Followers

Monday, February 1, 2010

Anak Kunci Syurga...


Manusia seharusnya melihat kembali sejarah peribadi dan sejarah kemanusiaan itu sendiri. Sukar bagi kita untuk mernyebutkan suatu makhluk atau benda di alam ini tidak ada gunanya. Bahkan seekor nyamuk yang dijadikan, sejak lahir lagi sudah mengetahui apa yang perlu dilakukan dan fungsi dirinya sendiri. Oleh itu, adalah mustahil apabila insan yang Allah swt ciptakan dengan kejadiannya “ahsani taqwim” (pembentukan yang sempurna ) kejadiannya adalah untuk sia-sia.

Tujuan utama penciptaan manusia di muka bumi ini memainkan dua peranan yang telah dipertanggungjawabkan, iaitu sebagai hamba dan khalifah. Allah swt Berfirman:

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالإنْسَ إِلا لِيَعْبُدُونِ (٥٦)

Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka mengabdikan diri kepadaKu. Surah Adz-Dzariyat - Ayat 56

Firman Allah swt:

وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلائِكَةِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي الأرْضِ خَلِيفَةً قَالُوا أَتَجْعَلُ فِيهَا مَنْ يُفْسِدُ فِيهَا وَيَسْفِكُ الدِّمَاءَ وَنَحْنُ نُسَبِّحُ بِحَمْدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَ قَالَ إِنِّي أَعْلَمُ مَا لا تَعْلَمُونَ (٣٠)

Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi". mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): "Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal Kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?". Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya". Surah Al-Baqarah – Ayat 30

Mengabdikan diri didalam ayat yang pertama memberi maksud, melaksanakan segala yang diperintahkan oleh Allah swt, dan meninggalkan segala yang dilarang olehnya. Sebagai seorang hamba wajib bagi kita untuk menjalankan ibadah-ibadah khusus seperti solat, puasa, zakat, membaca Al-Quran, dan lain-lain. Sebagai seorang hamba yang beriman, kita terikat kepada lima rukun Islam. Rasulullah saw mengambarkan Islam itu sebagai sebuah bangunan yang disokong oleh lima batang tiang iaitu syahadatain, solat, puasa, zakat dan haji. Syahadatain diiIbaratkan sepohon pokok, akar itu merupakan dua kalimah syahadah. Syahadah merupakan kunci kehidupan dan tiang addin. Pemahaman muslim terhadap Islam bergantung kepada kefahamannya terhadap kalimah ini. Terdapat 3 prinsip syahadatain yang perlu kita ketahui iaitu:

¨ Pernyataan la ilaaha illa Allah – penerimaan pengabdian kepada Allah sahaja.

¨ Menyebut Muhammad Rasulullah merupakan dasar penerimaan cara perhambaan itu dari Muhammad sebagai ikutan.

¨ Perhambaan kepada Allah itu meliputi segala aspek kehidupan.

Wahab bin Munabbih ditanya oleh seseorang: “ Bukankah la ilaha illallah merupakan kunci syurga?” Jawab beliau : “Benar, tapi setiap kunci mempunyai gigi. Jika engkau membawa kunci yang bergigi, sudah tentu syurga akan terbuka untukmu. Jika tidak, syurga tetap tidak akan terbuka.” Gigi kunci tersebut adalah syarat la ilaha illallah, yang diterangkan seperti berikut.

Syarat pertama: Mengetahui maknanya. Allah swt berfirman:

فَاعْلَمْ أَنَّهُ لا إِلَهَ إِلا اللَّهُ (١٩)

Oleh itu, maka tetapkanlah pengetahuanmu dan keyakinanmu (Wahai Muhammad) bahawa sesungguhnya tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah. Surah Muhammad – Ayat 19

Di sini jelas menunjukkan ketuhanan hanya milik Allah semata-mata. Ibnu Taimiyah berkata : “Tidak ada kesenangan dan kenikmatan bagi hati melainkan dengan kecintaan kepada Allah dan mendekatkan diri dengan-Nya.”

Syarat kedua: Yakin tanpa ada keraguan. Orang yang mengucapkan kalimah ini mestilah meyakini kandungan maknanya. Iman hanya boleh diwujudkan dengan ilmu yang memberi keyakinan. Allah swt Berfirman:

إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ الَّذِينَ آمَنُوا بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ ثُمَّ لَمْ يَرْتَابُوا وَجَاهَدُوا بِأَمْوَالِهِمْ وَأَنْفُسِهِمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ أُولَئِكَ هُمُ الصَّادِقُونَ (١٥)

Sesungguhnya orang-orang yang sebenar-benarnya beriman hanyalah orang-orang yang percaya kepada Allah dan RasulNya, kemudian mereka (terus percaya dengan) tidak ragu-ragu lagi, serta mereka berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah; mereka itulah orang-orang yang benar (pengakuan imannya). Surah Al-Hujuraat – Ayat 15

Syarat ketiga: Menerima kesan dan kalimat tersebut dengan hati dan lisan. Al-Quran memberitahu bahawa Allah swt menimpakan azab kepada para pendusta yang merendahkan kalimat tersebut dengan angkuh:

إِنَّهُمْ كَانُوا إِذَا قِيلَ لَهُمْ لا إِلَهَ إِلا اللَّهُ يَسْتَكْبِرُونَ (٣٥)وَيَقُولُونَ أَئِنَّا لَتَارِكُو آلِهَتِنَا لِشَاعِرٍ مَجْنُونٍ (٣٦)

Sebenarnya mereka dahulu apabila dikatakan kepadanya;" (ketahuilah, bahawa) tiada Tuhan yang sebenar-benarnya melainkan Allah" - mereka bersikap takbur mengingkarinya, 35. serta mereka berkata: " Patutkah Kami mesti meninggalkan tuhan-tuhan yang kami sembah, kerana mendengar ajakan seorang penyair gila?" 36. Surah As-Shaaffat – Ayat 35&36

Syarat keempat: Berpegang teguh dan berserah diri sepenunya. Allah swt berfirman:

وَأَنِيبُوا إِلَى رَبِّكُمْ وَأَسْلِمُوا لَهُ مِنْ قَبْلِ أَنْ يَأْتِيَكُمُ الْعَذَابُ ثُمَّ لا تُنْصَرُونَ (٥٤)

"Dan kembalilah kamu kepada Tuhan kamu dengan bertaubat, serta berserah bulat-bulat kepadaNya, sebelum kamu didatangi azab; kerana sesudah itu kamu tidak akan diberikan pertolongan. Surah Az-Zumar - Ayat 54

Di dalam ayat yang lain Allah swt Berfirman:

فَلا وَرَبِّكَ لا يُؤْمِنُونَ حَتَّى يُحَكِّمُوكَ فِيمَا شَجَرَ بَيْنَهُمْ ثُمَّ لا يَجِدُوا فِي أَنْفُسِهِمْ حَرَجًا مِمَّا قَضَيْتَ وَيُسَلِّمُوا تَسْلِيمًا (٦٥)

Maka Demi Tuhanmu (Wahai Muhammad)! mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan Engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah Engkau hukumkan, dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya. Surah An-Nisa’ – Ayat 65

Syarat kelima: Murni dari hati. Ibnu Qayyim berkata, “Mengakui tiada Tuhan selain Allah memestikan adanya sikap patuh dan taat terhadap aturan-aturan Islam serta mempunyai sikap membenarkan semua berita dari Allah, melaksanakan perintahNya dan meninggalkan laranganNya. Realitinya kini, ramai dikalangan orang Islam yang mengungkapkan kalimah ini secara lisan, lalu ia mematuhi syaitan dan hawa nafsunya dengan bermaksiat”. Allah swt berfirman:

وَمِنَ النَّاسِ مَنْ يَقُولُ آمَنَّا بِاللَّهِ وَبِالْيَوْمِ الآخِرِ وَمَا هُمْ بِمُؤْمِنِينَ (٨)يُخَادِعُونَ اللَّهَ وَالَّذِينَ آمَنُوا وَمَا يَخْدَعُونَ إِلا أَنْفُسَهُمْ وَمَا يَشْعُرُونَ (٩)

Dan di antara manusia ada yang berkata: "Kami telah beriman kepada Allah dan kepada hari akhirat"; padahal mereka sebenarnya tidak beriman. 8. Mereka hendak memperdayakan Allah dan orang-orang yang beriman, padahal mereka hanya memperdaya diri mereka sendiri, sedang mereka tidak menyedarinya. 9. Surah Al-Baqarah – Ayat 8&9

Syarat keenam: Ikhlas iaitu memurnikan amal perbuatan dengan niat yang baik. Allah swt berfirman:

وَمَا أُمِرُوا إِلا لِيَعْبُدُوا اللَّهَ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ حُنَفَاءَ وَيُقِيمُوا الصَّلاةَ وَيُؤْتُوا الزَّكَاةَ وَذَلِكَ دِينُ الْقَيِّمَةِ (٥)

Dan mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan Ibadat kepadaNya, lagi tetap teguh di atas tauhid; dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta mengeluarkan zakat. dan yang demikian itulah agama yang benar. Surah Al-Baiyyinah – Ayat 5

Syarat ketujuh: Mencintai kalimat tersebut, kandungan isinya, orang-orang yang mengamalkannya, dan berpegang pada kaedah-kaedahnya sekaligus membenci hal-hal sebaliknya. Firman Allah swt:

وَمِنَ النَّاسِ مَنْ يَتَّخِذُ مِنْ دُونِ اللَّهِ أَنْدَادًا يُحِبُّونَهُمْ كَحُبِّ اللَّهِ وَالَّذِينَ آمَنُوا أَشَدُّ حُبًّا لِلَّهِ (١٦٥)

(Walaupun demikian), ada juga di antara manusia yang mengambil selain dari Allah (untuk menjadi) sekutu-sekutu (Allah), mereka mencintainya, (memuja dan mentaatinya) sebagaimana mereka mencintai Allah; sedang orang-orang yang beriman itu lebih cinta (taat) kepada Allah. Surah Al-Baqarah – Ayat 165

Yang dimaksudkan dengan mecintai segala sekutu-sekutu di sini ialah apa sahaja yang membuat kita berpaling dari agama Islam, tidak kiralah samada keluarga, tempat tinggal, kaum-kerabat, anak-pinak mahupun harta. Penyataan syahadat ini mengembalikan kita pada dasar dan merujukkan segala persoalan kepada Allah. Menghadirkan Allah sebagai satu-satunya inspirasi dalam kehidupan akan memberi nilai positif selain menghadirkan kebesaran jiwa serta mencapai kebahagiaan.

No comments: