Followers

Tuesday, September 22, 2009

Berlalunya Ramadhan...



Wahai saudaraku…Ramadhan yang padanya dipenuhi dengan rahmah, keampunan dan mampu menghindarkan diri dari api neraka telah berlalu pergi meninggalkan kita. Apakah ia akan kembali menemui kita atau ia akan pergi dari kita buat selama-lamanya? Pasti tiada siapa yang mampu menjawabnya.

Oleh itu sebelum ia berlalu lebih jauh dari kita, gunakanlah kesempatan ini untuk merenung kembali sejauh mana ketaqwaan kita kepada Allah setelam mana kita melaksanakan tuntutan puasa sebulan dibulan Ramadhan sepertimana yang disarankan oleh Allah didalam potongan ayatNya:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ (١٨٣)

Wahai orang-orang Yang beriman! kamu Diwajibkan berpuasa sebagaimana Diwajibkan atas orang-orang Yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa. Surah Al-Baqarah – Ayat 183

Berlalunya Ramadan bukanlah bererti terhentinya proses dalam mendidik diri serta mengawal nafsu untuk terus mengerjakan amal ibadah, malahan ia sebagai penggerak diri kita untuk terus menjadikan amaln seharian kita seperti berpuasa sunat, membaca al-Quran, bersedekah, menghadiri solat berjamaah di masjid atau surau dan sebagainya. Sekiranya tarbiah Ramadhan hanya mampu mengawal diri sekadar dibulan Ramadhan semata-mata, maka amat rugi dan malanglah kita kerana seorang mu’min itu hari ini lebih baik dari semalam dan esok lebih baik dari hari ini.

Syawal ini adalah bulan meraikan kemenangan kita setelah berjaya menewaskan nafsu dibulan Ramadhan yang lalu. Maka janganlah hari kemenangan ini dicemari dengan perkara-perkara yang bercanggah dengan apa yanng dikehendaki oleh Allah swt. Nabi saw bersabda:

عَنْ أَبِى أَيُّوبَ الأَنْصَارِىِّ - رضى الله عنه - أَنَّهُ حَدَّثَهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- قَالَ « مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ كَانَ كَصِيَامِ الدَّهْرِ

Sesiapa yang berpuasa sebulan Ramadhan kemudian dituruti selepasnya enam hari dari bulan Syawal maka dia seperti berpuasa sepanjang tahunRiwayat Muslim

Inilah galakkan Nabi saw dan ianya juga bertujuan untuk kita terus melaksanakan ibadah kepada Allah aagar sentiasa dapat meningkatkan ketaqwaan kepadaNya.

Dalam meraikan kegembiraan Syawal, cuba kita renung apakah Ramadhan yang lalu benar-benar memberi kebaikkan kepada kita melalui beberapa perkara:

Pertama : Menilai Aspek Kesabaran dan Mengawal Emosi

Sepanjang Ramadhan kita dilatih supaya bersabar dalam semua aspek seperti menahan diri dari melakukan maksiat, juga bersabar dalam mengerjakan amal ibadah. Apakah kita masih berjaya mengawal semua itu walaupun kita berada diluar bulan Ramadhan?. Terutamanya anggota kita daripada melakukan perkara-perkara yang haram, seperti telinga tidak mendengar perkara yang dilarang, mata dijaga daripada melihat perkara maksiat, kaki tidak melangkah ke tempat yang diharam, mulut pula berhenti daripada mengumpat, berbohong, membuat fitnah dan sebagainya.

Kedua : Menilai Kemurahan Hati dan Melakukan Amal Kebajikan

Disepanjang Ramadhan kita dapat melihat manusia berlumba-lumba untuk bersedekah tetapi selepas berlalunya Ramadhan, apakah ianya terus berlaku ?. Maka dalam hal ini, marilah kita merenung diri, adakah kita termasuk dikalangan orang-orang yang pemurah dan suka melakukan amal kebajikan atau sebaliknya ?

Kerana sesungguhnya tujuan utama puasa adalah untuk mengendalikan diri manusia daripada cintakan dunia dan kemewahan hidup. Malahan dapat menguji keimanan serta mendekatkan diri kepada Allah swt Sebagaimana firman Allah dalam surah al-Anbia ayat 90 :

إِنَّهُمْ كَانُوا يُسَارِعُونَ فِي الْخَيْرَاتِ وَيَدْعُونَنَا رَغَبًا وَرَهَبًا وَكَانُوا لَنَا خَاشِعِينَ (٩٠)

Sesungguhnya mereka sentiasa berlumba-lumba dalam mengerjakan kebaikan, dan sentiasa berdoa kepada Kami dengan penuh harapan serta gerun takut; dan mereka pula sentiasa khusyuk (dan taat) kepada kami. Surah Al-Anbia – Ayat 90

Ketiga : Mencintai dan menghidupkan Amalan Membaca Al-Quran

Kita sedia maklum bahawa Ramadhan adalah saat yang paling sesuai untuk menimba dan mengali sebanyak mungkin rahsia kemuliaan dan keagungan al-Quran sebagai petunjuk bagi kehidupan manusia. Maka, apakah kita masih malas untuk membaca al-Quran?. Sedangkan di bulan Ramadhan ramai yang mampu khatam al-Quran. Lebih-lebih lagi Ramadhan disebut “Sahrul Quran” iaitu bulan yang didalamnya diturunkan al-Quran. Sabda Rasulullah s.a.w. :

أَبُو أُمَامَةَ الْبَاهِلِىُّ قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- يَقُولُ « اقْرَءُوا الْقُرْآنَ فَإِنَّهُ يَأْتِى يَوْمَ الْقِيَامَةِ شَفِيعًا لأَصْحَابِهِ

“Bacalah oleh mu al-Quran, kerana sesungguhnya al-Quran itu akan menjadi Syafa’at (penolong) bagi pembacanya di hari kiamat ”. Riwayat Muslim


Wahai Saudaraku yangku kasihi,

Berlalunya Ramadhan bersama janji Allah tentang ganjaran pahala yang berlipat kali ganda dari bulan-bulan biasa, maka ramai dikalangan kita yang memohon doa agar dipanjangkan umur untuk bertemu dengan Ramadhan yang akan datang.

Begitu juga, Ramadhan akan dirindui bukan hanya kerana peluang-peluang untuk beribadah serta untuk mendapatkan ganjaran yang dijanjikan tetapi pengajaran daripadanya amat penting untuk dinilai dan diteruskan sebagai contoh, disepanjang bulan Ramadhan, umat Islam samada secara sedar atau tidak telah mengunjungi Masjid, membaca al-Quran, berpakaian sopan mengikut tuntutan syariat Islam, bercakap benar, tidak mengunjungi tempat-tempat hiburan atau maksiat, bahkan golongan remaja pun pulang ke rumah dengan cepat selepas belajar atau dari tempat kerja semata-mata ingin bersama ahli keluarga untuk berbuka dan bersolat jamaah. Apakah ini tidak boleh diteruskan ?.

Selain itu, dalam kita merayakan Aidil Fitri, terdapat beberapa perkara yang perlu kita berikan perhatian bagi memastikan kita sentiasa dalam keredhaan Allah swt diantaranya :

  1. Jangan kita cemari kemuliaan Syawal dengan aktiviti-aktiviti yang bercanggah dengan syarak seperti hiburan yang melalaikan, melakukan pembaziran dalam menyediakan makanan dan sebagainya.

  1. Kita hendaklah sentiasa berjimat cermat dengan mengatur perbelanjaan mengikut keperluan supaya kita sentiasa dalam keadaan stabil dari menjadi orang yang boros.

  1. Hendaklah kita sentiasa menjaga kesihatan diri dan keluarga dengan cara memakan makanan yang halal, bersih, berkhasiat dan dalam kuantiti yang diperlukan.

  1. Kita juga hendaklah sentiasa menjaga keselamatan diri dan kelurga serta orang-orang lain di sepanjang musim perayaan bagi mengelak dari sebarang tragedi malang menimpa diri kita dan orang lain.

Akhirnya, dikesempatan Syawal yang mulia ini saya ingin menyeru seluruh sahabat-sahabat agar menjadikan Aidil Fitri yang kita rayakan dapat mendekatkan diri dengan Allah swt serta mengharapkan disiplin tarbiah yang dibentuk sepanjang Ramadhan memberi kesan yang baik dan terus kekal dalam diri. Dan mudah-mudahan segala amalan yang kita kerjakan di bulan Ramadhan yang baru berlalu diterima Allah swt dan tidak menjadi sia-sia. INSYA ALLAH.

No comments: