri daripada sifat riyak (menunjuk-nunjuk) kepada manusia, sepertimana yang dikehendaki oleh Islam agar seorang itu ikhlas melakukan perkara yang baik. Seperti yang ditegaskan Firman Allah swt:
وَمَا أُمِرُوا إِلا لِيَعْبُدُوا اللَّهَ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ حُنَفَاءَ وَيُقِيمُوا الصَّلاةَ وَيُؤْتُوا الزَّكَاةَ وَذَلِكَ دِينُ الْقَيِّمَةِ (٥)
Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan Ibadat kepadaNya, lagi tetap teguh di atas tauhid; dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat. dan yang demikian itulah agama yang benar. Surah Al-Bayyinah – Ayat 5
Uzlah juga akan membebaskan diri daripada mengumpat dan terikut perangai orang-orang yang berperangai buruk seperti orang yang tidak solat. Walaupun tidak terikut sepenuhnya meninggalkan solat, tetapi ia akan mendatangkan kesan sampingan dalam ibadah seperti melenggah-lenggahkan solat.
Banyak lagi perkara buruk yang lain, sebahagian daripada salafus-soleh selesa dengan tindakannya beruzlah. Sekiranya jika dikaji selidik, ramai dikalangan salafus-soleh lebih suka bercampur gaul, bermasyarakat dengan orang ramai (mukhollatoh).
Dikalangan mereka, ramai yang memilih hidup bersahabat dan berkawan, untuk berjinak-jinak dan berkasih mesra dengan sesama mukmin. Tujuan berkawan dan bersahabat ialah untuk berkerjasama dalam menegakkan Agama Allah swt, mendirikan taqwa serta mengerjakan kebajikan.
Sebanyak mana faedah yang diprolehi dengan uzlah akan didapati dalam pergaulan, iaitu dengan cara mujahadah dan bekerja kuat untuk menumbangkan nafsu.
Kesimpulannya, bercampur gaul dengan orang mukmin amat banyak dan besar faedahnya. Kerana akhlak, perangai serta tutur kata orang yang beriman adalah baik belaka. Tetapi faedah yang begitu besar boleh hilang lenyap disebabkan kegiatan beruzlah.
Mengajar dan mengajak manusia untuk melakukan kebaikkan adalah satu peluang untuk memperolehi faedah yang banyak. Sabda Nabi saw:
قَالَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم: مَنْ دَلَّ عَلَى خَيْرٍ فَلَهُ مِثْلُ أَجْرِ فَاعِلِهِ

“Sesiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikkan, maka baginya seperti ganjaran orang yang melakukan kebaikkan tersebut (dari apa yang telah ditunjukkannya)”. Hadis Riwayat Muslim
Justeru itu samada menambah ilmu mendidik jiwa atau tarbiyah nafsu, semuanya diperolehi hasil bergaul dengan pihak tertentu dikalangan orang yang beriman.
Dengan bercampur gaul sesama manusia, maka ia akan dapat saling bantu-membantu kearah kebaikkan, mencegah kemungkaran sebagaimana yang dituntut oleh Allah swt:
وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَى وَلا تَعَاوَنُوا عَلَى الإثْمِ وَالْعُدْوَانِ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ (٢)
Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana Sesungguhnya Allah Maha berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya). Surah Al-Maidah – Ayat 2
Sejarah Baginda Nabi saw yang diutuskan oleh Allah swt untuk membawa Islam menyinari dunia, menjadi satu syarat kenabian iaitu Tabliq (menyampaikan). Dan tabliq mestilah menjalankan hidupnya secara bercampur dengan masyarakat.
Tiada jalan lain bagi umatnya untuk meneruskan perjuangan Islam, melainkan dengan cara mencontohi sunnah RasululLah saw. Tanpa bergaul dengan masyarakat akan terpadamlah cahaya nur jihad.
Dan ingatlah wahai sahabatku!!!
Islam tidak akan tertegak dan berkembang dibumi ini jika Nabi saw beruzlah.

No comments: