Followers

Thursday, February 11, 2010

Islam Kembali Ganjil (1)...

Islam kembali ganjil seperti mulanya...

Rasulullah saw bersabda:


حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ عَبَّادٍ وَابْنُ أَبِى عُمَرَ جَمِيعًا عَنْ مَرْوَانَ الْفَزَارِىِّ قَالَ ابْنُ عَبَّادٍ حَدَّثَنَا مَرْوَانُ عَنْ يَزِيدَ - يَعْنِى ابْنَ كَيْسَانَ - عَنْ أَبِى حَازِمٍ عَنْ أَبِى هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- « بَدَأَ الإِسْلاَمُ غَرِيبًا وَسَيَعُودُ كَمَا بَدَأَ غَرِيبًا فَطُوبَى لِلْغُرَبَاءِ ». رواه مسلم


“Bermulanya Islam itu ganjil, dan ia akan kembali sepertimana mula ganjilnya, maka beruntunglah bagi orang yang bersamanya dalam keganjilan (Islam).” - Hadis Riwayat Muslim

Islam dan da’wahnya bermula dalam keadaan yang dagang dan ganjil. Islam sewaktu mula didatangkan di Makkah Al Mukarramah, asing dan tidak dikenali oleh masyarakat. Oleh kerana Islam gharib dan unik maka Islam dibenci dan dimusuhi. Pembawa dan pendokong-pendokongnya dizalimi dan dihadapkan dengan berbagai-bagai mehnah dan tribulasi.

Kerana keganjilannya, ada penganutnya yang kehilangan penglihatan, ada yang gugur syahid, dan ada yang terpaksa berhijrah ke Habsyah dan akhirnya pendokong-pendokong Islam berhijrah ke Madinah demi mencari keredhaan Allah swt dan merealisasikan Islam di dalam wajahnya yang murni sebagai ad-Din. Hal ini telah dinyatakan oleh Allah swt didalam FirmanNya:

لِلْفُقَرَاءِ الْمُهَاجِرِينَ الَّذِينَ أُخْرِجُوا مِنْ دِيارِهِمْ وَأَمْوَالِهِمْ يَبْتَغُونَ فَضْلا مِنَ اللَّهِ وَرِضْوَانًا وَيَنْصُرُونَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ أُولَئِكَ هُمُ الصَّادِقُونَ (٨

(Pemberian itu hendaklah diuntukkan) kepada orang-orang fakir yang berhijrah, yang telah diusir keluar dari kampung halamannya dan harta bendanya (kerana berpegang teguh kepada ajaran Islam), untuk mencari limpah kurnia dari Allah dan keredaanNya, serta menolong (agama) Allah dan RasulNya; mereka itulah orang-orang yang benar (imannya dan amalnya). Surah Al-Hasyr – Ayat 8


Faktor Ganjil Pertama

Terdapat pelbagai faktor Islam ganjil kali pertama yang dikemukakan oleh pihak tertentu seperti faktor politik, sosial, ekonomi dan sebagainya. Namun, di sana terdapat satu faktor terbesar yang menyebabkan Islam ganjil iaitu faktor aqidah Islam yang berlawanan dengan Jahiliyyah atau kufur. Islam mengajak kepada aqidah yang sohih, serta realiti hidup salimah, syamilah dan kamilah yang mana bertentangan dengan kekufuran. Islam dan kekufuran sentiasa dalam keadaan harb (peperangan). Kekufuran tidak dapat menerima Rububiyyah dan Uluhiyyah Allah swt. Kekufuran tidak menerima hukum-hukum dan undang-undang Allah swt berjalan dan berkuasa di bumi. Firman Allah swt:

مَا تَعْبُدُونَ مِنْ دُونِهِ إِلا أَسْمَاءً سَمَّيْتُمُوهَا أَنْتُمْ وَآبَاؤُكُمْ مَا أَنْزَلَ اللَّهُ بِهَا مِنْ سُلْطَانٍ إِنِ الْحُكْمُ إِلا لِلَّهِ أَمَرَ أَلا تَعْبُدُوا إِلا إِيَّاهُ ذَلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ وَلَكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لا يَعْلَمُونَ (٤٠

Apa yang kamu sembah, yang lain dari Allah, hanyalah nama-nama yang kamu menamakannya, kamu dan datuk nenek kamu, Allah tidak pernah menurunkan sebarang bukti yang membenarkannya. sebenarnya hukum (yang menentukan amal ibadat) hanyalah bagi Allah. ia memerintahkan supaya kamu jangan menyembah melainkan dia. Yang demikian itulah agama yang betul, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui. Surah Yusuf – Ayat 40


Inilah faktor terbesar. Faktor ini wujud di setiap zaman, hatta di zaman sekarang walau pun tersembunyi di sebalik faktor-faktor lain.

Dengan ketentuan Allah swt dan pertolonganNya serta berkat usaha, pengorbanan dan jihad Rasulullah saw bersama-sama para sahabat r.a. yang sabar dan ikhlas, maka gharib (ganjil) tersebut telah hilang. Akhirnya petunjuk dan rahmat Allah swt diterima, dihayati dan didaulatkan sepenuhnya di Madinah al-Munawwarah.

Pengorbanan dan jihad Rasulullah saw dan sahabat-sahabat baginda telah diterima dan diredhai oleh Allah swt. Mereka adalah contoh ikutan bagi kerja-kerja da’wah untuk mendaulatkan dinul-Lah. Allah swt telah mengabadikan pengorbanan mereka dalam FirmanNya:

وَالسَّابِقُونَ الأوَّلُونَ مِنَ الْمُهَاجِرِينَ وَالأنْصَارِ وَالَّذِينَ اتَّبَعُوهُمْ بِإِحْسَانٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمْ وَرَضُوا عَنْهُ وَأَعَدَّ لَهُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي تَحْتَهَا الأنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا أَبَدًا ذَلِكَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ (١٠٠

Dan orang-orang yang terdahulu - yang mula-mula (berhijrah dan memberi bantuan) dari orang-orang "Muhajirin" dan "Ansar", dan orang-orang yang menurut (jejak langkah) mereka dengan kebaikan (iman dan taat), Allah reda akan mereka dan mereka pula reda akan Dia, serta ia menyediakan untuk mereka Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; itulah kemenangan yang besar. Surah At-Taubah – Ayat 100

No comments: